Kenyataan Muhyiddin Yassin bahawa Sabah adalah milik Malaysia merupakan satu kenyataan yang menyimpang dan jauh daripada kebenaran. Malah ia boleh disifatkan sebagai kenyataan seorang penjajah.
Akhir-akhir ini, ada kelompok tertentu yang heboh mengatakan tentang Sabah dan Sarawak akan keluar dari Malaysia.
Isu sebenar yang menyebabkan soal pemisahan ini timbul ialah kerana rasa tidak puas hati rakyat Borneo berkaitan layanan tidak adil yang diberikan terutamanya apabila Borneo adalah salah satu rakan kongsi dalam pembentukan Malaysia.
Antaranya ialah jurang perbezaan yang jauh terutamanya dari segi pembangunan antara Semenanjung Malaysia dan dua wilayah Malaysia di Borneo. Ada pihak yang mengatakan bahawa bukan sahaja di Sabah dan Sarawak, bahkan terdapat juga negeri-negeri di Semenanjung Malaysia yang mundur.
Tetapi hakikat sebenarnya ialah, semua negeri-negeri di Semenanjung Malaysia adalah satu entiti di mata Sabah dan Sarawak mengikut perspektif pembentukan Malaysia. Di Semenanjung Malaysia, mereka bermegah dengan lebuhraya yang luas dan cantik. Bahkan katanya Malaysia berbangga dengan kemajuan negara dengan mengambilkira kewujudan mercu tanda negara seperti Menara Kembar Petronas, jaringan keretapi canggih, dua KLIA, Litar Sepang dan pelbagai kehebatan lagi.
Namun kita lupa semua kebanggaan negara itu semua terpacak di bumi Semenanjung Malaysia. Berapa peratuskah rakyat Sabah dan Sarawak yang merasai kehebatan itu?
Jika dikatakan bahawa sebagai rakyat Malaysia kita patut bersama-sama rasa bangga, itu hanyalah satu teori untuk menipu diri sendiri.
Ini bukan soal patriotisma tetapi ini soal hak.
Sabah sudah merdeka tetapi tidak mampu mengurus hasil sendiri yang bernilai puluhan billion sehingga terpaksa menjadi negeri termiskin.
Begitu juga dari segi politik dan pentadbiran, Sabah sebagai sebuah wilayah yang merdeka harus ada autonomi untuk memerintah. Malang sekali pemimpin Sabah terpaksa mengikut telunjuk Putrajaya kerana sistem politik kita rosak dengan kehadiran parti-parti dari Malaya menguasai kerajaan Sabah sehingga wujud apa yang kita namakan sebagai konflik kepentingan antara kedudukan peribadi pemimpin dan mempertahankan hak Sabah.
Bukan itu sahaja, bahkan banyak agensi Persekutuan diwujudkan di Sabah sehingga melapis fungsi agensi Sabah sedia ada seperti LIGS yang di dominasi RISDA. Agensi agama Islam Sabah seperti JHEINS dan MUIS seoalah-olah hilang fungsi dengan dominasi JAKIM. Bahkan skrip khutbah pun tidak mampu dibuat oleh dua majlis agama ini.
Hal inilah yang menyebabkan wilayah Malaysia di Borneo khususnya Sabah berasakan bahawa pembentukan Malaysia sekadar menjustifikasikan pengambilan hasil bumi Sabah, menggugat sistem pentadbiran, bahkan dengan mengubah demografi kaum menerusi Projek IC yang sehingga sekarang tidak diumumkan hasilnya meskipun RCI yang telah ditubuhkan – agar Sabah terus digenggam tanpa mampu menyuarakan hak dengan lantang dan berani.
Keinginan untuk berpisah dari Persekutuan Malaysia oleh kelompok-kelompok tertentu khususnya di Sabah tidak harus ditangani dengan tindakan yang boleh menjadikan keadaan bertambah buruk apatah lagi menggunakan Akta Hasutan 1948 yang suatu ketika pernah dijanjikan penghapusannya oleh Perdana Menteri. Kebanyakan rakyat hari ini sudah bijak dan celik fakta.
Oleh itu kerajaan persekutuan harus mencari jalan yang terbaik dan bijaksana jika ingin melihat Persekutuan Malaysia terus kukuh. Langkah paling sesuai ialah kembali ke meja rundingan.
Seperti kata Zaid Ibrahim, seorang peguam terkenal Malaysia, kerajaan harus mengadakan Dialog Kebangsaan untuk mendengar suara ini.
Penjara bakal tidak cukup untuk memuatkan semua pejuang-pejuang hak yang terdiri daripada anak-anak muda. Rundingan meja bulat akan menjadi sesuatu yang janggal dan tidak boleh dilaksanakan.
-Hasmin Azroy Abdullah adalah Presiden Institut Pemikir Muda Sabah (IPMS) merangkap Ketua 1 Gerakan Solidariti Belia Borneo (GSBB).
Thursday, September 11, 2014
Sabah bukan milik Malaysia?
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Write commentsNote: Only a member of this blog may post a comment.