Kalau ada rumah sendiri, mengapa nak tidur di rumah kerajaan? Kalau ada jam tangan Casio yang berfungsi dengan baik, apakah perlu membeli jam tangan Rolex walaupun diberi diskaun?
Kalau ada tiket tambang murah mengapa pilih penerbangan yang lebih baik walaupun ianya adalah satu ‘entitlement’ atau peruntukan untuk jawatannya?
Kalau ada kereta Camry yang masih baru, mengapa perlu tukar ke Benz?
Bagi seorang pemimpin yang selalu menggambarkan dirinya sebagai seorang yang bersederhana, persoalan-persoalan di atas perlu sentiasa dijadikan keutamaan dalam tindak-tanduknya.
Lebih-lebih lagi kalau pemimpin ini selalu menjadi juara menyerang pihak lawan yang sekian lama memilih kemewahan untuk keuntungan politik.
Apabila rakyat melihat pemimpin yang pada mereka sepatutnya bersifat sederhana ini memilih Benz, yang jauh lebih mewah daripada Camry yang berusia dua bulan, hati mereka dihentak seperti cermin kereta terkena batu.
Hentakan itu bukan sahaja menyebabkan cermin kereta tersebut cacat kerana berlubang, malah hanya menanti masa untuknya merebak dan meretakkan seluruh cermin sehingga hancur.
Inilah yang terjadi pada Ketua Menteri Pulau Pinang dan Setiausaha Agong DAP Lim Guan Eng dalam isu pembelian Benz.
Jawapan-jawapan daripada kerajaan negeri mengenai betapa berbaloinya Benz yang dibeli untuk kegunaan Guan Eng sebagai ketua menteri tidak berguna, kerana Benz dilihat sebagai satu kemewahan berbanding Camry.
Bagi rakyat, mereka merasakan Guan Eng adalah seorang pemimpin yang sepatutnya berkata:
“Memang ada peruntukan untuk saya menggunakan Benz sebagai ketua menteri, tapi saya menolaknya kerana Camry yang disediakan masih baru. Duit yang ada lebih elok saya gunakan untuk manfaat rakyat.”
Itulah Guan Eng yang rakyat kenali, bukannya Guan Eng yang mempertahankan tindakannya membeli Benz.
Bagi penyokong Guan Eng yang menjawab serangan dalam bentuk – “Guan Eng selayaknya boleh menggunakan Benz kerana kecemerlangannya mentadbir Pulau Pinang” – diharap berfikir semula.
Pertama, berjuang dalam politik ini bukan untuk ganjaran seperti menaiki Benz. Ganjaran yang ada hanyalah kepercayaan rakyat untuk memberikan undi majoriti untuk mentadbir semula 5 tahun akan datang.
Sekiranya alasan tersebut layak digunakan, apakah Najib tidak layak menaiki jet peribadi kerana berjaya mengekalkan kecemerlangan BN mempertahankan Putrajaya buat kali ke 13?
Mengapa harus Najib menggunakan penerbangan MAS, sama ada penerbangan kelas pertama mahupun bisnes, kerana beliau layak menggunakan penerbangan yang lebih mewah?
Nasi telah menjadi bubur.
Rakyat memilih Pakatan Rakyat kerana menganggapnya berlainan daripada BN, terutamanya dari segi menolak kemewahan. Namun, kini ia makin dilihat tiada kelainan.
Ingatlah, tindak-tanduk pemimpin mesti serasi dengan persepsi yang dibinanya pada minda rakyat.
Kesilapan Guan Eng kali ini agak parah sebab tindakannya tidak selari dengan persepsi sederhana yang dibinanya sejak pra-2008.
Ia hampir sama dengan tindakan Najib yang tidak selari dengan kata-kata ‘wasatiyyah’nya tatkala rakyat mempunyai persepsi yang mendalam pada keborosannya yang begitu menjolok mata.
Cermin kereta PR kini sudah berlubang. Jika tidak berhati-hati, lubang itu akan merebak ke seluruh cermin kereta.
Namun, kalau PR terus meniru tindakan serong BN, mungkin PR juga turut percaya, berlubanglah cermin kereta sebanyak manapun, cermin tetap tidak akan retak (BN menang dah 13 kali).
PR harus sedar, di sebalik cermin kereta BN yang teguh itu, berbillion duit rakyat tertampal untuk menahannya dari retak.
Apakah itupun turut ingin ditiru PR?
Tuesday, January 7, 2014
Mercedes Benz, isunya kemewahan, bukan harga berpatutan
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Write commentsNote: Only a member of this blog may post a comment.