Friday, December 13, 2013

SUPP hadapi masalah dalaman?

Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) perlu menyelesaikan masalah dalaman parti sendiri demi kesejahteraan masyarakat Cina di Sarawak, tegas Ketua Menteri Tan Sri Haji Abdul Taib Mahmud.

“Saya tidak terlibat dalam masalah SUPP yang boleh menyebabkan saya bertelagah dengan mereka, biarkan mereka selesaikan masalah dengan sendiri.

“Tidak ada apa yang mampu saya lakukan melainkan SUPP menyelesaikannya sendiri kerana tiada siapa yang boleh menyelamatkan mereka melainkan diri mereka sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menolak dakwaan menghadiri mesyuarat bersama dengan SUPP seperti yang dinyatakan dalam sebuah akhbar, baru-baru ini.

Taib turut memberitahu bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak juga menekankan SUPP untuk berbincang sesama sendiri bagi mencari jalan penyelesaian.

“Sekiranya ia gagal (perbincangan), saya mahu melihat masyarakat Cina di negeri ini untuk bersatu hati dalam sesebuah organisasi dan mengukuhkan perpaduan masing-masing,” tambahnya.

Dalam perkembangan lain,Taib berkata, Kerajaan Negeri akan menyumbangkan dana sejumlah RM1 juta kepada Tabung Banjir Negara bagi membantu mangsa banjir di seluruh negara.

Pasaran

Sementara itu, Taib mengingatkan generasi hari ini perlu bijak ‘menghidu’ perubahan trend ekonomi semasa agar selari dengan kehendak dan keperluan pasaran kerjaya hari mendatang.

Menurutnya, pasaran kerjaya pada masa akan datang tidak hanya mementingkan pencapaian akademik semata-mata, tetapi juga menjurus kepada kemahiran teknikal.

“Sebagai rakyat biasa, peluang pekerjaan yang akan muncul pada masa hadapan tidak lagi diwujudkan oleh kerajaan, namun berasaskan usaha dan keupayaan golongan yang sentiasa mencari keuntungan iaitu sektor swasta,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penyampaian Anugerah Khas Ketua Menteri Sarawak (AKKMS) Ke-21 di sini, semalam.

Jelasnya, dasar yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri kini lebih menumpukan kepada usaha untuk membantu dan menggalakkan sektor berkenaan agar lebih maju ke hadapan dalam bidang ekonomi.

“Kita sebagai kerajaan terpaksa melihat apakah bentuk pekerjaan yang akan muncul pada masa akan datang berdasarkan ekonomi dan melihat potensi pada setiap sektor yang wujud di negeri ini.

“Sarawak selepas kita kaji, akan ditakluk oleh trend ekonomi ini (sektor swasta) dalam beberapa tahun yang akan datang,” ujarnya.

Dalam keadaan sedemikian, tugas kerajaan adalah menggalakkan pelaburan dan memfokuskan pada individu yang mampu mencari kelebihan sehingga menjana ekonomi sendiri serta negara.

Tambahnya lagi, masyarakat perlu sedar akan hakikat bahawa peluang pekerjaan akan diwujudkan oleh tangan orang yang melabur dan menjalankan perniagaan.

Taib turut memberitahu, generasi muda tidak lagi boleh bergantung kepada sijil sahaja kerana kejayaan dalam kerjaya ditentukan oleh kelebihan dan kebijaksanaan yang dibajai sejak di bangku sekolah.

“Kita mempunyai ekonomi yang bergantung kepada sektor swasta… dalam keadaan sedemikian, latihan dan kemahiran yang ingin dicapai mesti mempunyai hubungan dengan produk yang ingin dipasarkan agar ekonomi bergerak dengan lebih efektif,” tambahnya.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, Sarawak kini merancang untuk menambah dua buah sekolah vokasional untuk mempercepatkan penghasilan tenaga mahir dalam bidang teknikal.

“Menjelang 2030, kita berkehendakkan seramai 1.3 juta tenaga mahir yang lahir daripada kemahiran peringkat bawah manakala 50,000 daripada peringkat sarjana muda dan diploma.

“Daripada jumlah tersebut, kita mesti merangka strategi untuk mencapai sasaran bagi menghasilkan 30,000 pekerja berkemahiran teknikal pada setiap tahun,” katanya.

Katanya, Sarawak kini hanya memiliki 30,000 tenaga mahir selepas berpuluh tahun dan tidak mencukupi bagi menampung jumlah yang disasarkan.

“Keupayaan kita sangat terhad dan tanpa rancangan yang agresif, masalah ini tidak dapat diatasi,” tegasnya.


-http://www.freemalaysiatoday.com/

No comments:
Write comments

Note: Only a member of this blog may post a comment.