Tuesday, June 18, 2013

A.Samad Said : Pengakuan SPR Bukti Mereka Bersalah

Datuk A Samad Said mengatakan pengakuan dilakukan oleh pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang kesal kerana kegagalan dakwat kekal untuk berfungsi dengan baik semasa Pilihan Raya 2013 membuktikan badan penggendali pilihan raya itu bersalah.

Menurut pengerusi bersama Bersih 2.0 itu, pengakuan Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusuf membuktikan pilihan raya umum 5 Mei tidak berjalan dengan baik dan oleh itu beliau seharusnya berundur.

“Bunyinya agak tidak sedaplah. Tetapi secara hormat, sesudah mengetahui beberapa kesilapan, eloklah dia undur, letak jawatan,” kata beliau yang mesra dengan panggilan Pak Samad apabila ditemui oleh The Malaysian Insider pagi ini.

“Jadi dia harus, harus lakukan itu. Jadi pengakuannya itu, bagi saya ialah satu penerimaan bahawasanya apa yang berlaku itu memang betul dia bersalah,” tambah beliau lagi.

Dalam wawancara bersama sebuah akhbar berbahasa Melayu yang disiarkan semalam, pengerusi SPR menyatakan kekecewaan berhubung dengan kegagalan penggunaan dakwat kekal.

"Kalau orang tanya saya sekarang ini, apakah perkara yang paling menyedihkan dalam hidup saya, saya akan jawab dakwat kekal," katanya kepada Sinar Harian.

Pak Samad yang juga seorang Sasterawan Negara mempersoalkan mengapa SPR tidak menguji keberkesanan dakwat kekal sebelum membenarkan ianya digunakan dalam Pilihan Raya 2013 lalu.

“Tidakkah SPR mengujinya dulu? Dia terus sahaja untuk mempercayai. Itu tidak boleh saya fikir ini sebab untuk memberi hak ni, memberi kuasa.

“Saya harap dia berkata itu jujur, sebab itu adalah pengakuan dia bahawasanya memang pilihan raya itu tidak murni,” katanya.

Pengerusi bersama Bersih 2.0 itu juga turut menyarankan kepada penyokong-penyokong mereka agar beramai-ramai menghadiri perhimpunan #Black505 yang dianjurkan oleh Pakatan Rakyat (PR) di Padang Merbok, Kuala Lumpur pada 22 Jun.

“Kita menyarankan, ataupun merayu supaya ahli-ahli lebih banyak untuk menyertainyalah.

“Kalau Ambiga sendiri sudah kata turun ke jalan raya, jadi kita turun ke jalan rayalah,” kata beliau merujuk kepada seorang lagi pengerusi bersama Bersih 2.0 Datuk Ambiga Sreenevasan.

Bagaimanapun, Abdul Aziz berkata semalam, kegagalan dakwat kekal untuk berfungsi dengan baik tidak boleh digunakan sebagai alasan untuk menuduh SPR membenarkan pengundi mengundi lebih daripada sekali atau melakukan penipuan dalam pilihan raya umum.

Abdul Aziz mendakwa kaedah itu - yang disyorkan oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) berhubung penambahbaikan proses pilihan raya telah menguji beberapa kali sebelum dilaksanakan pada 5 Mei lalu.

"Tetapi pada hari yang ditunggu-tunggu kuasa Allah lebih hebat apabila dakwat boleh hilang selepas beberapa kali dicuci, di mana silapnya?

"Memang sedih tapi kita tidak berdiam diri. Kita tubuhkan pasukan khas, yang dipengerusikan Datuk Christopher Wan Soo Kee dibantu dua ahli panel lain iaitu Datuk Md Yusop Mansor dan Abdul Aziz Khalidin," katanya.

PR telah mengadakan perhimpunan besar-besaran #Black505 di seluruh negara semenjak 8 Mei untuk memprotes dakwaan penipuan dalam Pilihan Raya 2013 yang menyaksikan Barisan Nasional (BN) mengekalkan kuasa walaupun kehilangan undi popular. -TMI
xxx2

Komen Anda

1 Responses to " A.Samad Said : Pengakuan SPR Bukti Mereka Bersalah "
Anonymous said...
June 21, 2013 at 5:53 PM

Hahahahahaha SPR kena tipu oleh pembekal dakwat kekal! SPR tak nak saman pembekal dakwat itukah?


Note: Only a member of this blog may post a comment.

xxx