Wednesday, December 11, 2013

13 Tentera Lalui Pengalaman Ngeri Bertarung 28 Jam Di Laut

Seorang jurulatih, seorang jurumudi bot dan 11 penuntut kursus asas komando Kem Sungai Udang yang dilaporkan hilang di perairan Pulau Upih, Melaka, Sabtu lepas, ditemui selamat berhampiran Jeti Tanjung Bruas, Melaka, awal hari ini.

Kenyataan Kementerian Pertahanan menyebut kesemua mangsa dan bot yang dinaiki mereka ditemui berhampiran jeti itu pada 12.50 pagi ini.

"Semua anggota selamat dan tiada peralatan yang hilang. Operasi mencari dan menyelamat dihentikan sebaik sahaja mereka ditemui," menurut kenyataan itu hari ini.

Mereka adalah antara seorang pegawai, 10 jurulatih dan 35 penuntut yang menaiki tiga bot diiringi sebuah bot keselamatan dalam perjalanan pulang dari Sungai Udang ke Pulau Upih, yang jaraknya kira-kira 7 kilometer, selepas menjalani latihan mendayung kira-kira 4 petang pada Sabtu lepas.

Semasa perjalanan berdekatan Pulau Upih, berlaku ribut yang mengakibatkan ketiga-tiga bot dinaiki penuntut berada dalam kesulitan dan hampir karam.

Susulan itu, bot keselamatan berkenaan mengambil tindakan segera untuk menyelamatkan ketiga-tiga bot berkenaan dengan menarik sebuah bot ke Pantai Klebang diikuti sebuah bot lagi ke Pulau Upih.

"Bot keselamatan kemudian pergi tempat kejadian untuk menyelamatkan bot ketiga, namun ia tidak dapat dikesan lagi. Berikutan itu, operasi mencari dan menyelamat diaktifkan oleh Markas Tentera Darat dan tumpuan pencarian adalah di sekitar pesisiran pantai.

"Usaha mencari dan menyelamat menggunakan pesawat udara 'Beach Craft' selain usaha menyelamat oleh anggota-anggota tentera dilakukan. Malah, Pusat Mencari dan Penyelamat Maritim Johor Baharu telah mengarahkan kapal-kapal dagang yang melalui kawasan itu untuk membuat pencarian di kawasan Linggi dan Port Dickson," kata Kementerian Pertahanan.

Operasi mencari dan menyelamat turut dilaksanakan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Tentera Udara Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Polis Diraja Malaysia.

Kementerian Pertahanan juga menafikan laporan akhbar bahawa mangsa adalah anggota Komando sebaliknya mereka hanya penuntut, dan menganggap kenyataan itu menjejaskan kredibiliti anggota yang sedia terlatih sebagai anggota elit Komando.

Sementara itu, Panglima Tentera Darat Jen Datuk Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor ketika dihubungi Bernama berkata kesemua mangsa sudah menjalani pemeriksaan kesihatan di Hospital Angkatan Tentera, Kem Terendak dan laporan menunjukkan mereka berada dalam keadaan stabil.

Ketika ditanya mengenai latihan itu, beliau berkata latihan di perairan bagi penuntut yang mengikuti kursus asas komando Kem Sungai Udang akan diteruskan dengan tahap keselamatan yang dipertingkatkan.

"Ia tetap akan diteruskan seperti biasa meskipun keadaan laut yang bergelora akibat musim tengkujuh ketika ini. Kita akan tambah baik dari segi tahap keselamatan," katanya. - Bernama

No comments:
Write comments

Note: Only a member of this blog may post a comment.