Saturday, July 31, 2010

Mayat berkecai, terbakar

ISLAMABAD: Kaum keluarga mangsa kemalangan kapal terbang semalam menyertai pasukan keselamatan mengharungi lumpur, hujan dan kawasan berbukit yang licin untuk mencari mayat mangsa nahas penerbangan terburuk Pakistan itu.

PASUKAN  penyelamat  Pakistan mencari mangsa nahas  Pesawat Airbus A321 terhempas di kawasan bukit ketika cuaca buruk.


Pesawat Airbus A321 milik syarikat penerbangan tempatan Airblue terhempas di kawasan bukit bertentangan ibu negara Pakistan, ketika cuaca hujan dan ribut, membunuh sekurang-kurangnya 152 penumpang.

Bangkai pesawat berserakan di kawasan hutan bercuram berkenaan.
Pihak berkuasa penerbangan tempatan berkata, pesawat itu diarahkan untuk mencari laluan alternatif ke landasan, tetapi tersasar.

Ketua pengarah Penerbangan Awam, Riazul Haq, berkata agak sukar untuk mencari punca nahas.

“Hakikatnya, pesawat itu terbang di mana ia tidak sepatutnya terbang,” katanya.

Pekerja penyelamat awam dan pasukan tentera terus mengadakan operasi mencari di kawasan bukit, tetapi keadaan cuaca menyukarkan usaha mereka. Helikopter tidak dapat terbang dalam hujan lebat dan awan tebal, kata jurucakap pihak berkuasa yang membantu kecemasan.
Jurugambar berita televisyen Associated Press menyaksikan ramai saudara mara penumpang menyertai tentera dan pasukan penyelamat. Mereka mengutip beberapa bahagian anggota badan dan memasukkannya ke dalam beg kecil.

Berpuluh-puluh saudara mara dan rakan mangsa dilihat tidur di luar hospital terbesar Islamabad dengan harapan untuk membawa pulang mayat ahli keluarga mereka. Malah, sehingga awal pagi mereka dilihat masih di perkarangan hospital sambil berpelukan dan menangis antara satu sama lain.

Kotak hitam pesawat berkenaan masih belum ditemui di mana maklumat amat diperlukan untuk mencari punca kemalangan. Menteri Pertahanan, Chaudhry Ahmed Mukhtar dan pegawai lain berkata kerajaan tidak mengesyaki sebarang perbuatan keganasan.

Pesawat terbabit berlepas dari Karachi, ibu kota komersial negara itu.

Malah pihak berkuasa memerlukan masa beberapa hari untuk mengenal pasti semua mangsa melalui ujian DNA berikutan kebanyakan mayat berkecai dan terbakar dalam kemalangan itu, di mana pekerja penyelamat menyifatkan tempat kejadian bertukar seperti bangkai besi.

“Tiada yang tertinggal, hanya rangka dan bangkai. Ada sebilangan kecil barangan, yang lain semua terbakar,” kata pekerja penyelamat, Murtaza Khan. – AP

No comments:
Write comments

Note: Only a member of this blog may post a comment.