Tuesday, August 10, 2010

Abu Bakar ditahan sebab ‘restui’ latihan pengganas di Aceh

Polis Indonesia hari ini mengumumkan penangkapan tokoh ulama Abu Bakar Baasyir, yang kini menjadi pemimpin pergerakan Jamaah Anshorut Tauhid (JAT) kerana disyaki terlibat dalam kegiatan pengganas.

Ulama yang sering dikaitkan dengan beberapa serangan bom termasuk serangan bom di Bali pada suatu ketika dulu itu, ditahan di daerah Banjar, Ciamis, Jawa Barat pada pukul 8.15 pagi tadi dan dibawa ke Markas Besar Polis Indonesia di sini untuk disoal siasat.

Polis percaya bahawa ulama itu merestui dan membiayai latihan pengganas “Tanzim Al Qaeda Indonesia” di Aceh yang terdedah beberapa bulan lalu.

Ketua Bahagian Perhubungan Awam Polis Indonesia Inspektor Jeneral Edward Aritonang berkata Abu Bakar ditangkap kerana disyaki terlibat dalam beberapa kegiatan pengganas termasuk merancang latihan ketenteraan untuk kumpulan pengganas di Aceh.

Hasil siasatan polis mendapati Abu Bakar berperanan aktif menyiapkan rancangan awal latihan ketenteraan bagi kumpulan pengganas di Aceh, menentukan pelantikan beberapa orang sebagai pemimpin kumpulan pengganas, merestui dan membiayai kegiatan latihan kententeraan itu.

“Beliau mengetahui semua rangkaian latihan dan rancangan yang berlangsung di Aceh kerana beliau secara rutin mendapat laporan-laporan daripada pengelola lapangan,” katanya pada sidang akhbar di Markas Besar Polis Indonesia di sini.

Penangkapan Abu Bakar hari ini bukanlah kali pertama. Pada tahun 1983, beliau ditangkap bersama Abdullah Sungkar atas tuduhan menghasut orang ramai menolak asas tunggal Pancasila dan melarang pelajar di Pondok Pesantren menghormati bendera kerana perbuatan itu dianggap syirik.

Mereka berdua dihukum penjara sembilan tahun atas tuduhan berkenaan.

Pada tahun 1985, Abu Bakar dan Abdullah melarikan diri ke Malaysia ketika mereka dikenakan tahanan rumah dan di Malaysia Abu Bakar disebut-sebut membentuk gerakan Islam radikal, Jemaah Islamiah (JI), yang menjalin hubungan dengan Al-Qaeda, walaupun beliau tidak pernah mengakui wujudnya JI.

Dalam sidang akhbar hari ini Aritonang berkata Abu Bakar dipercayai merupakan orang utama di sebalik aktiviti latihan pengganas di Aceh terutamanya dalam pembentukan asas perjuangan ketenteraan yang dikenali sebagai Qaeda Amina.

Beliau dikatakan menentukan tiga orang menjadi pemimpin aktiviti latihan itu iaitu Ustaz Mustaqim, Abu Bakar alias Abu Thalib sebagai pengelola latihan yang kini masih dalam buruan polis dan Dulmatin sebagai pengurus latihan.

Aritonang bagaimanapun enggan memberikan bukti-bukti yang menunjukkan kaitan ulama itu dengan latihan ketenteraan dan rancangan keganasan di Aceh seperti dokumen ataupun bukti pemindahan dana.

Polis, katanya mempunyai bukti yang cukup berdasarkan keterangan-keterangan yang telah teruji kebenarannya mengenai rancangan rapi untuk latihan itu.

“Rangkaian ini sudah diselidiki sejak terdedahnya aktiviti latihan pengganas di Aceh, kemudian kami mengumpulkan bukti dan keterangan namun itu semua masih menjadi disimpan pasukan pasukan penyiasat, belum boleh didedahkan kepada umum,” katanya.

Polis, katanya akan melakukan soal siasat untuk melengkapkan siasatan mereka mengenai sejauh mana penglibatan ulama itu dengan kegiatan pengganas.

Turut ditahan bersama Abu Bakar hari ini ialah lima orang yang dipercayai pengawalnya kerana mereka telah menghalang polis dalam operasi tangkapan itu.

Aritonang berkata sejak April hingga Mei lalu, polis telah menangkap 102 orang yang dipercayai terlibat dengan kegiatan pengganas di Aceh namun hanya 66 daripada mereka sebagai suspek.

Mereka akan didakwa di mahkamah di Jakarta tidak lama lagi.

Akhir bulan lalu, dua suspek iaitu Arifin ditangkap di Solo dipercayai berperanan sebagai orang yang mencari senjata untuk latihan ketenteraan pengganas dan seorang lagi Tong Ji atau Warsito ditangkap di Indramayu, Jawa Barat, dipercayai berperanan mendapatkan anggota untuk latihan di Aceh itu.

Polis percaya kumpulan pengganas itu telah merancang serangan bom ke atas Markas Besar Polis Indonesia, di Jakarta, Markas Besar Komando Polis di Jawa Barat, beberapa hotel antarabangsa serta beberapa bangunan kedutaan asing di Jakarta.

“Untuk menyokong rancangan ini, kelompok ini telah membangunkan makmal pembuatan bom di Cikuda, Cibiru, Bandung, Jawa Barat dan bahkan telah melakukan ujian ledakan bom di pergunungan di Sumedang, Jawa Barat,” katanya.

Hasilnya, kata beliau sangat dahsyat kerana mereka telah merubah peralatan tidak lagi menggunakan bahan C4 tetapi Natrium Nitrogliserin.

Kumpulan pengganas itu juga menggunakan khidmat pakar berkelulusan universiti sebagai ahli teknik kimia, katanya.

Sabtu lalu polis menangkap beberapa orang yang disyaki pengganas dalam operasi di Jawa Barat sebelum Presiden Susilo Bambang Yudhoyono berkunjung ke daerah sekitar Ciwidey, Jawa Barat.

Meskipun tidak ada bukti yang menunjukkan ada rancangan serangan bom ke atas presiden itu, namun langkah-langkah keselamatan ke atas Susilo diperketatkan kerana beliau pernah beberapa kali disebut sebagai sasaran utama pengganas.

Lima yang ditangkap itu ialah Fahrul Rozi Tanjung serta Hamzah atau Helmi di Pasir Biru, Cibiru, Bandung, Ghofur di daerah Subang dan Kurnia Widodo atau Ujang di Padalarang serta Ustaz Kiki di Terminal Cileunyi, Bandung.

Semasa Fahrul dan Hamzah ditangkap, polis turut menyita sebuah kereta yang dirancang untuk digunakan dalam serangan bom kereta manakala semasa tangkapan Ghofur, polis merampas 54 butir peluru senjata api, cairan kimia dan baja urea, serta tabung uji bahan kimia.

Turut dirampas daripada mereka ialah bahan-bahan pembuatan bom dan buku-buku jihad. — Bernama

10 comments:
Write comments
  1. Mengapa pula merestui latihan pengganas? Sebagai ulama dalam agama Islam tapi menggalakan aktiviti seperti ini. Agama Islam ini adalah agama yang mencintai keharmonian dan bukan peperangan. Ini bagaikan memalukan agama dan umat Islam.

    ReplyDelete
  2. jika benar tokoh tersebut terlibat dengan keganasaan, maka penangkapan tersebut adalah wajar. siasatan yang lebih lanjut perlu dilakukan. keganasan merupakan pekara yang tidak baik, malah semua agama melarang penganutnya melakukan keganasan. kita sepatutnya hidup dalam suasana aman damai tanpa perlu mewujudkan sebarang sengketa.

    ReplyDelete
  3. sememangnya keganasan adalah perkara yg tidak baik. namun kita kena mengetahui mengapa keganasan ini wujud. kenalpasti punca keganasan ini berlaku dan selesaikan dgn cara baik.

    ReplyDelete
  4. Mereka patut menahan abu bakar. Kelakuan beliau memang tidak senonoh.

    ReplyDelete
  5. penahan Abu Bakar ini adalah untuk keamanan negara. Pastikan tuduhan itu etul, siatan lanjut perlu untuk menambah maklumat tetang perkara ini.

    ReplyDelete
  6. uii na kenapa kah jadi mcm ni.huhu

    ReplyDelete
  7. Kalau hal ni ternyata betul saya hara Abu Bakar dapat ditahan segera supaya keadaan tak bertambah teruk!

    ReplyDelete
  8. Haih, walaupun sekarang dunia dah semakin maju dah semakin bertamadun, tapi masih ada diantara manusia yang tidak pandai maju, asyik fikirkan peperangan seperti orang liar yang tidak pandai menyelesaikan masalah dengan cara yang baik.

    ReplyDelete
  9. Yang penting individu tersebut sudah ditahan dan akan dihukum.

    ReplyDelete
  10. Tapi tidak tahu berapa lagi orang ataupun kumpulan pengganas seperti Abu Bakar yang masih bebas di luar.

    ReplyDelete

Note: Only a member of this blog may post a comment.