Thursday, September 11, 2014

BR1M hanya umpan meraih sokongan

Pembantu Pengarah Kajian Institut Rakyat , Ginie Lim berpendapat bahawa pendekatan kerajaan untuk membasmi kemiskinan dengan bantuan langsung tunai, Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) adalahpilihan yang terlalu mudah kerana kemiskinan wujud dalam pelbagai dimensi.

“BR1M bukan sahaja tidak dapat membasmi kemiskinan dalam jangka pendek, sebaliknya ia akan mewujudkan eksploitasi politik dan kebergantungan di kalangan rakyat, di mana mereka yang tidak berkemampuan terdedah kepada risko yang lebih tingi dalam keadaan negara mengalami krisis fiskal.

“Walaupun BR1M diberikan kepada mereka yang miskin tanpa mengenal warna kulit, namun pada dasarnya BR1M tidak dapat mengubah realiti ketidaksaksamaan di bawah dasar pembangunan yang berpaksikan kaum,” katanya.

Pada dasarnya kemiskinan terhasil daripada halangan struktural yang mungkin disebabkan oleh jantina, kaum, kelas, pendidikan mahupun geografi, sehinga menyekat akses seseorang kepada sumber kekayan atau peluang yang saksama.

“Oleh sebab itu strategi pertambahan pendapatan secara langsung melalui BR1M adalah tidak memadai dalam usaha membasmi kemiskinan. BR1M bukannya ubat mujarab bagi mengubat masalah ini.

“Untuk jangka panjang, kerajaan perlu menyediakan kemudahan sosial dan menjamin keadilan sosial bagi membantu golongan miskin, khususnya miskin tegar, keluar daripada kemiskinan,” katanya.

Menurut beliau, bantuan langsung tunai BR1M gagal memberi gambaran bagaimana seseorang penerima boleh keluar daripada kemiskinan dalam suatu tempoh yang tertentu, malah ia juga menimbulkan persoalan samada program ini dapat membantu golongan miskin tegar.

“Jika tidak, maka BR1M bagaikan umpan golongan pemerintah untuk meraih sokongan politik dengan mengekalkan golongan miskin dalam kemiskinan,” akhirinya.

No comments:
Write comments

Note: Only a member of this blog may post a comment.