Sunday, February 16, 2014

Tan Sri Taib akan jadi Maharaja Sarawak

TS Taib Mahmud (TSTM) masih Ketua Menteri de facto Sarawak kerana beliau telah memilih TS Adenan Satem sebagai pengganti beliau. Adenan merupakan bekas adik iparnya dan perlantikan TS Adnan itu sememangnya telah dijangkakan.

Pesanan beliau (TSTM) supaya menjaga Sarawak ‘at all cost’ kepada kepimpinan BN di Sarawak sudah mendekatkan kenyataan yang orang yang akan terlantik ialah Adenan Satem.

Abang Johari sememangnya dianggap sebagai sorang yang 'UMNO friendly' dan secara automtik tidak menjadi pilihan TS Taib untuk menggantikan beliau.

Buat beberapa ketika yang agak lama lagi Taib boleh dikatakan masih Ketua Menteri sambil duduk di Istana sebagai TYT Sarawak. Perlantikan Adenan itu samalah sebagai melantik dirinya sendiri kerana Adenan merupakan seorang yang sangat setia kepada bekas abang iparnya itu. Malahan TSTM lebih kuat kedudukkannya dari semalam dan begitulah licik atau cerdiknya orang lama PBB ini. Kalau selama ini beliau adalah seorang Ketua Menteri dan ahli politik, bermula pada penghujung bulan ini beliau akan menjadi Maharaja sarawak sebaik sahaja beliau masuk ke Asatana Governor sarawak itu.

Sekarang kita boleh menjangkakan yang Sarawak akan berada dalam keadaan seperti biasa dan ‘business as usual’. Sarawak akan tetap sebagai sebuah Ahli Persekutuan yang ‘exclusive’ dan tidak mungkin pengaruh Persekutuan akan meresap setidak-tidaknya dalam jangka yang agak lama. TSTM akan terus berpengaruh seperti yang diidamkan oleh Dr Mahathir kepada kerajaan Persekutuan yang pernah beliau ketuai dahulu sebegitu lama.

Ada tuduhan yang mengatakan Taib memilih Adenan kerana beliaulah yang terlemah dikalangan tiga orang yang menjadi ‘forerunner’ kepada jawatan Ketua Menteri itu. Tetapi bukan kah itu sudah menjadi budaya politik di negara ini. Dr Mahathir tidak mahu sesiapa yang berpengaruh untuk menggantikan beliau kerana beliau masih mahu merasakan sebagai orang penting sesudah bersara.

Itu sebabnya kita selalu terdengar Mahathir dan Daim bercakap sebagai seorang ahli politik yang bergiat kerana sebenarnya kumpulan inilah yang seronok menjadi Perdana Menteri dari belakang tabir. Abdullah Badawi tidak akan menerima nasib yang beliau lalui jika beliau mahu menjadi ‘puppet Prime Minister’ dahulu. Tetapi oleh kerana beliau tidak mahu menjadi ‘puppet’ dan mahu menjadi seorang PM yang sebenarnya, ditambah pula dengan kelemahan beliau sendiri maka ia amat mudah untuk di tolak oleh Dr Mahathir.

Kita masih ingat bagaimana Muhyiddin digunakan sebagai 'parang bengkok untuk menebas dan mencantas' politik Abdullah dahulu. Ke kiri Muhyiddin dihayun ke kirilah Muhyiddin menebas. Begitu jugalah sebaliknya. Yang menghayun parang bengkok (Muhyidin ) itu ialah Dr Mahathir. Akhirnya tersungkur dan tergolek Abdullah Badawi maka Najib pun menjadi Perdana Menteri sebagai pengganti. Si parang panjang bengkok tadi dapat juga upah dan jadi Timbalan Perdana Menteri.

Semasa mula-mula menjadi Perdana Menteri dahulu orang yang beliau takuti semasa itu ialah Tengku Razaleigh dan beliau tidak membenarkan pengaruh TR bercambah, maka dijadikan Musa sebagai parang panjang bengkok untuk menebas TR. Akhirnya parang bengkok itu sendiri ditakuti beliau maka patah pula parang bengkok (Musa) dan kali ini digantikan dengan ‘tok unggun’ yang kita kenal Abdul Ghaffar Baba sementara mencari parang panjang bengkok yang baru.

Setelah enam tahun maka terjumpa parang panjang bengkok yang baru yang bernama Anwar dan parang panjang bengkok ini dihayunnya untuk mencantas Ghaffar Baba. Ghaffar begitu sedih diperlakukan begitu dan beliau mula uzur kesihatan beliau dan beliau sudah tidak bersama kita lagi setelah beberapa tahun bersara hasil cantasan Anwar itu.

Selang beberapa tahun parang panjang bengkok Anwar pula dihumbankan kerana terdengar ura-ura Anwar akan melawan beliau sebagai Presiden UMNO. Maka dipergunakan isu yang beliau perapkan terhadap Anwar secara 'expedient' untuk menjatuhkan Anwar. Kelemahan Anwar disimpannya sehingga beliau merasakan Anwar sudah menjadi bahaya maka masa itulah apa yang beliau yakin Anwar telah lakukan itu diperguna untuk membuang Anwar.

Maka sementara itu beliau gunakan Abdullah Badawi yang mempunyai persepsi 'suka bermimpi'. Ramai orang tidak berkeyakinan dengan Abdullah kerana beliau bukannya ‘material’ seorang PM, tetapi itulah pilihan Dr Mahathir kerana sebenarnya beliau bukannya hendak mencari Perdana Menteri. Beliau mahu mencari ‘puppet’ kepada beliau.

Tetapi ‘puppet’ ini degil. Tidak mahu disuruh arah maka digunakan parang panjang bengkok yang baru untuk menebasnya, dan parang bengkok baru itu ialah Muhyiddin Yassin. Ke darat dan ke baruh Muhyiddin menebas Abdullah untuk menaikkan Najib. Berjaya lagi Dr Mahathir. Akhirnya Najib jadi Perdana Menteri dan parang bengkok tadi dijadikan Timbalan Perdana Menteri.

Sekarang ini Najib pun tidak sesuai untuknya. Maka sekarang sudah ada yang menawarkan diri untuk menjadi 'parang panjang bengkok' untuk menebas Najib pula. Cuba tanya Dr Mahathir siapa dia sebelum beliau pergi bercuti ke luar negara.

Oleh Aspan Alias

No comments:
Write comments

Note: Only a member of this blog may post a comment.