KOTA KINABALU : Seorang pemimpin masyarakat dan hak asasi terkemuka dari Sabah menyifatkan tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menyerbu pejabat Kristian dan merampas lebih 300 Al-Kitab termasuk dalam Bahasa Iban di Selangor semalam sebagai tidak ubah seperti lanun yang merompak sesuka hati harta milik orang lain.
Datuk Patrick Sindu, ketika dihubungi FMT, berkata: “Perbuatan mereka samalah seperti lanun yang masuk ke kawasan orang lain dan merompak serta merampas harta orang lain”.
Katanya perbuatan JAIS mencampuri agama lain itu menghina dan melanggari perlembagaan dan sudah cukup melampaui batas oleh kerana premis agama lain pun kini mereka hendak menghendap, mengintip malah menyerbu sesuka hati.
“Kalau begini gaya mereka mungkin, tidak lama lagi jabatan-jabatan hal-ehwal islam di Malaysia seperti JAIS teringin pula mencuba memasuki dan memeriksa gereja-gereja dan rumah-rumah orang Kristian di negara ini,” kata Sindu.
Beliau mengulas tindakan sekumpulan pegawai JAIS yang diiringi polis menyerbu premis Pertubuhan Bible Malaysia (BSM) di Selangor kelmarin dan dikatakan bertindak agresif terhadap kakitangan pusat Kristian di situ yang mulanya enggan membenarkan mereka memasuki pejabat pertubuhan Kristian itu.
Menurut Sindu, JAIS tidak mungkin mempunyai waran berbuat demikian dan menggunakan dikri Sultan Selangor hanya mencemar lagi pertimbangan masyarakat, termasuk masyarakat dunia, terhadap Islam dan para pemimpinnya khususnya yang berada di Malaysia.
`Kesakitan hati’
“Kesakitan hati seseorang akibat tindakan sebegini tidak kita boleh nampak, dan ia akan simpan dalam hatinya sampai akhir hayatnya tetapi Allah yang maha kuasa juga yang nampak,” kata Sindu sambil menambah manusia bertopengkan syaitan semakin membahayakan masyarakat majmuk Malaysia dewasa ini.
“Kita tiada masalah seperti ini di Malaysia Timur. Mahukah mereka kalau orang lain bertindak kasar dan agresif terhadap mereka?” katanya sambil menambah lagi bahawa bukan Malaysia begini yang diingini oleh orang Sabah dan Sarawak.
Beliau juga menyeru Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak, supaya mengotakan 10 perkara kabinetnya menghormati penganut Kristian dan agama selain Islam di negara ini dan jangan berdiam membisu seribu bahasa.
Tindakan kontroversi JAIS itu mengundang pelbagai komen masyarakat di Sabah dan Sarawak termasuk di laman-laman maya namun pihak gereja setakat ini belum lagi mengeluarkan sebarang kenyataan.
Bagaimanapun, Bishop Paul Tan dari diosis Katolik Melaka-Johor, terus-terang membidas keras tindakan ala-Gestapo (polis rahsia Jerman di bawah Nazi) JAIS itu sambil menyatakan jabatan islam berkenaan tidak mempunyai hak mempersoal penganut Kristian di premis mereka sendiri.
“Serbuan JAIS semalam adalah sebahagian lagi bukti pihak-pihak berkuasa (di Malaysia) semakin cuba mengekang kebebasan penganut Kristian mengamalkan agama mereka seperti dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya dipetik sebagai berkata. -FMT
Sunday, January 5, 2014
JAIS seperti lanun, kata aktivis Sabah
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Write commentsNote: Only a member of this blog may post a comment.