Thursday, July 29, 2010

Pesawat bawa 152 penumpang terhempas

ISLAMABAD: Seramai 152 penumpang dan krew sebuah pesawat Airbus 321 milik sebuah syarikat penerbangan Pakistan terbunuh selepas ia terhempas di kawasan berbukit berhampiran Islamabad dalam hujan lebat semalam.

PENYELAMAT memeriksa kawasan nahas Airblue di kawasan berbukit berhampiran Islamabad.


Pesawat itu, milik syarikat persendirian Airblue, terhempas di kawasan hutan tebal dan berbukit ketika dalam penerbangan dari Karachi. Anggota penyelamat sedang berusaha untuk mencari mayat di kawasan terbabit, kata pegawai.

Kebanyakan mayat rentung. Kami hantar karung plastik dengan helikopter. Operasi sukar kerana hujan, kata Aamir Ali Ahmed, pegawai kanan kerajaan tempatan.

Punca nahas belum diketahui, kata pegawai penerbangan Pervez George. Katanya, pesawat itu berlepas dari Karachi pada jam 7.45 pagi dan melakukan penerbangan selama dua jam ke Islamabad dan cuba mendarat ketika cuaca buruk.

Pesawat berkenaan hampir mendarat di lapangan terbang Islamabad apabila ia terputus hubungan dengan menara kawalan, dan kemudian kami dapat tahu pesawat terbabit terhempas, kata Pervez. Nombor penerbangan ialah ED202.

Laporan awal menyatakan, lima mangsa terselamat adalah tidak tepat, kata Imtiaz Elahi, pengerusi pihak berkuasa tempatan.

Anggota penyelamat menggali serpihan dan bangkai pesawat itu dengan tangan dan terpaksa menghadapi halangan api dan asap tebal. Kebakaran sudah dipadamkan, tetapi usaha untuk sampai ke kawasan berbukit masih terhad kepada pejalan kaki dan helikopter.

Kami jumpa sedikit sisa badan. Secara umumnya, kami kutip serpihan anggota badan dan memasukkannya ke dalam beg, kata Bin Yameen, pegawai kanan polis Islamabad.

Ketika itu hujan. Saya nampak pesawat terbang rendah daripada tingkap pejabat, kata saksi, Khadim Hussain.

Tentera sudah menghantar tiga helikopter ke kawasan kejadian dan anggotanya juga ditempatkan di situ. Perdana Menteri, Yusuf Raza Gilani memantau operasi menyelamat dari udara dan kerajaan mengisytiharkan hari ini sebagai hari berkabung bagi mangsa.

Di lapangan terbang Islamabad, beratus-ratus rakan dan saudara mara mangsa membanjiri kaunter tiket untuk mendapatkan maklumat. Ada juga yang meneliti senarai penumpang yang ditampal berdekatan kaunter tiket Airblue.

Tiada siapa beri bantuan. Orang ramai beralih dari satu kaunter ke kaunter lain, kata Arshad Mahmood, yang abangnya, Maulana Nawab Ulhasan penumpang pesawat itu.

Arshad Ali pula berkata sepupunya, Raza Ali, sepatutnya berada dalam penerbangan itu tetapi tidak menaikinya di Karachi selepas pulang dari Kanada.

Kami gembira dia terlepas penerbangan, tetapi keadaan kelam kabut di lapangan terbang, kata Arshad. Tolonglah bantu mereka yang ada saudara mara dalam penerbangan itu. Mereka tidak dapat apa-apa maklumat dan berlari ke sana sini.

Saqlain Altaf memberitahu stesen televisyen ARY bahawa beliau dan keluarganya sedang berkelah di kawasan berbukit itu apabila ternampak pesawat terumbang ambing di udara. Pesawat itu hilang kawalan, dan kami nampaknya menjunam sebelum terhempas, katanya, dan kemudian terdengar bunyi ia terhempas.

Pegawai pada mulanya menyangka ia sebuah pesawat kecil, tetapi kemudian membetulkannya. Pervez berkata 146 penumpang berada dalam penerbangan itu bersama enam anggota krew. AP

No comments:
Write comments

Note: Only a member of this blog may post a comment.