Tuesday, July 20, 2010

Dikikis rakan siber

Berhati-hati apabila membuat kenalan menerusi internet kerana satu sindiket antarabangsa dikesan menggunakan taktik itu untuk menipu mangsanya supaya memasukkan sejumlah wang ke dalam akaun bank kononnya sebagai bayaran cukai atau denda ke atas bungkusan yang dihantar menerusi Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini.

Sejak Jun lalu, Kastam Diraja Malaysia (KDRM) KLIA merekodkan lebih 25 kes penipuan membabitkan kenalan internet sindiket itu, sebahagian besarnya wanita Melayu dan Cina.

LAMAN web KDRM memaparkan amaran khas  mengenai kegiatan sindiket  penipuan  memburukkan imej kastam KLIA.

Pengarah KDRM KLIA, Datuk Azizah Idris, berkata kes itu termasuk membabitkan seorang wanita tempatan yang ditipu sindiket itu sejumlah RM300,000, bulan lalu.

Beliau berkata, wanita itu dihubungi seorang lelaki mendakwa kenalan internetnya dari United Kingdom yang meminta mangsa memasukkan wang berkenaan ke dalam akaun sebuah bank tempatan untuk membolehkannya mengambil bungkusan yang dikatakan mengandungi wang tunai RM2.5 juta dan komputer riba yang ditahan KDRM KLIA.

"Wanita terbabit hanya mengetahui ditipu selepas menghubungi KDRM KLIA apabila diminta sindiket berkenaan memasukkan RM15,000 lagi ke dalam akaun itu," katanya kepada Berita Harian.

Azizah berkata, siasatan awal mendapati sindiket terbabit menggunakan jaringan internet, seperti Facebook untuk berkenalan sebelum memperdayakan mangsa selepas beberapa bulan berkomunikasi.
Beliau berkata, sindiket terbabit yang dipercayai turut dianggotai rakyat Malaysia, dikatakan mencari mangsa sehingga ke Thailand, Singapura dan Australia berdasarkan aduan yang diterima KDRM KLIA.

Katanya, semua kes itu diserahkan kepada polis kerana KDRM tidak mempunyai kuasa untuk menyiasatnya.

Beliau berkata, ada juga mangsa ditipu kononnya kenalan internet mereka ditahan pegawai KDRM kerana gagal menjelaskan cukai barang atau membawa masuk wang tunai melebihi had dan tidak mengisytiharkannya dalam Borang Kastam 22 (pengisytiharan wang tunai).

Azizah berkata, KDRM tidak pernah meminta wang apabila menahan sesiapa atau merampas barang, sebaliknya kes itu diselesaikan mengikut undang-undang.

"Kebanyakan kes penahanan membabitkan individu oleh KDRM KLIA adalah mereka yang didapati cuba menyeludup dadah dan ia dijalankan dengan kerjasama polis.

"Jika kes itu membabitkan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA) 2001, individu itu akan ditahan di lokap KLIA atau Sepang sebelum didakwa di mahkamah dalam tempoh 24 jam dan wang tunai itu akan dirampas dan diserahkan kepada Bank Negara," katanya.

Beliau menasihatkan wanita yang menerima panggilan daripada individu yang mendakwa sebagai pegawai kastam supaya mendapatkan pengesahan untuk mengelakkan diperdaya anggota sindiket itu.

5 comments:
Write comments
  1. Taktik yang sama diguna setiap kali, telah pun dipaparkan atas Surat Khabar, kenapa masih ada yang masuk perangkap? Hairan betul.

    ReplyDelete
  2. semua kena berhati-hati. jangan mudah terpedaya dengan taktik sebegini.

    ReplyDelete
  3. mcm2 taktik penipuan masa kini, kita seharusnya berwaspada, jgn smpai tertipu.

    ReplyDelete
  4. Itulah kita kena sering membaca surat khabar. Isu penipuan ini selalu ada dipaparkan tapi masih ada orang yang menjadi mangsa walaupun taktik yang sama digunakan.

    ReplyDelete
  5. Tembak itu najid rosmah...pergnnnnpennpen

    ReplyDelete

Note: Only a member of this blog may post a comment.