Tuesday, January 7, 2014

‘Orang tengah’ antara punca harga naik di Sabah

SANDAKAN: Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman menyifatkan peranan ‘orang tengah’ turut menyumbang kepada kenaikan harga barang makanan di negeri ini.

Menurut beliau tindakan orang tengah tidak bertanggungjawab dan ingin mendapatkan keuntungan lebih sehingga membebankan pengguna.

“Kenaikan harga makanan pada masa sekarang bukan sahaja disebabkan harga minyak naik dan tarif elektrik, tetapi saya melihat ada unsur orang tengah ingin mengaut keuntungan lebih.

“Mereka menaikkan harga sesuka hati, sebagai contoh saya dimaklumkan harga udang harimau mencecah RM120 dan ia dinaikkan terlalu tinggi,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perjumpaan dengan Ketua-ketua Cawangan UMNO Bahagian Libaran di sini semalam.

Sehubungan itu, Musa berkata beliau akan membawa perkara itu dalam mesyuarat Jemaah Menteri Kabinet akan datang dan memaklumkan kepada Perdana Menteri.

Beliau juga mahu peranan orang tengah dipantau bagi memastikan mereka lebih bertanggungjawab dengan tidak menjual sesuatu barangan dengan harga tinggi.

Dalam pada itu, bagi menangani kenaikan harga barang, Musa menggalakkan penduduk negeri ini bercucuk tanam sayur-sayuran dan buah-buahan di kawasan rumah mereka.

Katanya ia merupakan antara cara untuk meringankan beban membeli barang makanan untuk jangka masa panjang.

Terdahulu dalam ucapannya, Musa berkata beliau telah mengarahkan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan negeri mencari kaedah terbaharu membantu petani, nelayan dan peladang menambah pendapatan. — Bernama

No comments:
Write comments

Note: Only a member of this blog may post a comment.