Sunday, February 9, 2014

Bola sepak negara menuju jalan mati?

Dua puluh tahun lalu, Malaysia melancarkan liga bola sepak profesional bagi meningkatkan mutu dalam mengejar cita-cita di pentas antarabangsa dengan wawasan menjadi kuasa besar Asia.

Malangnya ranking dunia masih sekitar 155 hanya mampu bersaing di rantau Asia Tenggara, untuk mencabar Korea Selatan mahu pun China jauh panggang dari api.

Pelaburan beratus juta ringgit telah gagal, wang hilang bola sepak di takuk lama. Persoalan yang timbul ialah apa yang tidak kena? Salah siapa?

Kini semakin hampir menemui jalan mati, dan kemungkinan tragedi 1995 bakal berulang.

Liga tempatan ini tidak ada nilai komersil menyebabkan persatuan gagal mendapatkan pulangan daripada pelaburan yang dibuat selama ini, kata seorang presiden persatuan bola sepak negeri yang ditemui baru-baru ini.

“Liga tempatan masih bernyawa kerana masih ada orang besar yang berkuasa memberi wang kepada negeri masing-masing.

“Apa jadi jika mereka menghentikan kewangan tersebut?” tanya beliau.

Bagaimanapun, presiden itu menambah, lebih menakutkan dakwaam rasuah masih berlaku dan kemungkinan tragedi 1995 yang menyaksikan puluhan pemain terbabit berulang.

Beliau bercakap mengenai tindakan persatuan bola sepak Malaysia (FAM) menghukum beberapa pemain kelab Kuala Lumpur kerana didakwa terbabit rasuah.

`Pemain kena hukum, dalang bebas’

Sepatutnya, kata beliau FAM bekerjasama dengan suruhanjaya pencegahan rasuah Malaysia (SPRM) menangkap dalang yang memberi rasuah kepada pemain.

“Apa yang berlaku sekarang ialah pemain kena hukum, dalang lepas.

“Sepatutnya FAM kena tanya kepada pemain yang dituduh, siapa yang bayar” tambah beliau lagi.

Beliau menambah bahawa, untuk profesional seperti yang dibuat di Eropah dan di tempat lain pasukan negeri dibubarkan.

Katanya, sebuah syarikat ditubuhkan untuk menguruskan kelab dengan saham dimiliki pemiliknya.

Bola sepak profesional mesti mempunyai ciri-ciri berikut:

  • Stadium
  • Kelab
  • Penonton
  • Penyiaran
  • Pengiklanan
  • Merchandising
  • Jual beli pemain
  • Judi

“Tetapi pasukan mana yang ada stadium sendiri? Hanya Pasir Gudang milik pasukan Johor FC, pasukan lain menyewa dari kerajaan negeri.

“Kalau orang lain nak guna stadium, perlawanan bola sepak terpaksa dibatalkan,” tambah beliau lagi.

-FMT

No comments:
Write comments

Note: Only a member of this blog may post a comment.