Saturday, July 10, 2010

Jerman, Uruguay rentap rebut tempat ketiga

PORT ELIZABETH: Juara dunia dua kali Uruguay dan juara tiga kali Jerman bertembung merebut tempat ketiga yang cuba dielak sebelum ini, dalam perlawanan awal pagi Ahad ini.

Kedua-dua jurulatih, Oscar Tabarez dan Joachim Loew mempunyai tugas penting membakar semula semangat yang hilang di dalam diri anak buah mereka dalam usaha terakhir selepas masing-masing tunduk kepada Belanda dan Sepanyol di separuh akhir.

Uruguay mempunyai sedikit kelebihan kerana ada sehari untuk menyerap kekecewaan dan Tabarez, 63, juga dikenali sebagai pakar motivasi yang bagus.

Dia sudah pun menerima hakikat kekalahan 3-2 kepada Belanda dan mengetepikannya sambil kini memasang impian menamatkan kempen Piala Dunia kali ini di tempat ketiga, satu anak tangga lebih baik berbanding persembahan pada 1970.

Gunakan istilah yang sering digunakan dalam pasukan kami perlu menang dan atasi kesedihan, kata Tabarez.

Kami perlu memberi imej yang baik seperti ketika kami pamerkan dalam pertemuan dengan Belanda dan buktikan bola sepak Uruguay setanding dengan pasukan handalan lain, katanya sambil menambah dia sendiri mahu menunjukkan anak buahnya adalah satu pasukan yang mempunyai maruah sekalipun dengan sumber terbatas.

Tidak seperti pasukan Amerika Latin itu, Jerman pula berasakan tempat ketiga adalah sagu hati yang tidak setanding selepas memasang impian tinggi untuk menjulang kejuaraan kali keempat sebelum Piala Dunia ini.

Pemain rasa terlalu kecewa tetapi saya masih mahu mengucapkan tahniah kepada mereka atas usaha yang ditunjukkan sepanjang kejohanan ini, kata Loew.

Kami perlu cuba dan menyedarkan mereka esok (hari ini) bahawa mereka masih mempunyai satu perlawanan menentang Uruguay.

Miroslav Klose pastinya mahu menamatkan kempen Piala Dunia ini untuk memahat sesuatu yang kekal dengan dua gol bagi mengatasi rekod jaringan tertinggi dipegang Ronaldo, selepas mengumpul 14 gol dalam tiga pusingan akhir. AFP

No comments:
Write comments

Note: Only a member of this blog may post a comment.