Friday, February 28, 2014

Pentadbiran Najib diserang Daim dan Mahathir

Daim Zainuddin yang dilihat sebagai regu kepada Dr Mahathir Mohamad dan juga menjadi “jubir”, jurubicara untuk menghodohkan Najib Razak dan kerajaannya, tidak mudah diam. Daim terus bercakap tanpa melihat suasana dan memilih “cerlak” (masa dan ketika) untuk bercakap. Seperti sudah tidak ada simpati dan sokongan lagi daripada Daim kepada Najib sebagai perdana menteri.

Terbaru, Daim terus mengkritik Najib dengan mengulangi pandangan dan kesimpulan buruk ke atas kepimpinan Najib seperti dibuat beberapa kali sebelum ini. Dalam temuramah dengan sebuah saluran berita video, Daim mengusik dan mengkritik Najib mengenai beberapa perkara.

Beliau memberi pandangan bahawa Najib seorang pemimpin yang tidak tegas dan rapuh. Seorang perdana menteri yang lambat dan lembab. Menurutnya, penguatkuasaan untuk mengawal apa-apa keadaan yang timbul sekarang ini boleh diambil kerana undang-undang yang ada sudah mencukupi.

Tetapi kerana kerapuhan dan ketidaktegasan Najib, maka apa yang tidak sepatut berlaku, berlaku. Contohnya mengenai pergolakan kaum dan meletusnya isu agama, seperti kalimah Allah dan Kristianisasi.

Daim juga mempersoalkan Najib jangan sahaja mempertahankan mandat yang bersambungan turun temurun itu, tetapi kena memperkasakan kepimpinannya. Tidak ada guna ada kuasa tetapi kepimpinan lemah. Daim juga menyatakan kepimpin kerajana kini lemah kerana ia dipimpin oleh seorang yang lemah, tidak berani dan tidak tegas.

Selain itu, Daim mempersoalkan anggota Kabinet Najib yang tidak dilantik daripada kalangan mereka berpandangan jauh dan arif memahami sejarah Malaysia. Apa maksudnya itu? Ertinya mereka yang dipilih menganggotai Kabinet cetek pengetahuan, tidak berilmu dan tidak mempunyai semangat, patriotisme. Disebabkan keadaan itu maka pentadbiran menjadi huru-hara.

Ini memberi gambaran Najib dalam menyusun Kabinet, pakai tangkap muat sahaja. Ia juga menunjukkan mereka yang cerdik tidak diambil atau pun diberi kesempatan kerana Najib bimbang ia akan memakan dirinya.

Contohnya seperti Tengku Razaleigh Hamzah. Najib membiarkan sahaja seorang tokoh ekonomi berpengalaman daripada menyertai Kabinetnya. Atau pun Daim sediri yang berasa dirinya juara ekonomi negara ini.

Gara-gara anggota Kabinet yang sebegitulah menyebabkan kerajaan pimpinan Najib hari ini lemah dan tidak dapat mengatasi pelbagai masalah yang timbul.

Daim juga mengkritik pilihan raya Kajang di mana baginya tidak perlu kerana membazirkan wang. Pilihan raya itu hanya memberi publisiti kepada Anwar sahaja, katanya. Bagi Daim, Anwar bukan mudah untuk ditundukkan walaupun rakyat tidak memilih Pakatan Rakyat (PR) di dalam pilihan raya lalu, namun populariti Anwar masih hidup.Daim tidak percaya dengan cara dan strategi Najib, dia dapat menewaskan Anwar.

Kalau dilihat keseluruhan aspek yang dikritik Daim itu, ia melihatkan pengurusan dan pentadbiran Najib menjadi mangsa. Ini berbeza dengan kritikan “bapa mertuanya”, Mahathir yang mengkritik atau menyerang kepimpinan bekas perdana menteri Abdullah Ahmad Badawi sebelum ini, yang dibuat dari segi politik.

Mahathir memberi tekanan politik kepada Abdullah dengan keluar Umno dan menimbulkan masalah dan mengaitkan peranan menantunya, Khairy Jamaluddin dan juga peranan budak-budak di Tingkatan 4 yang mempengaruhi pentadbiran Abdullah.

Tampaknya untuk berdepan dengan Najib, Mahathir yang menggunakan Daim atau mereka bersekongkol tidak mengambil pendekatan politik, tetapi mereka menyerang pentadbiran Najib. Di bongkar dan disebutkan satu persatu aspek-aspek kelemahan dalam pentadbiran Najib.

Apapun cara dan kaedahnya, tindakan dan agenda Daim dan Mahathir sama sahaja iaitu untuk menjatuhkan Najib. Di sebalik itu tentulah ada orang yang hendak diangkat menjadi perdana menteri baru bagi menggantikan Najib. Siapakah tokoh itu yang sedang dipandang untuk menjadi penganti perdana menteri?

– msomelayu.blogspot.com

No comments:
Write comments

Note: Only a member of this blog may post a comment.