Thursday, January 16, 2014

Dr Wan Azizah jangan saja asyik bawa kipas

Walaupun pemecatan Mohamed Azmin Ali sebagai ahli Lembaga Pengarah PKNS adalah atas urusan rasmi kerajaan Selangor dimana ia terletak di bawah bidang kuasa Abdul Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar, tetapi ia tidak dapat dielakkan dari ditafsirkan sebagai ada kena mengena dengan parti.

Ini kerana kerajaan Selangor itu dibina atas suara rakyat menerusi demokrasi. Dalam hal ini PKR harus bertanggungjawab ke atas apa-apa perkara berbangkit di atas apa yang berlaku ke atas Azmin itu.

Azmin adalah Timbalan Presiden PKR, dimana kedudukan beliau jauh lebih tinggi dan gah dari Khalid Ibrahim. Khalid hanya selaku Ketua Cabang PKR Kuala Selangor saja dan tiada apa-apa kedudukan didalam pimpinan pusat. Disebabkan kerajaan Selangor itu bukan ditubuhkan menerusi akta pertubuhan syarikat, atau perbadanan, yayasan dan lembaga, sebaliknya ia ditubuh menerusi politik (pilihan raya), maka kerajaan Selangor berada di bawah bidang kuasa parti politik.

Sepandai mana Khalid menjadi MB, segala keputusan, polisi dan dasar yang hendak digubal dan diambil mestilah perlu persetujuan parti. Beliau harus mendapat panduan dan pandangan parti atau setidak-tidaknya dimaklumkan kepada parti. Dalam kontkes kerajaan Selangor sebagai kerajaan Pakatan Rakyat bersama, DAP dan PAS semua keputusan perlu mendapat pandangan parti-parti berkenaan.

Khalid tidak boleh pandai-pandai berbuat sesuatu tanpa persetujuan parti. Prosuder dan hakikat ini hendaklah difahami betul-betul oleh Khalid dan jangan berdegil. Melanggari prinsip dan amalan ini bakal membawa bencana kepada kerajaan dan parti PKR. Rakyat dibawah memerhati apakah keputusan dan tindak tanduk MB itu selari dengan kehendak dan aspirasi mereka. Khalid jangan sesekali menjadikan jawatan MB sebagai hak peribadinya bersama beberapa ahli lembaga pengarah dan dia adalah CEO kepada syarikat sendirian berhad.

Berbalik kepada apa yang berlaku ke atas Azmin itu, apakah 'pemecatan' Azmin itu diatas restu parti PKR atau ianya adalah keputusan bersendirian Khalid atas nasihat orang-orang tertentu? Disebabkan Azmin tidak memberi suasana kondusif kepada pentadbirannya, dan sering mengkritik polisi dan pendekatan Khalid, maka Khalid bertindak demikian? Apa lagi kalau Khalid menerima pandangan bukan daripada peribadi parti sebaliknya peribadi yang berkepentingan dan mereka yang sakit hati dengan Azmin maka keadaannya akan menjadi huduh.

Dalam hal ini, perkara besar begitu, kerana melibatkan maruah dan integriti pemimpin, sewajar kalau Khalid tidak hanya mendengar penasihat di kiri dan kananya sahaja atau dari mereka yang rapat dengannya sehingga boleh membetulkan kedudukan songkok dan sampingnya yang tinggi rendah, tetapi beliau mestilah mendapat nasihat lebih jauh dari itu. Khalid perlu terlepas dari perasaan takut atau irihati kerana dimomokkan tetapi harus melihat kepentingan ramai.

Dalam hal ini Dr Wan Azizan Wan Ismail sebagai presiden parti hendaklah dirujuk terlebih dahulu. Tidak ada guna Wan Azizah tercokol di situ kalau beliau tidak dirujuk. Dr Wan Azizah pula kalau tidak dapat berbuat sesuatu, menegur Khalid dalam hal-hal tidak wajar, tidak ada gunanya beliau berada di situ. Jika bersikap lunak dengan Khalid kerana ada apa-apa kepentingan ia sesuatu yang busuk bagi Wan Azizah. Mungkin budi Khalid kepada Azizah dan keluarga tidak relevan dijadikan timbang tara dalam tindakan untuk tidak menegur Khalid.

Kalau hanya begitu, atau Wan Azizah tidak mampu dan tidak tergamak untuk menegur, eloklah Wan Azizah melepas jawatan. Lebih malang lagi kalau Wan Azizah hanya memberi kuasa namanya selaku presiden kepada orang-orang tertentu untuk bertindak bagi pihaknya termasuk ke atas Azmin. Selaku presiden Wan Azizah harus ada pandangan sendiri dan bersikap lebih adil dan saksama dan lebih tegas.

Isu-isu membabitkan pemimpin seperti Azmin itu harus ada suara daripada Wan Azizah. Beliau berhak memanggil Khalid atas nama presiden menyelesaikan apa yang berlaku. Hari ini pemecatan Azmin sudah mula menjadi isu. Katanya pemecatan dibuat pada 13 November tahun lalu dan suratnya baru dihantar pada 8 Januari. Kontrak beliau sebagai ahli lembaga pengarah PKNS akan tamat pada Februari 2015.

Azmin kini secara tidak langsung sudah dipersenda-sendakan oleh pihak musuh. Sama ada Azmin relevan atau tidak menjadi timbalan presiden, tetapi kerana beliau masih berada di situ maka wajar beliau dibela selagi dia bergelar presiden. Azmin juga berhak untuk menjadi MB Selangor jika diukur dari segi kedudukan dan senioritinya. Jadi kalau beliau mempunyai cita-cita itu ia tidak salah. Sesungguhnya jawatan itu pantas untuknya berbanding Khalid jika dinilai kepada pengorbanan dan penglibatan dalam usaha merampas Selangor dari Umno.

Apakah suara Dr Wan Azizah sudah diatasi oleh suara orang lain menyebabkan beliau hanya mendiamkan diri sahaja? Dr Wan Azizah kena bersuara. Sebagai presiden, beliau kena ambil tahu dan bukan hanya membawa kipas ke mana-mana majlis untuk mengipas kepanasan badan. Apa yang berlaku di Kelantan terhadap PKR di sana, di mana ahlinya tidak selesa dengan tindakan kerajaan Pas yang meremehkan kewujudan PKR, perlu juga beliau jenguk silau dan bertanya khabar. Presiden bukankah tugasnya menjaga parti dan sebagai isteri menjaga Anwar. Azizah perlu mengetahui fungsi dan tanggungjawab ini.

Apakah Wan Azizah ada memainkan peranan ini? Kalau beliau hanya ingin menjadi 'queen' di dalam PKR dengan jawatan presiden elok lepaskan saja jawatan. Dibimbangi kalau beliau tidak dapat menjalankan fungsi sebagai presiden kedudukannya akan dicabar kelak dengan tujuan memperkasakan parti.

Hubungan Wan Azizah dengan Anwar Ibrahim sebagai suami yang kebetulan pula menjadi penasihat umum parti itu tidak boleh dijadikan sandaran. Dalam konteks organisasi dan perlembagaan Wan Azizah lebih berkuasa dari Anwar. Anwar hanya sekadar menjadi penasihat saja. Dan apakah ada nasihat dari Anwar berhubung tindakan Khalid terhadap Azmin?

Sesuatu yang perlu senantiasa disedari dan diinsafi kerajaan PKR Selangor wujud adalah atas susah lelah rakyat yang digemburkan dengan semangat reformasi yang bermula pada tahun 1998 setelah Anwar dinyahkan dari Umno. Sejarah merakam semua mengenai peristiwa ini. Semua orang perlu sedar dimanakah Khalid Ibrahim ketika itu.

Berapa kali beliau turun ke Jalan Tunku Abdul Rahman mengepalai tunjuk-tunjuk perasaan untuk menjatuhkan Dr Mahathir Mohamad dan mengoyangkan Umno. Berapa kali beliau keluar masuk lokap. Atau apakah Khalid berjasa besar dengan memberi wang untuk membolehkan gerakan refomasi bergerak? Atau beliau telah membayar Anwar dengan wang di zaman kegelapan Anwar selepas dipecat? Kalau jawatan Khalid sebagai MB itu diganjarkan dengan wang, maka tidak hairanlah kalau apa yang berlaku kini sedang berlaku, Azizah hanya memerhati sambil mengipas-ngipas badan sahaja tanpa berbuat sesuatu.

Masa masih ada untuk Dr Wan Azizah mengatasi kemelut yang berlaku ini. Beliau masih ada kuasa untuk menandak empangan PKR yang bakal pecah ini. Sesuatu yang perlu diingat pengaruh Azmin didalam PKR jangan diperkecilkan. Mungkin benar Azmin dibenci oleh sesetengah kumpulan, dimomokkan sebagai tidak disukai sultan dan sebagainya, tetapi rakyat khasnya mereka yang mengharungi perjuangan rakyat akan tetap bersamanya. Kalau pernyataan dan analisis ini tidak dipercayai, cubalah, sebab rakyat dibawah bukan seronok dengan retorik tetapi mereka suka kepada realiti.

http://msomelayu.blogspot.com

No comments:
Write comments

Note: Only a member of this blog may post a comment.