Wednesday, January 1, 2014

Ambang 2014: Tahun susut duit, susut nilai dan bukti pembohongan

DUNIA belum kiamat. Justeru, 2014 ini bakal disambut 27 juta rakyat Malaysia dalam keadaan dukacita biarpun diiringi konsert, bunga api dan pertambahan Kedai Kain Rakyat 1Malaysia.

2014 menyajikan satu lagi episod buruk kegagalan kerajaan Barisan Nasional (BN) mengurus ekonomi negara dengan baik. 2014 ialah tahun kejatuhan ekonomi rakyat kelas pertengahan dan ke bawah.

Dengan kegagalan kerajaan mengurus ekonomi dengan baik; yang akhirnya menyebabkan hutang negara bertambah, kenaikan harga barang dan rekod rasuah yang cemerlang. Adakah 2014 ini juga akan menyaksikan kejatuhan ekonomi negara yang dahsyat?

Seputar itu, ia langsung mengingatkan kita kepada soalan utama pra-pilihan raya, “Adakah BN mampu terus menerajui negara?” atau yang sebelumnya sering diungkapkan mereka; “Adakah Pakatan Rakyat (PR) mampu mentadbir Malaysia?”


Saya percaya, soalan mampu atau tidak ini sudah tamat tempoh. Tidak sesuai lagi untuk kita ungkitkan. Kalau kita mengambil contoh Korea Utara, kerajaan mereka mampu sahaja terus memerintah walaupun rakyatnya tertindas, mati tidak cukup zat dan demokrasi. Begitu juga dengan UMNO yang sudah sebati dengan penyakit rasuah daripada pucuk sampai ke akar dan tak mampu diubati lagi.

Yang penting sekarang bukan lagi soal BN atau PR. Beban yang terpaksa dihadap masyarakat Malaysia seluruhnya kini tertumpu kepada bagaimana masa depan kita dan negara yang terpaksa mengharungi zaman gelap ekonomi akibat kebijaksanaan BN mengurus ekonomi negara dan bagaimana kita mampu lagi berjimat dengan roti canai dan teh o kalau harga pun sudah naik!

Over time sampai lebam dan Hidup Melayu

Lubang poket kita yang makin besar dan lolos ini tidak mampu dibaiki dengan seruan “Marilah bersatu…! Hidup Melayu..! atau 1Malaysia. Itu semua sampah. Slogan bodoh yang menjadi racun bagi minda masyarakat Malaysia.

Lidah memang lembut. Datuk, Datuk menteri senang saja kata “Marilah bersatu bersama lalui dugaan ini…!” tapi mereka terus membolot harta negara dan hidup mewah. Mereka berseru “Hidup Melayu..!” tapi mereka juga yang menginjak-injak bangsa ini. Slogan sepeti ini semata-mata slogan hipokrit. Slogan buat mereka yang bebal.

Apa pun, jika kerajaan tidak hilang RM20 bilion setahun akibat bocor, saya yakin benar mereka tidak akan terburu-buru menaikkan kos keperluan harian dan perkhidmatan kita malah BR1M yang dijanjikan sebanyak RM1,000 sebelum pilihan raya pula tidak akan terkurang sesen pun seperti sekarang yang hanya RM650.

Jenayah bakal naik seiring kenaikan capati

Tahun 2014 ini saya percaya sebagai tahun kenaikan kadar jenayah terutamanya di kawasan bandar seiring keperluan kewangan yang mendesak. Ini bukan soal harga naik 20 sen, 30 sen tetapi kesan daripada momentum kenaikan itu bagi hidup sehari-hari. Satu lagi ‘hadiah’ daripada kerajaan BN buat kita, golongan kelas pertengahan dan ke bawah. Bila jenayah meningkat, lebih banyak CCTV dipasang, lebih ramai pak guard Nepal digaji, lebih lama pasukan Rukun Tetangga berjaga malam dan mata pun lebam. Ini bermaksud, lebih banyaklah duit kita mengalir.

Tahun 2014 juga tahun miskin. Untuk mencapai keselesaan hidup dan menyeimbangkan poket. Kita akan lebih kuat bekerja. Masa bersama akan kurang. Ibu bapa akan lebih sibuk bekerja sambilan, pekerja industri akan buat OT tidak tidur malam. Dengan mata lebam dan perut yang makin susut, hubungan kekeluargaan dan masyarakat yang makin merenggang; kesusutan nilai ini juga tidak lebih dari sebuah manifestasi gagalnya kerajaan BN menjadi penaung dan pendokong masyarakat terbanyak kelas pekerja.

Lupakanlah sahaja Syed Mokhtar al-Bukhary yang dibanggakan kita, lupakan Ananda Krishnan, lupakan Robert Kuok. Mereka ini terus mendapat dokongan dan sokongan kerajaan dengan monopoli dan pemberian subsidi menguntungkan satu demi satu dan terus kaya. Soal sekarang adalah kita yang belum tentu nasib hujung pangkalnya.

Suka saya memetik bait-bait apologetik Timbalan Ketua Pengarang Utusan Malaysia Zaini Hassan, “…. Namun, negara akan tetap berdiri. Malaysia bukanlah sebuah rumah yang sedang terbakar dan kapal sedang karam. Ia masih lagi berlayar, walaupun badai terus melanda.” Selamat Tahun Baru 2014.

-Roketkini.com

No comments:
Write comments

Note: Only a member of this blog may post a comment.