Kritikan seorang menteri Umno terhadap cadangan draf pengganti Akta Hasutan 1948 tanpa membacanya atau menghadiri siri perbincangannya mengundang kritikan balas anggota Majlis Konsultasi Perpaduan Nasional (MKPN).
Ahli Jawatankuasa Perundangan dan Dasar MKPN Zharif Badrul berkata, tindakan Datuk Abdul Rahman Dahalan yang dibuat melalui siri tulisan di Twitter, sebenarnya hanya menjejaskan imejnya sebagai menteri perumahan dan kerajaan tempatan.
“Budaya antiintelektual yang hanya mengambil pendekatan serkap jarang dan bertindak tanpa membuat "homework" (kerja rumah) terlebih dahulu hanya menjejaskan imej YB sendiri yang juga merupakan seorang menteri,” katanya.
Rahman dalam siri tweetnya semalam antaranya membidas anggota MPKN Datuk Saifuddin Abdullah yang mencadangkan Akta Hasutan digantikan dengan draf rang undang-undang MKPN.
Rahman juga menyelar MKPN kerana menganggap draf yang dikemukakan mereka sebagai muktamad sedangkan tugas majlis itu hanya memberikan input dan mencadangkan undang-undang baru.
Dalam tulisan balas yang disiarkan The Malaysian Insider hari ini, Zharif membela Saifuddin yang menurutnya telah turun padang mendengar pandangan akar umbi berhubung perkara itu.
“Sekurang-kurangnya, MKPN khususnya Saifuddin berani untuk duduk bersama rakyat dan mendengar pandangan daripada akar umbi, bukannya hanya sekadar duduk di atas kerusi dan tweet semberono tanpa mahu mengambil tahu kehendak rakyat,” tulisnya.
Zharif dalam tulisannya itu juga berkata, mereka sedia maklum bahawa penggubalan undang-undang adalah tugas Pejabat Peguam Negara sebelum dihantar ke kabinet dan diluluskan di Parlimen.
Bagaimanapun, katanya, ia tidak bererti proses konsultasi tidak boleh dilaksanakan, seperti inisiatif kerajaan menjalankan perundingan di seluruh negara untuk mendapatkan maklum balas masyarakat.
Justeru, katanya, MKPN sekadar membantu kerajaan mendapatkan input serta cadangan berkenaan Akta Harmoni Nasional yang diilhamkan sendiri Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Razak untuk menggantikan Akta Hasutan.
“Usaha NUCC adalah memastikan agar Akta Harmoni Nasional tidak mewarisi ciri-ciri drakonian dan opresif seperti yang diwariskan penjajah British dalam Akta Hasutan,” katanya lagi.
-gb
No comments:
Write commentsNote: Only a member of this blog may post a comment.