Tuesday, July 6, 2010

SAPP SOKONG LANTIK ANAK TEMPATAN SEBAGAI JUSA

AHLI Parlimen Sepanggar, Datuk Eric Majimbun mendesak agar pihak Kerajaan Persekutuan memberi peluang kepada anak tempatan Sabah yang sudah berpengalaman dan berkelayakan untuk menjawat jawatan utama sektor awam (JUSA) di mana-mana Jabatan Persekutuan di Sabah.

Menurutnya, sebagai rakyat di negeri ini, anak tempatan yang berpotensi untuk menjawat jawatan tersebut lebih memahami budaya masyarakat di negeri ini dan ini memberi kelebihan kepada mereka berurusan dengan rakyat di negeri ini.

“Sampai bila Kerajaan Persekutuan mahu membuka peluang ini kepada anak tempatan di negeri Sabah, sudah 47 tahun Sabah sebagai komponen penting di Malaysia, malangnya anak tempatan sering dibelakangkan untuk menjawat jawatan yang sepatutnya menjadi hak anak tempatan di negeri ini,” ujar Eric yang menyatakan Pengarah Jabatan Imigresen wajib diserahkan kepada rakyat Sabah sebagaimana Jabatan Pendaftaran Negara yang penting untuk menjaga kedaulatan negeri ini.

Tidak dinafikan, kata Eric, memang ada anak tempatan yang menjadi Ketua di Jabatan Persekutuan di negeri ini pada ketika ini, tetapi jumlahnya hanya tiga peratus sahaja terutama di jabatan yang tidak produktif dan jumlah ini perlu dipertingkatkan.

Beliau berkata demikian ketika dihubungi media mengulas kenyataan Bekas Ketua Penerangan Umno Bahagian Tuaran, Sulaiman Sabri yang disiarkan di akhbar-akhbar tempatan baru-baru ini.

Tambah Eric lagi yang juga Timbalan Presiden Parti SAPP Sabah, apa yang berlaku sekarang di negeri ini seolah-olah anak tempatan yang mempunyai pengalaman dan berkelayakan tidak boleh bersaing dengan pegawai-pegawai kerajaan dari Semenanjung.

Sedangkan jelas Eric, di negeri ini juga mempunyai sumber tenaga pakar yang berkebolehan dan diiktiraf oleh negara luar.

“Kenapa anak-anak tempatan di negeri ini yang mempunyai kepakaran sanggup berkerja luar dari negeri ini dan mereka sanggup bekerja di Amerika, Singapura, Australia sebagai pakar. Ini disebabkan kerajaan Malaysia tidak mengambil perhatian sepenuhnya terhadap kepakaran yang mereka miliki,” katanya lagi.

Eric juga turut mencadangkan agar Kerajaan Persekutuan memberi kuasa penuh kepada Ketua-Ketua Jabatan di kalangan anak tempatan di Jabatan Persekutuan bagi membolehkan mereka membuat keputusan tanpa merujuk pihak atasan demi kebaikan penduduk di negeri ini.

Dalam kenyataan Sulaiman di akhbar tempatan baru-baru lalu, Sulaiman mendakwa masih banyak Ketua-Ketua Jabatan Persekutuan di Sabah disandang pegawai dari Semenanjung sedangkan pada masa yang sama ramai dikalangan anak tempatan di negeri ini yang sudah berpengalaman dan berkelayakan mampu menunaikan tanggungjawab tersebut.

Menurut Sulaiman lagi, penyelesaian isu tersebut penting bagi mengubah sentimen rakyat Sabah yang merasakan dianaktirikan dalam pembahagian jawatan dalam Jabatan Persekutuan di negeri Sabah.

Kata Sulaiman lagi, sudah sampai masanya kepimpinan atasan meneliti perkara tersebut dan memberi peluang kepada anak tempatan Sabah bagi menjawat jawatan-jawatan berkenaan.

Sebelum ini, isu tersebut turut mendapat reaksi positif dari Ketua Pemuda Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Jahid Jahim, Ketua Bahagian Parti Bersatu Sabah Bahagian Kiulu, Datuk Louis Rampas merangkap Ahli Majlis Tertinggi Parti Bersatu Sabah, Ahli Majlis Tertinggi Parti Bersatu Sabah, Bahagian Pitas, Ng Loi Tect dan Pengerusi Parti SAPP Bahagian Tamparuli, Chua Hian Hock.

-Oleh: ISMAIL MOHD ROSLI (sabhakini)

14 comments:
Write comments
  1. bagi meningkatkan produktiviti, kecekapan dan keberkesanan, setiap jawatan perlu diberikan kepada mereka yang benar2 berkelayakan. untuk maju tidak perlu ada amalan berat sebelah atau pilih kasih dalam mana2 jabatan. kerajaan perlu memandang serius berkenaan dengan masalah ini..

    ReplyDelete
  2. Jika seseorang itu memenuhi semua kelayakan, saya rasa tak salah memberikan peluang untuk membuktikan kebolehanya.

    ReplyDelete
  3. anak tempatan Sabah perlu diberikan jawatan tertinggi persekutuan di Sabah, ramai anak sabah kini yang berpendidikan tinggi dan berkelayakan untuk memegang jawatan ini. mereka perlu diberi peluang, biarlah anak negeri Sabah yang mentadbir negeri Sabah.

    ReplyDelete
  4. Kerajaan harus memandang serius terhadap cadangan ini. Apa salahnya melantikan anak tempatan yang berpotensi untuk menjawat jawatan tersebut. Mereka adalah calon yang paling sesuai kerana mereka lebih memahami budaya masyarakat di Sabah.

    ReplyDelete
  5. Ini bukan kerana anak tempatan atau bukan, tapi ini kerana kelayakan dan kebolehan mereka. jadi memang boleh orang tempatan sebagai JUSA sekiranya dia memang mempunyai apa yang dikehendaki oleh jabatan tersebut..

    ReplyDelete
  6. Yup, for sure, need government to give attention this issue. Give them chance to prove they can be better.

    ReplyDelete
  7. hanya orang Sabah yang memahami masyarakt Sabah. oleh itu, utamakanlah anak2 Sabah untuk menjawat jawatan tertinggi dalam persekutuan di Sabah.

    ReplyDelete
  8. perkara ini akan dipertimbangkan. tapi ini merupakan 1 cadangan yang baik. tapi anak tempatan tersebut haruslah berkelayakkan dan mempunyai pengalaman yang banyak untuk memegang jawatan jabatan.

    ReplyDelete
  9. Jangan risau kerajaan tahu mahu buatagipun kalau mmg betul layak konpom kena lantik juga tu :) apa tu. l

    ReplyDelete
  10. bgslah jika ada anak2 Sabah yang dilantik menjadi JUSA, ramai orang Sabah yang layak sebenarnya, mereka perlu diberi peluang!

    ReplyDelete
  11. kerajaan juga perlu menghapuskan amalan2 beberapa jabatan di Sabah yang lebih mengutamakan kenalan atau ahli keluarga untuk memenuhi jawatan2 kosong di Jabatan tersebut.

    ReplyDelete
  12. Anak tempatan yang layak dan berkemampuan harus diberi pertimbangan pendahuluan.

    ReplyDelete
  13. We have local folk who are competence and qualified and should be given priority.

    ReplyDelete
  14. Rakyat Sabah sokong lantik anak Sabah.

    ReplyDelete

Note: Only a member of this blog may post a comment.