Thursday, December 26, 2013

Menghadapi esok yang segala-galanya naik

Kita akan menyambut musim-musim mendatang yang sangat mencabar sebenarnya. Bersempena tahun baru 2014 yang akan muncul dalam seminggu dua lagi, tidak akan ada yang turun, melainkan segalanya akan naik dan naik belaka.

Kos kehidupan yang sarat dengan beban, terpaksalah kita pikul juga demi memujuk hati yang kecewa kerana walau bagaimanapun juga, hidup perlu diteruskan!

Isteri saya baru saja membelanjakan RM200 untuk buku-buku rujukan, peralatan dan segala yang berkaitan sekolah anak saya yang akan masuk darjah 6 tahun depan. Itu belanja untuk buku saja, walaupun yuran dimansuhkan, selainnya perlu dibayar dengan duit.

Anak saya itu akan menduduki peperiksaan Ujian Peperiksaan Sekolah Rendah (UPSR) tahun depan tetapi kos pembelajarannya macam nak ambil SPM pada tahun 80an dulu. Kalau di tahun 60an dulu, lulus darjah 6 kita layak menjadi guru sekolah, hari ini lulusan diploma pun belum tentu diterima menjadi guru, melainkan jika kita kenal orang dalam. Apatah lagilah jika kita berkelulusan UPSR.

Kita bukan hidup di tahun 70an, di mana jalan yang disediakan untuk kita hanya satu hala dan itulah yang kita pilih, samada suka mahupun tidak.

Hari ini kita diberi pelbagai pilihan, jalan alternatif mahupun yang konservatif. Hari ini juga kita semakin melihat panorama itu dari sudut yang tersurat mahupun tersirat. Hari ini masyarakat lebih peka dan bijak dalam membuat pilihan, untuk diri mereka juga untuk masa depan.

Untuk seorang lagi anak saya yang akan masuk ke darjah 3 pula, kosnya pun lebih kurang begitu juga. Sehelai baju sekolah sudah mencecah RM30 untuk saiz kanak-kanak. Seluar sekolah untuk saiz dewasa pula mencecah sehingga RM50 sehelai. Jadi kalau kita berpendapatan bawah RM3 ribu, memang karamlah dibuatnya.

Dulu di tahun 80an sewaktu bersekolah di kampung, saya tempah seluar untuk sekolah menengah di tempat kelahiran saya, kosnya baru RM18. Dan seingat saya juga kita mendapat bekalan buku teks percuma daripada hari pertama persekolahan sampailah ke tingkatan 5 kelas menengah. Selainnya untuk buku-buku tambahan atau rujukan itu tidak ada sangat, berbanding hari ini. Kalau ada pun, kosnya tidaklah membebankan sangat.

Bayangkan betapa siksanya pelajar sekolah rendah yang saiz badan mereka di zaman ini kebanyakannya kecil-kecil belaka terpaksa menggendong beban buku yang segala macam jenisnya itu dimasukkan ke dalam beg yang seperti guni baja, sehingga senget badan mereka. Kelas pula di tingkat 4. Untuk sepanjang tahun, setiap hari kecuali hari cuti, mereka akan melakukan rutin yang sama.

Adakah mereka fikir tentang keselesaan anak kita? Adakah mereka ada berfikir untuk meringankan beban kita, para ibu bapa?

Bayangkanlah dan inilah kenyataan betapa hebatnya sistem pendidikan hari ini yang motif utamanya hanyalah ringgit dan keuntungan saja. Mendidik itu satu tanggungjawab, tapi itu berjalan seiring kemampuan (dari segi RM)

Sebab kalau mereka fikir akan keselesaan para pelajar dan tahap kemampuan ibu bapa, mereka akan permudahkan semaksimum yang boleh demi meringankan beban yang perlu dipikul. Ini mereka tambahkan lagi beban dan yang jadi mangsanya, kitalah!

Betapa setiap buku itu nilainya setiap sebuah berharga lebih kurang RM5. Untuk satu subjek kita memerlukan tiga atau empat buah buku rampaian yang wajib dibeli. Jadi syarikat pembekal buku memang untunglah dan yang menanggungnya kitalah, para ibu-bapa yang berpendapatan sederhana ini.

Saya bercerita tentang golongan marhaen. Saya tidak mahu bercerita tentang mereka yang berpendapatan RM400 ribu sebulan atau RM700 ribu sebulan atau RM20 ribu ke atas. Apa yang mereka faham tentang kesederhanaan dan kenyataan hidup?

Umpama seorang pelajar yang berumur 19 atau 20 tahun datang kepada saya bercerita tentang perkara-perkara yang rebel dan tidak konvensional yang penuh dengan teori belaka. Makan minum dan belanja sekolahnya pun masih ditanggung ibu bapa, jadi perkara terbaik yang saya katakan padanya, “Habiskan sekolah dulu, kemudian cari kerja, hidup sendiri, belajar apa itu hidup dan survival, kemudian kalau umur panjang boleh jumpa saya balik.”

Hari ini sistem pendidikan pun menjadi barang perniagaan yang menguntungkan. Inilah seronok dan nikmatnya bagi kita para warga marhaen yang tinggal di negara yang mengamalkan sistem kapitalis secara praktikalnya.

Umpama jika kita menerima saman daripada JPJ mahupun polis. Mahu tak mahu terpaksa kita jelaskan saman, kalau tidak lesen tidak dapat diperbaharui. Sama jugalah dengan buku-buku yang disediakan untuk murid yang wajib memilikinya. Kalau tak beli banyaklah masalah yang akan timbul nanti.

Segalanya menjadi halal serta suci dan kita diajar bersyukur juga disaran agar lebih berjimat cermat. Nak jimat macamana saya pun tak tahu lah, sebab jika kita ‘calculate’, memang akan lari ‘budget’.

Keluhan dan luahan saya ini hanyalah luahan seorang bapa yang mempunyai seramai empat orang anak yang masih bersekolah, bukan ada kepentingan politik apa pun. Bila kita mengkritik, dikatanya kita ini pembangkang pula. Jadi susah untuk bercakap jujur di negara kita sendiri sebenarnya.

Saya tidak percaya sangat pada sistem akademik kita sebenarnya, terutamanya di zaman ini. Atau kenyataannya yang kita perlu akui, bukan semua pelajar itu akan lulus cemerlang dan berjaya dalam kehidupan mereka dengan menjadi doktor, pilot, arkitek, peguam, engineer, profesor atau menteri.

Ada yang akan menjadi pengawal keselamatan, tukang kebun, kerja kilang, kerani, guru, polis mahupun tentera. Bertambah pula jika nasib tidak menyebelahi mereka, jadilah mereka perompak, pelacur, penagih untuk melengkapkan watak-watak buruk dan baik dalam kehidupan manusia.
Apa yang jelas, kita sedang dan akan melalui fasa yang semakin sukar di masa depan. Jurang antara si kaya dan miskin itu semakin jelas untuk kita saksikan. Inilah nikmatnya hidup di era kapitalis, di mana yang kaya makin kaya, yang miskin semakin tersepit.

-Oleh Meor Yusof Aziddin (M/Insider)

No comments:
Write comments

Note: Only a member of this blog may post a comment.