Monday, September 8, 2014

PKR dan DAP dianggap biadap dan derhaka oleh Istana?

Istana Selangor menyifatkan tindakan PKR dan DAP yang hanya mengemukakan nama Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail sahaja sebagai "engkar" kepada titah Sultan yang meminta mereka mencalonkan lebih daripada dua nama sebagai calon MB.

Setiausaha Sulit kepada Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani berkata istana menganggap perbuatan kedua-dua parti itu sebagai "menggambarkan kebiadapan kepada institusi raja" dan "merupakan perbuatan derhaka" kepada baginda.

Dukacita dengan tindakan kedua-dua parti itu, beliau berkata PAS pula akur dengan permintaan baginda sultan seperti dalam surat bertarikh 27 Ogos lalu.

"Manakala parti-parti DAP dan Keadilan telah masing-masing mengemukakan hanya satu nama yang sama iaitu Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon Menteri Besar Selangor.

"DYMM Sultan Selangor amat merasa dukacita di atas tindakan parti-parti DAP dan Keadilan yang engkar terhadap titah baginda bertarikh 27 Ogos 2014.

"Tindakan parti DAP dan parti Keadilan ini menggambarkan kebiadapan kepada Institusi Raja dan merupakan satu perbuatan derhaka kepada titah DYMM Sultan Selangor," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sehingga tarikh akhir penyampaian nama calon kepada Istana 3 September lalu, PKR dan DAP hanya mempersembahkan nama Dr Wan Azizah sebagai calon tunggal menggantikan Tan Sri Khalid Ibrahim.

PAS pula mengemukakan dua senarai dan salah satunya senarai mempersembahkan tiga nama iaitu dua dari ADUN PKR dan satu dari partinya sendiri.

Dalam kenyataannya juga, Mohamad Munir berkata titah Sultan Selangor supaya mengemukakan lebih dua calon MB adalah satu amalan/konvensi yang dilaksanakan baginda.

Katanya, ini membolehkan baginda membuat pilihan calon yag mendapat sokongan majoriti ahli Dewan Negeri serta mempunyai "kemahiran, pengalaman, integriti dan kebolehan seseorang ADUN tersebut."

-mk

No comments:
Write comments

Note: Only a member of this blog may post a comment.