Wednesday, June 12, 2013

Bot Terbalik, Dua Nelayan Dikhuatiri Lemas

Seorang nelayan terselamat manakala dua lagi rakannya dikhuatiri lemas apabila bot gentian kaca yang dinaiki mereka terbalik di perairan Pantai Sura Hujung, dekat sini semalam.

Kejadian pukul 4.45 petang itu menyebabkan dua nelayan berkenaan, Mohd Saifuddin Shafie, 18, dan Halim Hurus, 22, hilang manakala Mohd Mazli Mohamad, 30, berjaya diselamatkan.

Ketika kejadian, ketiga-tiga mereka dalam perjalanan pulang dari menangkap ikan dan ketika meluncur 300 meter menghampiri darat, bot yang dikemudi Halim dikatakan membuat pusingan mengelak selepas terlihat ombak kecil di hadapan.

Berikutan itu, bot yang dinaiki mereka dikatakan berpusing sebelum terbalik menyebabkan ketiga-tiga mereka tercampak ke dalam laut.

Ketua Polis Daerah Dungun Supt Dahlan Mohd Noor berkata seorang daripada nelayan itu iaitu Mohd Mazli diselamatkan oleh penduduk tempatan yang berada di tepi pantai dan melihat kejadian itu.

Beliau berkata Mohd Mazli yang lemas dan tidak bermaya kemudiannya dihantar ke Hospital Dungun.

“Sehingga pukul 8 malam tadi, gerakan mencari dua lagi nelayan itu masih diteruskan melibatkan anggota Bomba dan Penyelamat, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia dan penduduk kampung,” katanya kepada pemberita di sini.

Dahlan berkata ketiga-tiga nelayan itu yang berasal dari Kampung Sura Hujung keluar menangkap ikan sejak pagi.

Sementara itu, Hamidi Hurus, 19, ketika ditemui di hospital berkata ketika kejadian beliau berada di tepi pantai menunggu kepulangan abangnya, Halim.

“Masa itu saya melihat bot yang dinaiki abang berpusing saya nampak dengan jelas mereka semua tercampak ke laut,” katanya.

Hamidi berkata dia hanya berjaya menyelamatkan Mohd Hazli manakala abangnya dan seorang rakan lain hilang. – Bernama






TERKINI Mangsa terakhir bot gentian kaca terbalik ditemui

Gerakan mencari dua nelayan yang hilang selepas bot gentian kaca yang mereka naiki terbalik di perairan Pantai Sura Hujung di sini semalam, ditamatkan setelah mayat mereka ditemui hari ini.

Ketua Polis Daerah Dungun Supt Dahlan Mohd Noor berkata mayat Mohd Saifuddin Shafie, 18, ditemui terapung oleh pasukan penyelamat kira-kira pukul 5.25 petang ini.

Terdahulu mayat seorang lagi nelayan, Halim Hurus, 22, ditemui kira-kira 1 pagi ini setelah terdampar di persisir pantai kira-kira 100 meter dari tempat kejadian.

Dalam kejadian kira-kira 4.45 petang semalam, tiga nelayan terhumban ke laut setelah bot yang mereka naiki terbalik. Seorang daripada mereka, Mohd Mazli Mohamad, 30, berjaya diselamatkan penduduk tempatan yang berada di tepi pantai.

Ketika kejadian, ketiga-tiga mereka dalam perjalanan pulang daripada menangkap ikan dan ketika meluncur 300 meter menghampiri daratan, bot yang dikemudi Halim dikatakan membuat pusingan mengelak selepas terlihat ombak kecil di hadapan.

Berikutan itu, bot yang dinaiki mereka dikatakan berpusing sebelum terbalik menyebabkan ketiga-tiga mereka tercampak ke laut. - Bernama

No comments:
Write comments

Note: Only a member of this blog may post a comment.