Saturday, January 4, 2014

70% penerima BR1M masih belum mendaftar

Datuk Ahmad Maslan menggesa pihak yang masih belum mendaftar Bantuan Rakyat 1Malaysia 3.0 (BR1M 3.0) agar segera berbuat demikian sebelum hujung bulan ini bagi mengelakkan mereka tidak menerima bantuan kerajaan tersebut.

Timbalan Menteri Kewangan itu berkata kira-kira 70% daripada 900,000 penerima yang layak menerima BR1M 3.0 perlu segera mendaftar bagi melayakkan mereka menerima caruman takaful i-BR1M.

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan (kanan) membantu seorang penerima BR1M mendaftar bagi melayakkan beliau menerima caruman takaful i-BR1M.

"Proses pendaftaran dan kemaskini maklumat telah bermula sejak 23 Disember lalu dan akan berakhir pada 31 Januari ini.

"BR1M sebanyak RM650 dan caruman takaful i-BR1M RM50 diberikan kepada pemohon berpendapatan bulanan RM3,000 ke bawah dan BR1M RM450 dan caruman takaful i-BRIM RM50 diberikan kepada pemohon berpendapatan bulanan RM3,001 hingga RM4,000," katanya dalam satu sidang media di Putrajaya hari ini.

Ahmad berkata BR1M turut diberikan kepada individu bujang 21 tahun ke atas dengan pendapatan bulanan tidak melebihi RM2,000.

Katanya, tempoh perlindungan takaful i-BR1M bermula dari 1 Januari hingga 31 Disember, 2014 dengan nilai perlindungan maksimum sehingga RM30,000 sekiranya berlaku kemalangan dan hilang upaya kekal.

"Bagi penerima yang meninggal dunia, nilai perlindungannya masih dalam perbincangan dan kami dalam peringkat akhir menyediakan polisi insurans serta dokumentasi yang akan dimuktamadkan dalam masa terdekat.

"Sehingga 31 Disember, 2013, sebanyak 270,000 permohonan baru diterima di samping penerima BR1M sedia ada berjumlah 6.8 juta orang.

“Daripada jumlah tersebut, sebanyak 4.4 juta penerima telah mengemaskini maklumat nombor akaun bank," katanya yang turut menyatakan seramai 2.4 juta pemohon lagi masih belum berbuat demikian.

Beliau berkata seramai 7.9 juta penerima dijangka akan menerima BR1M kali ini yang akan dibuat menerusi pindahan secara terus kepada akaun bank penerima.

Katanya, penerima yang masih belum mengrmaskini nombor akaun mereka digesa berbuat demikian sebelum hujung bulan ini bagi memudahkan urusan pembayaran.

"Agihan pembayaran BR1M akan dibuat kepada penerima yang layak mulai Februari 2014 justeru kami meminta penerima mengambil pengajaran daripada BR1M yang sebelumnya agar tidak menunggu saat-saat akhir. Kemaskini juga boleh dilakukan di www.hasil.gov.my atau 60 cawangan Lembaga Hasil Dalam Negeri seluruh negara.

"BR1M 3.0 menyaksikan peruntukan sebanyak RM4.5 bilion berbanding BR1M 2.0 RM3 bilion," katanya yang turut menyebut sebanyak RM200,000 peruntukan tambahan dikhaskan dalam edisi kali ini. – TMI

No comments:
Write comments

Note: Only a member of this blog may post a comment.