Tuesday, February 11, 2014

Hanya di Malaysia, polis mengejar pelakon video

Ada masanya polis sungguh cekap, seperti hari ini apabila mereka memanggil pelakon wanita untuk memberi keterangan tentang peranannya dalam video kontroversi Tahun Baru Cina oleh Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok.

Ada masanya pula polis seakan-akan meleret untuk menyiasat jenayah seperti majlis NGO yang menyembelih dua ayam dan menumpahkan darah serta menawarkan ganjaran RM1,200 kepada orang pertama yang dapat menampar Kok.



Bagaimana pula dengan tugas polis yang sebenar, seperti memastikan kawasan awam aman dan selamat daripada samseng.

Tidak, sebaliknya, polis ingin menyoal Lim Ching Miau, 32, di ibu pejabat polis esok kerana klip video 11-minit yang memaparkan Kok sebagai pengacara feng shui menemu ramah tiga orang panel, membuat jenaka berhubung beberapa isu, termasuk sistem pendidikan di Malaysia dan pencerobohan pengganas di Sabah tahun lepas.

Ahli Parlimen DAP itu sedang disiasat mengikut Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan kerana membuat kenyataan menggalakkan orang awam melakukan kerosakan awam, dan Seksyen 233 (1) (a) Suruhanjaya Komunikasi dan Akta Multimedia bagi salahguna rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.

Yang peliknya, polis belum lagi memberi status laporan ke atas mereka yang menawarkan ganjaran untuk menampar beliau, sesuatu yang Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, katakan sebagai ancaman tidak serius.

Adakah beliau dan pihak polis sedang menunggu jenayah berlaku sebelum mengambil tindakan?

Atau ini disebabkan tiada lagi undang-undang pencegahan tahanan untuk digunakan daripada membuat penyiasatan sebenar seperti anggota polis di seluruh dunia sering lakukan?

Ataupun sebenarnya, berlakon dalam klip video, sudahlah tidak kelakar, adalah jenayah yang lebih serius daripada menghasut orang ramai untuk menampar seseorang?

Dalam negara mana-mana pun, memanggil pelakon tersebut untuk memberikan keterangan akan dilihat sebagai satu intimidasi.

Tetapi polis sepatutnya ingat satu perkara: rakyat Malaysia tidak lagi takut dengan ugutan atau intimidasi.

Parodi dan video satira politik akan terus dimuatkan di Internet, dan meletup - walaupun tidak disukai mereka yang dikritik secara terbuka dan mereka yang senang terasa dengan apa-apa yang mereka tidak persetujui.

Pihak polis sendiri patut melihat bagaimana tidak munasabahnya mereka menyoal orang yang terlibat dalam klip video atas dakwaan fitnah atau hasutan, daripada mencegah jenayah di luar sana.

Mereka juga akan melihat betapa ia tidak masuk akal bagaimana mereka belum lagi bertindak atas laporan polis terhadap ahli protes yang mengugut Kok, walaupun mereka sudahpun mengklasifikasi kes itu di bawah Seksyen 505 (c) untuk kerosakan awam dengan tujuan menghasut sesiapa untuk melakukan jenayah ke atas orang lain, serta Seksyen 506 untuk jenayah ugutan.

Rakyat Malaysia perlukan pihak polis yang tertumpu kepada pencegahan jenayah, bukannya lakonan yang teruk. – TMI

No comments:
Write comments

Note: Only a member of this blog may post a comment.