Tuesday, December 31, 2013

MCA Sabah kena pilih Pengerusi yang selari dengan Musa

Pada hari Khamis, presiden MCA yang baru Datuk Liow Tiong Lai akan mengumumkan pengerusi-pengerusi MCA negeri seluruh negara.Di Sabah, Pengerusi Jawatan Kuasa Perhubungan MCA Negeri, Datuk Edward Khoo Keok Hai yang telah mengetuai MCA negeri sejak 1999 dijangka akan digantikan.

Pengerusi MCA Sabah yang disebut-sebut bakal menggantikan Edward Khoo ialah Datuk Paul Kong Sing Chu. Paul Kong merupakan pemimpin MCA tunggal dari Sabah yang menang kerusi Central Committee (CC) pada pemilihan parti tersebut 22 Disember lalu.

Paul Kong juga dikatakan mempunyai hubungan lebih rapat dengan Presiden MCA kerana sama-sama dalam team B menyokong Lim Ah Lek pada pemilihan parti tahun 1999.

Mengambil kira keunikan politik negeri Sabah, Presiden MCA bagaimanapun dinasihatkan agar berhati-hati melantik barisan kepimpinan yang lain seperti timbalan dan setiausaha perhubungan negeri. Jika pemilihan tersebut tidak selari dengan kehendak Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Musa Aman, MCA Sabah akan menghadapi masalah seperti yang pernah dihadapi parti LDP.

Walaupun LDP merupakan parti komponen BN Sabah tetapi hubungan dengan Pengerusi BN negeri tidak baik kerana Timbalan Presiden LDP, Datuk Chin Su Pin pernah mengkritik kepimpinan Ketua Menteri Sabah secara terbuka. Faktor yang paling penting ialah hubungan rapat Chin Su Pin dengan dengan Naib Presiden Umno, Datuk Shafie Apdal.

Musa Aman dan Shafie Apdal merupakan dua pemimpin warlords di Sabah yang umum tahu masing-masing mempunyai pengaruh dan pengikut. Jika MCA memilih pemimpin yang diketahui mempunyai hubungan dengan naib presiden Umno itu, MCA Sabah bakal berhadapan dengan masalah.

Dalam hubungan itu, sungguhpun pemilihan pengerusi dan Jawatan Kuasa Perhubungan MCA negeri adalah hak mutlak atau prerogatif Presiden MCA, sensitviti hubungan dengan pengerusi BN Sabah mesti diambil kira. -FMT

No comments:
Write comments

Note: Only a member of this blog may post a comment.