Makin hari makin bertambah jumlah para pemimpin politik dari pihak kerajaan yang bercakap memperbodohkan rakyat. Dah jadi satu koleksi lawak jenaka yang berenteran. Ada menteri yang bercakap, jika ayam mahal belilah daging atau ayam. Ada menteri yang cadangkan jika tak setuju kenaikan harga tol, sila guna jalan biasa tanpa tol. Waktu harga petrol naik mereka beritahu, sebenarnya harga petrol tidak naik cuma subsidi dikurangkan.
Waktu harga gula dinaikkan mereka cakap, tujuannya supaya rakyat sihat tak kena penyakit kencing manis. Dalam pilihanraya kecil Sungai Limau kerajaan BN anjurkan pula jualan gula RM1.00 sekilogram. Memang hebat kelentong para pemimpin politik yang sedang memerintah Malaysia. Kalau ditakdirkan mereka masuk program Rajalawak, tergugat juga para pelawak sedia ada.
Terbaru, bekas Naib Presiden UMNO yang pernah digantung keahlian kerana didakwa terbabit rasuah dalam pemilihan parti itu, Tan Sri Isa Samad turut menambahkan koleksi kenyataan jenaka berhubung isu tekanan kos hidup yang sedang melanda rakyat. Katanya, kenaikan harga barang bukan salah Umno.
"Itu kita tak boleh elak, nak marah pada Umno sebab apa, kalau marah pada Umno harga tidak boleh turun... kos hidup (tidak boleh turun).
"Kita minta masyarakat memahami kenapa kos ni naik, kenapa pengurangan subsidi itu terpaksa kita buat, demi untuk menjaga keadaan ekonomi negara," katanya.
Begitulah Umno. Waktu mendabik dada bahawa negara berjaya memacu pertumbuhan ekonomi dan memberi pelbagai bantuan untuk rakyat; maka itu adalah jasa Umno. Tetapi sewaktu rakyat terdera dengan bebanan kos hidup akibat kepincangan kerajaan mengurus ekonomi negara, maka itu bukan salah Umno.
Umno adalah parti yang mendominasi kerajaan yang memerintah. Tanpa Umno tiadalah kerajaan Barisan Nasional. Mereka yang mencipta politik mentadbir negara. Mereka yang membangunkan negara dan mereka juga yang menghancurkannya. Janganlah yang baik-baik sahaja dari Umno manakala yang buruk bukan dari Umno.
Kenaikan harga barangan dan perkhidmatan adalah kesan daripada tindakan kerajaan menaikkan harga minyak, gula, kadar tol, tarif elektrik, cukai pintu dan sebagainya. Semua itu membabitkan kos asas pengeluaran barangan. Peniaga terpaksa menaikkan harga barangan apabila kos pengeluaran bertambah.
Mengapa kerajaan ‘terpaksa’ mengurangkan subsidi ke atas barangan tertentu? Kononnya kerana mahu menggunakan wang untuk menguruskan negara. Itu cuma alasan yang direka-reka. Sebenarnya hasil mahsul kekayaan negeri sudah cukup untuk menguruskan negara tetapi ia menjadi tidak cukup apabila negara diurus oleh pemboros wang rakyat. Perbelanjaan negara juga terpaksa menggunakan peruntukan yang besar untuk membayar kos tidak perlu kepada para ‘penyamun’ berlesen yang sudah berakar umbi dalam pemerintahan. Sama ada projek perlu dibuat dengan kos yang berkali ganda lebih tinggi dari kos yang munasabah, atau projek mewah tidak perlu yang sengaja dibuat untuk diagihkan kepada kroni; semuanya menggasak wang rakyat dalam jumlah yang sangat besar.
Setiap tahun Ketua Audit Negara dedahkan ketirisan yang berlaku namun para pemimpin Umno yang memerintah kelihatan tidak mahu membetulkan penyelewengan. Tahun berikutnya ada lagi pendedan baru. Begitulah berlaku saban tahun kehilangan wang negara akibat diurus oleh sebuah kerajaan yang tiada integriti.
Antara ketirisan juga ialah apabila BN menggunakan wang rakyat untuk memenangi pilihanraya umum. Penganalisis politik terkemuka yang melakukan kajian terhadap perjalanan politik Malaysia, Dr Bridget Welsh membuat penilaian bahawa BN menggunakan sebanyak RM2 billion untuk kempen mereka. Itu cuma satu contoh ketirisan wang negara.
Belum kira pembaziran yang dibuat oleh Perdana Menteri, isteri, para menteri dan lain-lain. Sudah puas pemimpin Pakatan mendedahkan di pentas ceramah, namun mereka selamba saja menonjolkan wajah tidak bersalah. Kadangkala makin mendapat tempat pula dalam kerajaan atau Umno. Sharizat Jalil di mana keluarganya terbabit menjahanamkan RM250 juta wang rakyat terus diberikan mandat memimpin wanita parti rasuah itu.
Ketirisan keseluruhan wang rakyat ini dianggarkan RM30 billion setahun. Jumlah sebesar itu boleh diguna untuk mengurus negeri Perlis lebih dari setengah abad.
Kononnya penarikan subsidi untuk salur duit kepada pembangunan, soalnya mengapa subsidi orang awam saja yang ditarik? Misalnya dalam isu penarikan subsidi bekalan elektrik, mengapa pemberian subsidi kepada penjana tenaga bebas (IPP) sebanyak RM19 bilion setahun tidak ditarik?
Umno memerintah Malaysia sudah terlalu lama. Kesan negatifnya ialah hilang keyakinan pihak luar terhadap sistem ekonomi Malaysia, akibat imej rasuah. Ranking indeks rasuah Malaysia tidak pernah baik, sentiasa corot. Kerajaan yang ada ternyata gagal menguruskan ekonomi negara dengan baik. Ia menyumbang kepada kejatuhan nilai matawang Ringgit.
Sejak dilanda kegawatan ekonomi pada tahun 1997, nilai mata wang Malaysia telah terjunam. Peniaga negara kita terpaksa mengimport pelbagai barangan dari luar negara dengan mata wang asing, mereka mengguna Dolar US. Walaupun harga barangan tertentu tidak mengalami kenaikan harga di pasaran antarabangsa tetapi rakyat kita terpaksa menanggung kos yang tinggi akibat nilai mata wang Malaysia yang rendah. Barangan keperluan terpaksa diimport juga dari negara luar, maka harganya menjadi tinggi.
Semua itu adalah kegagalan kerajaan yang didominasi Umno. Maknanya kelemahan kerajaan Umno itulah yang jadi punca terhadap kenaikan harga barang. Takkan tak mahu mengaku lagi?!
Oleh Zulkifli Yahaya
Friday, January 3, 2014
Jangan cakap “bukan salah Umno”
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Write commentsNote: Only a member of this blog may post a comment.