Sunday, December 29, 2013

Wang Rakyat Disalahguna Biaya Perkasa Bantu BN

Pendedahan Pengerusi Felda, Tan Sri Isa Samad bahawa Perkasa menerima dana daripada agensi kerajaan dikritik pertubuhan tersebut.

Yang Dipertua Perkasa Selangor, Abu Bakar Yahya menyifatkan pendedahan itu tidak sepatutnya berlaku dan dibongkarkan kepada media.



"Jika benar pun berlaku (dana) tujuan suntikan itu juga pastinya untuk membantu Umno-BN menang dalam PRU14 kelak.

“Beliau (Isa) veteran parti yang sekian lama berkhidmat dan tidak sewajarnya mengeluarkan kenyataan yang mendedahkan kepada risiko seperti ini untuk digunakan ‘musuh’ menyerang kerajaan.

“Kalau tahu pun, diam saja tidak perlu heboh. Sekiranya Perkasa menerima suntikan modal pun ia untuk membantu kerajaan juga dalam kelangsungan survival politik BN pada PRU14 kerana agenda utama Perkasa ialah memperjuangkan hak keistimewaan Melayu dan Perlembagaan Negara bukannya kegunaan peribadi,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Bagaimanapun, katanya Perkasa Selangor tidak menerima saluran kewangan daripada agensi kerajaan tetapi tidak menolak kemungkinan ia hanya di peringkat pusat.

“Di peringkat Selangor, Perkasa mengumpul dana hasil sumbangan orang ramai dan usahawan yang sudi menghulur bantuan untuk menjayakan program yang dirancang bermatlamat Melayu, Islam dan Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Sebelum ini, Setiausaha Agung Perkasa, Syed Ali Syed Hassan mengakui menerima bantuan kerajaan seperti dakwaan Isa namun menyifatkan bantuan tersebut tidak sebanyak yang diterima oleh badan bukan kerajaan (NGO) Cina dan India.

Bagaimanapun, beliau meminta Isa menyenaraikan jumlah bantuan kerajaan yang diberikan kepada pertubuhan itu dalam menjayakan program mereka selama ini.

"Senaraikan jumlah bantuan yang diberikan kepada Perkasa. Berapa banyak? Berjutakah? Berbilionkah? Kami tidak nafikan ada agensi seperti Majlis Keselamatan Negara (MKN), Biro Tata Negara (BTN) dan Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) membantu Perkasa,” katanya. -SH

No comments:
Write comments

Note: Only a member of this blog may post a comment.