Tuesday, June 11, 2013

Pergolakan dalaman rugikan MIC

Antara isu yang masih hangat diperkatakan (sekurang-kurangnya di akhbar-akhbar Tamil) adalah berkenaan pucuk kepimpinan dalam MIC serta kekalahan teruk calon-calon MIC dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).

Baru-baru ini saya berpeluang minum teh bersama-sama Ketua Penerangan MIC Selangor, L. Sivasubramaniam di sebuah restoran di Taman Sri Muda, Shah Alam. Ada beberapa perkara menarik yang beliau nyatakan dan saya fikir wajar dikongsikan kepada umum.

“Kita boleh tanya mana-mana ketua cawangan dan bahagian MIC. Mereka boleh ceritakan perbandingan antara gaya kepimpinan Datuk Seri Utama S. Samy Vellu dan Datuk Seri G. Palanivel sebagai presiden parti,” katanya apabila bercerita mengenai perbandingan yang sering dilakukan orang.

Pada penelitian Sivasubramaniam, kalau ada orang pergi meminta bantuan daripada Palanivel, beliau tidak memberikan wang. Sebaliknya beliau akan berikan penyelesaian terbaik bagi masalah yang dihadapi. Sebagai perumpamaan, Palanivel tidak memberikan ikan untuk dimakan selama sehari tetapi memberikan joran supaya orang itu boleh belajar memancing ikan sepanjang hayat.

“Palanivel juga berjaya mendapatkan banyak peruntukan daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk disalurkan kepada kaum India; khususnya menjelang PRU13. Setiap pusat daerah mengundi mendapat peruntukan yang lumayan untuk menggerakkan kempen bagi memastikan pengundi memilih Barisan Nasional (BN),” kata bekas Ketua Pemuda MIC Kuala Selangor itu.

Bagi Sivasubramaniam, kekalahan BN di kebanyakan tempat, misalnya di Parlimen Kota Raja dan DUN Seri Andalas, disebabkan sikap mementingkan diri para pemimpin MIC peringkat bahagian dan cawangan. Beliau tidak mahu menyalahkan masyarakat India kerana, katanya, sejak sekian lama mereka mempercayai serta menaruh harapan ke atas parti politik berkenaan.

Sivasubramaniam bercerita sambil kami minum teh.Dalam PRU13, mungkin keputusan Najib meletakkan Zulkifli Noordin sebagai “calon rakan BN” di Parlimen Shah Alam turut menjadi punca ramai pengundi kaum India memutuskan untuk tidak memilih BN. Sivasubramaniam mengakui bahawa banyak yang telah dilakukan oleh Najib untuk kaum India tetapi tindakan kecil itu memberikan kesan negatif yang amat besar.

“Malah, agak mustahil untuk mempercayai bahawa BN kalah teruk di Selangor dalam PRU13. Kalau kita perhatikan, jika Zulkifli tidak diletakkan sebagai calon, BN tidak akan kalah teruk sampai begitu sekali,” kata politikus kelahiran Bukit Rotan, Kuala Selangor itu.

Menghurai lanjut, katanya, dalam PRU12 (8 Mac 2008), isu kuil menjadi antara punca utama BN kehilangan Selangor. Pada kali ini, Zulkifli menjadi antara punca utama.

“Saya bukan menafikan haknya untuk bertanding tetapi dia tidak patut bertanding di Selangor; apatah lagi di Shah Alam. Maka, mudahlah untuk pembangkang memanipulasi isu Zulkifli demi kepentingan mereka.

“Saya menyebut semua ini bukanlah untuk menyalahkan sesiapa tetapi supaya dapat dijadikan pengajaran oleh MIC dan BN pada masa hadapan. Kita perlu belajar daripada pengalaman dan kesilapan,” katanya.

Transformasi dalam MIC perlu menyeluruh

Sivasubramaniam juga berharap orang ramai tidak membanding-bandingkan antara Samy Vellu dan Palanivel. Masing-masing ada gaya tersendiri. Samy Velu memang hebat sepanjang menjadi presiden MIC. Satu-satunya kesilapan beliau adalah dalam isu Maika Holdings. Itu pun kerana bukan Samy Vellu sendiri yang menguruskan operasinya. Demikian pandangan beliau.

Apabila bercakap mengenai transformasi dalam MIC, pada pandangan Sivasubramaniam, ia perlu dimulakan dengan pemimpin peringkat cawangan. Pada setiap hujung tahun, yuran keahlian bagi sekitar 100 ahli di setiap cawangan perlu dibereskan.

Rupa-rupanya, menjadi tradisi bahawa yuran RM4 itu tidak dikutip daripada ahli tetapi ditampung oleh ketua cawangan. Malangnya, menurut beliau, ada ketua cawangan yang keberatan untuk mengeluarkan RM400 dari poket sendiri.

Sivasubramaniam mengakui bahawa sudah wujud jurang antara ahli dan ketua cawangan. Pada masa dahulu, ketua cawangan akan pergi dari rumah ke rumah untuk mengutip yuran; sekali gus wujud hubungan rapat antara ahli dan pemimpin peringkat cawangan.

“Kita ambil Parlimen Kota Raja sebagai contoh. Terdapat sekitar 32,000 pengundi kaum India di sini tetapi kurang daripada 5,000 orang sahaja yang menjadi ahli MIC. RS Maniam selaku Ketua Bahagian MIC Kota Raja merangkap Penyelaras BN Kota Raja sepatutnya telah menggerakkan kesemua 47 cawangan MIC untuk menambah ahli serta menambah cawangan supaya jumlah ahli juga bertambah.

“Sejak 2009, Maniam sepatutnya sudah mampu menarik sekurang-kurangnya 15,000 daripada 32,000 pengundi kaum India di Kota Raja menjadi ahli MIC. Segala kemudahan diberikan. Wang bukan menjadi persoalan. Najib sendiri banyak kali turun ke Kota Raja. Maniam sepatutnya telah gunakan peluang untuk menambah ahli; sekali gus menambah pengundi bagi calon MIC dalam PRU13,” katanya sambil menghulurkan salinan kenyataan media dalam Bahasa Tamil yang menyelar kelemahan Maniam.

Menurut politikus itu yang kini tinggal di Kota Kemuning, Shah Alam, terdapat juga banyak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berasaskan kaum India di Kota Raja yang boeh ditarik masuk supaya menyokong BN. Sekali lagi, katanya, wang tidak menjadi persoalan kerana sebagai penyelaras, Maniam mendapat peruntukan yang banyak dari BN.

“Malangnya, kita masih kalah teruk. MIC perlu belajar daripada kesilapan. Antaranya adalah dengan memberikan tumpuan kepada golongan pemuda dan belia. Malangnya, dalam kempen PRU13, Maniam tidak memberikan kerjasama kepada Pemuda MIC Selangor apabila mereka mahu menjalankan pelbagai aktiviti di Kota Raja.

“Hasil maklumat yang saya terima, ketua pemuda itu juga mengharapkan peluang untuk dicalonkan dalam PRU13. Masing-masih melobi dengan cara sendiri. Atas sebab itulah juga Maniam tidak beri kerjasama kepada Pemuda MIC Selangor dan sabotaj program anjuran mereka di Kota Raja,” Sivasubramaniam menceritakan.

Program tidak bawa manfaat kepada masyarakat

Walau bagaimanapun, seperti diakuinya, memang amat menyedihkan bahawa segala program yang dianjurkan oleh kesemua pihak terbabit tidak benar-benar membawa manfaat kepada golongan belia kaum India. Sebaliknya hanya berciri menonjolkan diri masing-masing bagi merebut peluang dan kerusi dalam pilihan raya.

Salinan kenyataan media turut diberikan untuk rujukan.“Pada waktu saya terlibat dalam Pemuda MIC, saya dan rakan-rakan benar-benar turun padang untuk membela masyarakat. Misalnya dalam isu tanah di Pulau Carrey pada 2003. Begitu juga dengan isu air dan sebagainya di Subang. Pemuda MIC benar-benar terlibat pada peringkat akar umbi.

“Malang sekali semangat seperti itu sudah luntur sekarang. Saya perhatikan bahawa ketua-ketua pemuda peringkat cawangan dan bahagian hanya bersemangat apabila menerima kunjungan para pemimpin. Mereka mahu menjadi pengiring sahaja,” katanya dengan nada kecewa sambil mengimbau kenangan lalu.

Menurut lelaki berumur 47 tahun ini, sebagai penyelaras program MyDaftar di Selangor, beliau dan kumpulannya berjaya menyelesaikan isu dokumen pengenalan diri bagi sekitar 2,000 orang manakala sekitar 200 kes masih dalam proses.

“Program seperti ini perlu diteruskan oleh MIC dan Pemuda MIC sehingga masalah dapat diselesaikan sepenuhnya. Masyarakat memerlukan bantuan. MIC boleh membantu. Saya tidak akan menyalahkan pengundi kaum India jika mereka menolak MIC.

“Masalah timbul apabila ada ketua bahagian, ketua cawangan dan penyelaras tertentu yang merajuk kerana tidak dipilih sebagai calon dalam pilihan raya. Akibatnya mereka melakukan sabotaj secara halus sehingga merugikan MIC dan BN,” katanya tanpa menyebut nama sesiapa secara khusus.

Sepanjang perbualan santai kami berdua sambil minum teh di restoran, Sivasubramaniam ternyata amat optimis bahawa golongan muda kaum India boleh ditarik supaya menyokong MIC dan BN menjelang PRU14.

Beliau memberikan contoh pelantikan P. Kamalanathan sebagai Timbalan Menteri Pendidikan 2 serta Datuk M. Saravanan sebagai Timbalan Menteri Belia dan Sukan. Pada pandangannya, kedua-dua kementerian itu amat penting dalam mengubah pemikiran dan membina mobiliti sosial dalam kalangan generasi muda kaum India.

“Saya yakin bahawa di bawah pimpinan Palanivel, MIC akan mampu menjadi lebih kuat dan kembali menyerlah dalam masa lima tahun lagi. Memang ada ramai pemimpin golongan muda dalam MIC yang boleh diasuh supaya mampu sama-sama membantu mengembalikan kegemilangan MIC sebagai parti tunggal yang membela nasib kaum India di Malaysia,” katanya dengan penuh semangat.

Walaupun saya tidak menyokong mana-mana parti politik — serta menolak parti-parti politik berasaskan kaum dan perkauman — saya masih terasa seronok mendengar pandangan Sivasubramaniam. Sekurang-kurangnya saya berpeluang mengikuti perkembangan politik dalaman MIC secara lebih dekat.

* Uthaya Sankar SB akan mengendalikan “Dialog Perpaduan Kavyan” anjuran Kumpulan Sasterawan Kavyan pada 16 Jun 2013 di Shah Alam.
xxx2

Komen Anda

0 Responses to " Pergolakan dalaman rugikan MIC "

Note: Only a member of this blog may post a comment.

xxx