Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2013 yang tamat pada 7 Disember lepas jelas menunjukkan dua golongan dalam parti tersebut, yang ‘antik’ dan yang baru.
Pemimpin dan perwakilan ‘antik’ masih lagi kekal dengan semangat dan perjuangan bangsa manakala yang muda pula dilihat menjadi lebih progresif.
Lihat sahaja seruan 1Melayu yang dilaungkan dalam Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) minggu lalu bagi menggantikan slogan 1Malaysia yang berkumandang di mana-mana dalam negara ini sejak 2009.
Alasan melaungkan 1Melayu cukup mudah, kerana PAU adalah himpunan orang Melayu jadi orang lain jangan jadi ‘hero’ untuk bersuara kerana itu hak mereka untuk laungkan 1Melayu.
Sekarang bayangkan pula bagaimana kaum lain yang melaungkan perkara demikian. Tidakkah kita juga akan menjadi ‘hero’ dan membantah?
Selain dari itu, tidak kurang juga seruan kepada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) untuk membantu memperkasakan Melayu dan Bumiputera. Bukan sahaja GLC ini diminta untuk mewujudkan jutawan Bumiputera, bahkan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) GLC ini turut diingatkan supaya membantu Bumiputera, dan bukan sekadar mengaut keuntungan.
CEO-CEO ini diingatkan yang tanpa Umno, mereka tidak akan berjaya mendapat jawatan terbesar dalam GLC. Kekuatan Umnolah yang berjaya mendapatkan mereka jawatan tersebut. Jadi, timbul satu lagi persoalan. Adakah ini bukti jelas parti ini mengamalkan amalan kronisma?
Inilah contoh-contoh dari pemikiran dan idea yang dilontarkan oleh pemimpin-pemimpin ‘antik’ dalam PAU minggu lepas.
Namun, Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak mengambil langkah diplomatik dengan berkata Melayu tidak perlu besifat apolegetik kerana inilah hak orang Melayu dan Umno sendiri tidak pernah menafikan hak-hak kaum lain.
Menurut beliau, dalam era Dasar Ekonomi Baru (DEB), tiada kaum yang terpinggir. Dalam masa yang sama, Najib berkata Umno tidak pernah bersikap rasis dan adil untuk semua.
Berbeza pula dengan pemimpin-pemimpin ‘antik’ ini, jelas arah yang dituju oleh pemimpin baru Umno berbeza arahnya, jika tidakpun nadanya.
Dalam menangani kemelut penyebaran fahaman Syiah di Malaysia, perwakilan Pemuda Umno mencadangkan penggunaan perkataan Islam dalam perlembagaan negara dikaji semula mengikut fahaman Ahli Sunnah Wal Ja’maah.
Bukan sekadar menuduh seseorang itu Syiah, cadangan ini juga memberi ruang kepada ahli-ahli parlimen Muslim sama ada dari Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat (PR) untuk bekerjasama dan sebulat suara menyokong cadangan ini apabila ianya dibincangkan dalam parlimen nanti.
Sementara itu, pergerakan Puteri Umno pula mengecam tindakan membelasah seorang remaja sampai mati kerana cuba untuk mencuri wang dari tabung masjid di ibu negara.
Perwakilan itu berkata tindakan ini tidak berperikemanusiaan dan bukan didikan agama Islam dan terdapat laporan mengatakan mangsa merupakan anak yatim piatu dan tidak mempunyai tempat bergantung.
Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin berkata kerajaan akan dibenci sekiranya gagal untuk mengambil tindakan keatas pihak yang tidak bertanggungjawab dalam menguruskan wang negara.
Menurutnya, tindakan tegas harus diambil kepada golongan ini kerana wujudnya ketirisan wang seperti yang dilaporkan dalam Laporan Audit Negara.
Di samping itu, Khairy turut menyifatkan kesempitan hidup anak muda kini merupakan satu realiti, bukan kerana amalan gaya hidup yang luar dari kemampuan mereka.
Justeru, beliau menyeru kerajaan untuk menambah Program Rumah Transit bagi menampung keperluan anak muda terutamanya yang tinggal di dalam bandar, diamana menurut Khairy, golongan ini yang bergaji RM3000 kebawah sebulan tidak mempunyai simpanan.
September lalu, bekas Presiden Umno Tun Dr Mahathir Mohamad berkata pemimpin perlu tahu had untuk memegang jawatan sebelum lebih ramai orang bodoh berada dalam parti.
Jadi mungkinkah sudah sampai masanya untuk pemimpin-pemimpin ‘antik’ Umno digantikan?
-FMT
Wednesday, December 11, 2013
Yang ‘antik’ dan yang baru dalam Umno
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Write commentsNote: Only a member of this blog may post a comment.