Tuesday, January 21, 2014

Rasuah dianggap kos dalam perniagaan di Malaysia

TAHUN lalu, Transparency International, pertubuhan antarabangsa bagi memerangi rasuah dan segala bentuk penyelewengan di seluruh dunia mendapati Malaysia menduduki ‘ranking’ (kedudukan) ke-53 dalam senarai Indeks Persepi Rasuah dengan catatan 50 mata (berdasarkan skala 0 bagi terburuk dan 100 bagi paling bersih).

Walaupun kajian tersebut dibuat oleh sebuah badan bebas berwibawa, tidak berkepentingan dan tidak dipengaruhi oleh manamana negara atau pihak tertentu, ia tidaklah mendapat liputan meluas media Malaysia terutama yang dikuasai oleh kerajaan BN.

Sudah menjadi pengetahuan umum betapa media Malaysia mempunyai kecenderungan melaporkan berita mengenai apa juga pengkadaran antarabangsa yang positif bagi Malaysia. Ia tidak terhenti di situ tetapi disambut dengan sebutan dan kenyataan para menteri bagi menunjukkan kononnya betapa handal dan hebatnya kerajaan.

Namun sikap dwi-piawaian atau ‘double standard’ ini jelas diamalkan oleh pemimpin kerajaan BN apabila ada pengkadaran yang tidak memihak atau mencadangkan kebobrokan pentadbiran. Lebih banyak rakyat yang tidak tahu, lebih baik bagi mereka.

Menduduki tempat ke-53 daripada kira-kira 180 negara dalam kajian badan tersebut adalah sudah terlalu buruk.

Namun berada pada mata 50, iaitu pertengahan di antara paling kotor dan paling bersih adalah lebih buruk lagi. Ia membawa maksud kerajaan tidak begitu serius apatah lagi fokus dalam membanteras rasuah.

Justeru, tidaklah diketahui dengan jelas apakah matlamat mewujudkan Badan Pencegah Rasuah (BPR), sebuah unit di bawah Jabatan Perdana Menteri pada Oktober 1967 adalah hanya untuk menangkap ikan bilis atau mengaburi mata rakyat bahawasanya kerajaan BN melakukan sesuatu terhadap gejala ini atau ia sebenarnya satu usaha ikhlas dan bersungguh-sungguh.

Namun apa yang menyerlah ialah setelah 46 tahun katanya memerangi rasuah, kedudukan persepsi rasuah di negara ini sama ada yang dipersepsikan oleh rakyat mahupun oleh orang luar serta yang dirumuskan oleh kajian bebas masih tidak banyak berganjak atau sekadar mencatatkan kemajuan marginal yang sama sekali tidak konsisten.

Begitu pun persepsi atau kegiatan rasuah dan penyalahgunaan kuasa yang sebenarnya berlaku setakat ini lebih banyak dikaitkan dengan pentadbiran kerajaan melibatkan kementerian, jabatan, badan berkanun dan agensi kerajaan.

Bagaimana pula dengan komuniti perniagaan di negara ini? Minggu lalu, KPMG menerusi pejabat operasinya di Kuala Lumpur telah melancarkan buku kajian rasuah dan penipuan berjudul Fraud, Bribery and Corruption Survey Report 2013 (Laporan Kajian Penipuan, Penyogokan dan Rasuah 2013).

Menurut kajian firma perakaunan, pengauditan dan penasihatan percukaian antarabangsa ke-5 terbesar di dunia itu jumlah penipuan dalam komuniti perniagaan di Malaysia meningkat 98 peratus dalam tempoh tiga tahun yang mana 94 peratus daripada jumlah ini dianggap penipuan yang dikelaskan sebagai canggih.

Walaupun laporan seperti ini yang dikeluarkan oleh firma tersebut adalah merupakan edisi kelima namun inilah julung-julung kalinya laporan tersebut turut memuatkan seksyen mengenai penyogokan dan rasuah.

Menerusi kajian KPMG ini, nampaknya bukan kerajaan sahaja yang dibumbui gejala penyelewengan ini tetapi nampaknya wabak jijik ini tanpa disedari turut menular dalam komuniti perniagaan negara.

Kita sudah tentu bukan bercakap tentang amalan penyelewengan dalam perniagaan pisang goreng di tepi jalan (itu pun jika berlaku perkara sedemikian). Kita tidak juga bercakap tentang perniagaan kain tudung di bazar atau seumpamannya. Kita tahu kalau ada penyelewengan sekalipun, berapa sen sangatlah.

Tetapi apabila 90 peratus daripada 100 syarikat awam tersenarai di Bursa Malaysia yang turut serta dalam kajian itu menyatakan penyelewengan dalam bentuk yang disebut itu adalah sebahagian daripada kos untuk menjalankan perniagaan di Malaysia, maka ia tentulah satu penemuan memeranjatkan malah cukup membimbangkan.

Antara perkara pertama terlintas di minda kita tentulah sekiranya harga tumbuk rusuk ini diambil kira dalam penentuan harga sesuatu barangan dan perkhidmatan yang dihasil atau dibekalkan oleh sesebuah syarikat maka harga peringkat pengguna sudah tentu telah diinflasikan melebihi harga sepatutnya.

Sementara kita boleh bersetuju dengan saranan Tan Sri Abu Kassim, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang turut sama dalam majlis pelancaran laporan KPMG berkenaan bahawa gejala yang dilaporkan itu boleh dibendung menerusi peningkatan pendidikan awam, namun persoalannya apa dan bagaimanakah modus operandinya.

Sejauh ini, di sebalik penahanan dan dakwaan beberapa individu terlibat dalam kegiatan rasuah, penipuan dan penyelewengan (kebanyakannya membabitkan jawatan awam atau parti pemerintah), jumlahnyanya dirasakan terlalu sedikit berbanding dengan jumlah laporan dan penemuan pihak tertentu yang tidak dilaporkan secara rasmi.

Justeru dengan pendedahan terbaru kegiatan rasuah dan penyelewengan dalam komuniti perniagaan di negara ini, apakah rancangan SPRM selanjutnya dan apakah suruhanjaya tersebut memiliki sumber tenaga dan pengetahuan serta pengalaman mencukupi bagi menanganinya.

Berlatarbelakangkan laporan KPMG ini, kita sudah tentu tidak lagi hairan sekiranya Malaysia berada di ‘ranking’ ke-6 dunia tentang mudahnya menjalankan perniagaan. Rasuah di Malaysia bukan lagi tumbuk rusuk dan suapan langsung tetapi membabitkan jaringan dan sistem kompleks melibatkan semua. Dalam lain perkataan ia adalah wabak menyeluruh yang tampaknya kian sukar, jika tidak sama sekali mustahil, untuk dibendung.

-Oleh SHIRZAD LIFEBOAT

No comments:
Write comments

Note: Only a member of this blog may post a comment.