Tuesday, June 11, 2013

BN fail 21 petisyen PRU13

Setiausaha Agung BN Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor hari ini mengumumkan bahawa parti itu memutuskan untuk memfailkan 21 petisyen pilihan raya umum berbanding 50 petisyen seperti yang dirancang pada peringkat awal.

Dalam kenyataannya hari ini, beliau berkata BN memutuskan untuk memfailkan 21 petisyen selepas mengambil kira pelbagai faktor termasuk menjimatkan masa mahkamah dan mengelakkan perbelanjaan yang tidak munasabah.

"Dan setelah mempertimbangkan nasihat yang diberikan oleh petugas undang-undang maka Barisan Nasional memutuskan untuk memfailkan 21 petisyen pilihan raya.

"Barisan Nasional juga tidak mahu membangkitkan isu-isu remeh semata-mata di mahkamah. Oleh itu, 21 petisyen yang difailkan ini, Insya-Allah mempunyai asas yang kami percaya adalah kukuh dan mempunyai merit yang wajar dipertimbangkan oleh mahkamah kelak," katanya.

Bagaimanapun, beliau yang mesra dipanggil Ku Nan, tidak menyebut kerusi yang terlibat dalam petisyen itu.

Mengulas lanjut, Tengku Adnan berharap perkara tersebut juga dipertimbangkan oleh pihak pembangkang dalam memfailkan petisyen mereka dan isu remeh semata-mata tidak dibangkitkan di mahkamah.

"Walau apapun, kami percaya benteng kerajaan yang dipimpin oleh parti Barisan Nasional ini akan kekal dan kami akan melaksanakan tanggungjawab yang telah diamanahkan oleh rakyat kepada kami," katanya yang juga ahli parlimen Putrajaya.

Semalam, Pakatan Rakyat mengumumkan mula memfailkan 35 petisyen berhubung kesalahan yang didakwa berlaku semasa pilihan raya umum lalu, sehingga tempoh tersebut berakhir pada Khamis.

Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli berkata petisyen yang akan dikemukakan itu melibatkan 25 kawasan parlimen dan 10 kawasan DUN. -MK

1 comment:
Write comments
  1. BN pun tak percaya dengan SPR maka buat petisyen pilihanraya?

    ReplyDelete

Note: Only a member of this blog may post a comment.