Friday, August 13, 2010

11 mangsa tipu kerugian RM142,760

LABUAN: Polis di sini menerima enam laporan kes penipuan yang menyamar sebagai penjawat awam dan wakil pekerja syarikat mengakibatkan 11 mangsa kerugian sebanyak RM 142,760.00.

Ketua Polis Daerah Wilayah Persekutuan Labuan, Superitendan Saiman Kasran berkata, empat daripada kes itu membabitkan penyamaran sebagai pegawai kerajaan (penjawat awam) dan dua kes penyamaran sebagai wakil pekerja syarikat.

Katanya, kes penyamaran itu membabitkan agensi Jabatan Kerja Raya, Kementerian Pengguna Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dan PDRM.

Katanya, pada 12 Jun lalu seorang lelaki tempatan kerugian sebanyak RM850 apabila seorang lelaki yang menyamar sebagai pegawai polis menghubunginya untuk meminjam wang sebanyak RM850 untuk bayaran rawatan perubatan anaknya dan meminta memasukkan ke dalam akaunnya.

“Sebagai balasan, lelaki yang menyamar sebagai Chif Inspektor Syamsul itu menawarkan dua enjin sangkut yang sedang ditender tanpa perlu dibuka. Pengadu kemudiannya datang ke balai polis untuk menuntut enjin sangkut berkenaan namun mendapati tiada tender enjin sangkut dikeluarkan dan pihak polis juga tidak tahu menahu mengenainya,” katanya pada sidang akhbar yang diadakan di pejabatnya pagi kelmarin.

Hadir sama, Timbalan Ketua Polis Daerah, DSP Zakaria Yussof, Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Komersial IPD Labuan, ASP Mohd Sabri Bahazin dan Pemangku Ketua Bahagian Siasatan Jenayah IPD Labuan, ASP Amy Dizny.

Manakala kes kedua berlaku pada 9 Ogos lalu, apabila seorang ahli perniagaan kerugian RM2,500 selepas ditipu oleh seorang lelaki yang menyamar sebagai pegawai dari Jabatan Kerja Raya.

Dalam kejadian itu, pengadu (mangsa) dihubungi untuk menaja tiga meja makan malam bernilai RM7,500 di salah sebuah hotel bagi meraikan kehadiran Menteri Wilayah Persekutuan. Bagaimanapun pengadu hanya mampu menaja satu meja (RM2,500) dengan memasukan ke dalam akuan suspek.

“Apabila pengadu memaklumkan ke pejabat JKR, beliau diberitahu pihak JKR tidak ada membuat jamuan itu dan pengadu membuat laporan polis selepas kejadian itu,” katanya.

Dalam kes yang lain, seorang lelaki yang bekerja sebagai pengurus turut kerugian sebanyak RM5,000 selepas menerima panggilan telefon yang mendakwa dirinya pegawai dari KPDNKK Labuan untuk meminjam wang tunai sebanyak RM5,000 bagi membantu pembayaran persekolahan anak buahnya yang berada di Kuala Lumpur dan berjanji untuk membayar semula pada keesokkan harinya. Bagaimanapun pegawai berkenaan tidak menepati janjinya, lalu pengadu menghubungi pejabat KPDNKK untuk mendapatkan pegawai tersebut.

Malangnya beliau diberitahu pegawai berkenann telah bertukar ke Semenanjung dan apabila pengadu menghubungi pegawai yang dimaksudkan, pegawai itu menafikan pinjaman berkenaan. Pegawai itu percaya ada orang lain yang menggunakan nama dan jawatannya untuk tujuan menipu.

Terdahulu sebelum ini, pada 1 Ogos lalu pihak polis juga telah menerima laporan berkiatan seorang lelaki yang menyamar sebagai pegawai dari Jabatan Perdana Menteri (JPM) yang menawarkan kepada orang ramai untuk melabur dalam pembelian pakaian baju sekolah dari sebuah kilang dengan harga yang murah untuk dijual kembali kepada sekolah di Labuan dan Sabah dengan harga yang tinggi.

Suspek yang memakai baju berlogokan Jabatan Perdana Menteri (JPM) dengan lambang kerajaan Malaysia berjaya mempengaruhi lima wanita dan seorang lelaki untuk membuat pelaburan dengan dijanjikan akan menerima keuntungan berlipat ganda dalam tempoh sebulan.

Bagaimanapun janji hanya tinggal janji apabila suspek gagal dikesan selepas tempoh sebulan membuat pelaburan. Dalam kes ini semua mangsa (enam orang) mengalami kerugian berjumlah RM37,100.

Saiman berkata, suspek dalam kes ini berjaya ditahan pada 3 Ogos lalu dan merampas sehelai baju berlogokan lambang rasmi kerajaan yang bertulis Jabatan Perdana Menteri serta sebuah buku senarai nama sekolah tahun 2005.

Berikutan tangkapan itu, suspek yang dihadapkan ke mahkamah pada 10 Ogos lalu telah mengaku bersalah bagi salah satu kes yang dibicarakan. Manakala lima kes lagi sedang menunggu perbicaraan.

“Suspek yang dikenali sebagai Mustapha Kamal mengaku salah dan dikenakan hukuman 8 bulan penjara dan dua sebatan, manakala lima kes lagi sedang menunggu untuk dibicarakan,” katanya.

Sementara itu polis juga katanya, telah mengenal pasti dua suspek yang turut menyamar sebagai wakil pekerja syarikat dan tangkapan akan dibuat dalam waktu terdekat.

Saiman berkata, kedua-dua suspek dilaporkan telah menipu dua orang mangsa masing-masing berjumlah RM1,375 dan RM95,935.70 sen menggunakan invois palsu.

Dalam pada itu, Saiman mengingatkan orang ramai supaya mendapatkan pengesahan terlebih dahulu daripada jabatan atau agensi yang berkaitan sebelum berurusan dengan pihak yang mendakwa diri mereka sebagai penjawat awam atau kakitangan syarikat yang berkaitan. -NST

24 comments:
Write comments
  1. Berhati-hati mengenai penipuan seperti ini, kalau tidak sendiri saja yang rugi.

    ReplyDelete
  2. sungguh malang.. malang sebab ditipu dan mudah ditipu.. bagus juga la ada pendedahan kes2 seperti ini. sekurang2nya rakyat lebih berhati2 dan tahu strategi si penipu.

    ReplyDelete
  3. semakin byk kes penipuan didedahkan makin ramai pla yang tertipu, kita sebaiknya jgnlah mudah terpengaruh dgn janji2 si penipu ni. berfikir sebelum bertindak.

    ReplyDelete
  4. sekarang ni penipu menggunakan macam-macam taktik. kita semua kenalah bijak dalam menilai sesuatu pekara agar tidak tertipu. berhati-hati apabila orang lain memberikan janji manis kepada kita.

    ReplyDelete
  5. semua kejadian ini harus jadi pengajaran buat kita agar tidak tertipu.

    ReplyDelete
  6. Sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ketanah jua... Hukuman harus dijatuhkan agar ini memberi gambaran kepada orang ramai yang berniat untuk menipu...

    ReplyDelete
  7. Semakin banyak pula kes penipuan. Kita tidak harus cepat mempercayai orang walaupun kununnya orang itu polis.

    ReplyDelete
  8. berhati-hati dan jangan mudah tertipu oleh mereka ini.

    ReplyDelete
  9. tertipu oleh penyamar?bijak juga penyamar sekarang ini. jadi, janganlah mudah percaya dengan orang yang kita tidak kenal. pastikan apa yang dikatakan itu benar atau tidak. dapakan kepastinya terlebih dahulu.

    ReplyDelete
  10. Memang bijak penyamar sekarang.Oleh itu, kita mesti lebih bijak dari mereka.

    ReplyDelete
  11. waa, 2 in 1.. selain dapat kebas duit orang, dalam masa yang sama dapat menjatuhkan imej jabatan2 kerajaan. tahniah kepada anggota polis labuan dan teruskan usaha menjejaki..

    ReplyDelete
  12. Kena berhati-hati dari sekarang supaya tidak terkena tipu lagi sekali.

    ReplyDelete
  13. Bikin panas ba penipu ni!!!!!!!

    ReplyDelete
  14. Apapun kita harus berhati-hati. Jangan sampai jerih payah kita hilang begitu saja akibat dicuri.

    ReplyDelete
  15. kes tipu seperti ini semakin manjadi2...masyarakat haruslah lebih peka dan berhati-hati apabila dihubungi oleh orang yang tidak dikenali...

    ReplyDelete
  16. Betul tu, apa-apa pun, baik berhati-hati terutamanya orang yang tidak dikenali.

    ReplyDelete
  17. Kenapa ahli perniagaan tersebut sanggup menaja RM2,500 / meja untuk jamuan tersebut?
    Supaya tidak menyakitkan hati pegawai kerajaan atau tidak diberi projek?

    ReplyDelete
  18. Angkara ketamakan, inilah akibatnya. Kes seperti ini bakal berlaku selagi ketamakan dalam diri tidak di tangani dulu.

    ReplyDelete
  19. Betul tu, jangan tamak pada benda yang bukan kepunyaan kita, maka tiada masalah seperti ini.

    ReplyDelete
  20. Nasib baik suspek dicekup polis. Kalau tidak, ramai lagi yang akan jadi mangsa.

    ReplyDelete
  21. Siasat dulu kesahihan perluang yang tiba-tiba timbul depan mata. Jangan terlalu cepat dubutai keuntungan yang bakal dapat.

    ReplyDelete
  22. Seribu ringgit dalam kocek lebih baik dari seratus ribu keuntungan yang belum tentu boleh dapat.

    ReplyDelete
  23. Jangan tamak. Itulah petua mengelakan diri dari ditipu.

    ReplyDelete

Note: Only a member of this blog may post a comment.