Monday, February 24, 2014

Puteri Umno dekati pengundi muda Kajang

Pergerakan Puteri Umno akan mendekati pengundi muda bagi memastikan kemenangan calon Barisan Nasional (BN) Datin Paduka Chew Mei Fun pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri Kajang pada 23 Mac ini.

Ketuanya, Mas Ermieyati Samsudin berkata Puteri Umno akan memberi tumpuan untuk memenangi hati lebih 7,000 pengundi muda wanita dalam usaha membantu dan menyokong Chew yang dijangka berdepan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata Puteri Umno telah memperinci tugasan 200 anggota pergerakan itu bagi menjejaki setiap pengundi muda DUN Kajang.

"Kita akan pastikan tenaga kerja bagi semua pusat daerah mengundi mencukupi dan jika BN Selangor memerlukan lebih tenaga kerja, kita sedia menghantar jentera dari setiap negeri," katanya kepada pemberita selepas Majlis Bersama Angkasawan Negara, Mejar Dr Faiz Khalid anjuran Biro Sahabat Puteri Umno Melaka, hari ini.

Mengulas tentang pemilihan Chew sebagai calon BN, beliau berkata ia merupakan kebanggaan buat pergerakan Puteri kerana kepercayaan pucuk pimpinan BN kepada calon di kalangan wanita.

Mas Ermieyati berkata beliau percaya dengan kebolehan dan personaliti yang ada pada Chew, BN boleh memenangi PRK tersebut.

Terdahulu pada majlis itu, beliau menyaksikan pemeteraian Memorandum Persefahaman antara Puteri Umno dan Yayasan Angkasawan Malaysia untuk berkongsi idea serta pengalaman berkaitan sains dan ilmu aeronautik di kalangan wanita bagi melahirkan angkasawati pertama negara.

"Kita dicabar untuk menyediakan calon-calon angkasawati, kita akan ke setiap negeri untuk melihat calon-calon daripada ahli kita yang sesuai dan mempunyai ciri-ciri yang kita perlukan untuk menjadi angkasawati," katanya. – Bernama

No comments:
Write comments

Note: Only a member of this blog may post a comment.