Thursday, January 16, 2014

Umno anjur 30 roadshow didik umat Islam tentang isu Allah

Umno Selangor merancang untuk mengadakan perhimpunan bersiri (roadshow) untuk mendidik umat Islam di negeri itu tentang undang-undang mengenai penggunaan kalimah Allah.

30 roadshow yang akan disertai semua 22 bahagian Umno di Selangor itu akan digunakan sebagai pentas untuk mendidik umat Islam mengenai Enakmen 1988 Enakmen Agama Bukan Islam Selangor (Kawalan Penyebaran Kepada Umat Islam), undang-undang yang melarang semua penganut bukan agama Islam menggunakan kalimah Allah dan 34 perkataan bahasa Arab yang lain di negeri ini.

Datuk Seri Noh Omar menyertai protes berhubung isu kalimah Allah di Kajang, baru-baru ini. Gambar fail.

Roadshow itu akan bermula malam ini di Sekinchan oleh Pengerusi Umno, Datuk Seri Noh Omar, dan diikuti dengan roadshow Shah Alam pada 17 Januari dan Klang pada tarikh lain.

"Semuanya sudah dirancang dan terserah kepada setiap bahagian untuk memutuskan tempat dan tarikh. Roadshow ini adalah lebih kepada ceramah untuk mendidik umat Islam dan bukan Islam mengapa penggunaan Allah dilarang bagi yang bukan Muslim di negeri ini.

“Kita mempunyai dua penceramah untuk setiap roadshow yang akan berbincang tentang isu ini daripada segi undang-undang dan agama," katanya.

Beliau berkata, antara ahli panel terdiri daripada calon BN parlimen Shah Alam dalam PRU13, Datuk Zulkifli Noordin dan Rusdi Long.

"Kita juga menyenaraikan beberapa peguam syariah untuk membicarakan isu ini," katanya.

Noh berkata, tiada salahnya untuk mendidik rakyat tentang enakmen tersebut.

"Saya tidak melihatnya sebagai satu hasutan. Apa yang dimaksudkan sebagai hasutan sekiranya kita hanya mendidik rakyat tentang undang-undang di Selangor," katanya.

Berhubung lokasi program, Noh berkata, beliau sudah meminta izin untuk roadshow itu diadakan di tempat tersebut.

Isu penggunaan kalimah Allah berbangkit apabila paderi Lawrence Andrew pada 27 Disember tahun lalu mengeluarkan kenyataan bahawa gereja Katolik di Selangor akan tetap menggunakan kalimah itu dalam cerama mereka dalam Bahasa Melayu walaupun Jais menghantar peringatan larangan menggunakan kalimah itu oleh bukan Muslim.

Kenyataan beliau dianggap mencabar perintah yang dikeluarkan Sultan Selangor bahawa penganut bukan agama Islam dilarang menggunakan kalimah Allah.

Andrew menjadi sasaran kebencian oleh pelbagai kumpulan. Lebih 200 laporan polis dibuat terhadapnya oleh Umno Selangor dan kumpulan pejuang hak Islam meminta beliau menarik balik kenyataan itu.

Keadaan semakin teruk apabila Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) menyerbu premis Persatuan Bible Malaysia (PBM) dua minggu lalu.

Jais merampas lebih 300 Bible dalam Bahasa Melayu dan Iban dalam serbuan tersebut. Dua kakitangan PBM juga turut ditahan, namun dibebaskan pada petang yang sama.

Berikutan kejadian tersebut, Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengeluarkan arahan baru kepada Jais.

Beliau berkata, penguatkuasa agama dalam negeri itu harus mendapat kelulusan daripada exco sebelum membuat sebarang serbuan atau penyiasatan yang dianggap sensitif.

Beliau mengumumkan SOP baru bagi Jais itu dua minggu lalu selepas serbuan Jais terhadap PBM.

"Mereka harus berbincang dengan majlis agama dan exco negeri sebelum mengendalikan serbuan sebegini," kata Khalid kepada wartawan selepas mempengerusikan mesyuarat exco pertama tahun ini. –TMI

No comments:
Write comments

Note: Only a member of this blog may post a comment.