Monday, December 9, 2013

Jangan tak jadi muzakarah PAS-Umno

ISU muzakarah PAS-Umno muncul lagi. Entah kali yang ke berapa. Kali ini ia tercetus ekoran kenyataan Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dalam ucapan penangguhan di Muktamar Tahunan PAS ke-59 melahirkan kesediaan bermuzakarah dengan sesiapa sahaja (termasuk Umno) dalam usaha untuk melaksana undang-undang syariah Islam di negara ini.

Setiap kali muncul isu muzakarah maka para pemimpin Umno akan menyahutnya dengan segera dan dalam nada yang tampak positif, kononnya untuk perpaduan dan penyatuan umat Islam di negara ini. Di hujung setiap siri isu ini berbangkit maka Umno akan muncul sebagai juara perpaduan ummah dan pihak yang sangat ikhlas. Manakala PAS akan menjadi pihak yang ‘angkuh dan menolak perpaduan’ apabila kononnya mengenakan pelbagai syarat terhadap Umno.

Babak stereotaip yang akan muncul selepas itu ialah PAS menolak perpaduan sesama Melayu/Islam sebaliknya lebih sedia berbaik dengan DAP yang kononnya musuh Islam. Isu ini menjadi momokan bertubi oleh Umno di kalangan masyarakat Melayu negara ini, akhirnya sokongan orang Melayu terhadap PAS merosot manakala Umno meningkat.

Sejak isu muzakarah Umno- PAS muncul kali pertama secara serius pada awal 1980-an, sehingga kini ia belum pernah menjadi kenyataan. Kepimpinan tertinggi kedua-dua parti itu tidak pernah bertemu secara rasmi untuk bermuzakarah. Suasana paling kondusif tercipta ialah apabila Presiden PAS, Almarhum Dato’ Fadzil Mohd Noor dan Presiden Umno, Dr Mahathir Mohamad berforum bersama di atas satu pentas berkongsi isu penderitaan rakyat Palestin pada tahun 2002. Itu sahaja.

Itupun bukan bermuzakarah isu dalam negara sebaliknya isu antarabangsa. Selepas itu semua cadangan bermuzakarah menjadi sia-sia.

Mengapa Umno begitu ghairah menyahut cadangan bermuzakarah dengan PAS? Benarkah Umno begitu teruja dengan perpaduan Melayu? Jika kita melihat batang tubuh Umno dari atas ke bawah berkali-kali serta melihat sejarah perjuangan parti politik bernama Umno maka sukar sekali untuk mempercayai parti yang kononnya berjuang atas rasis Melayu itu. Seperti kata Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu, jangan tergoda dengan senyuman beracun Umno.

‘Umno’ (parti sekular) di manamana negara juga adalah sama jahatnya.

Dua sebab mengapa Umno menyahut muzakarah. Pertama, Umno sedar bahawa satu-satunya isu yang boleh memecahkan PAS daripada dalam (sama ada dalam Pakatan Rakyat atau dalam PAS sendiri) ialah isu kerjasama Umno-PAS.

Kedua, Umno mahu menonjolkan diri di kalangan orang Melayu bahawa merekalah juara perpaduan – kerana undi Melayu. Umno yang menguasai media akan cuba menggambarkan (secara tidak langsung) bahawa muzakarah Umno-PAS adalah titik perpaduan orang Melayu menghadapi ancaman bukan Melayu, khususnya DAP.

Bukanlah sukar sangat untuk menghidu niat rencong Umno.

Ancaman paling besar bagi Umno- BN ialah perpaduan parti-parti dalam Pakatan. Logiknya, jika pihak pembangkang tidak bersatu dalam bentuk pelbagai kaum maka BN akan terus berkuasa sampai bila-bila.

Walaupun untuk kali ini isu muzakarah dilontarkan oleh Presiden PAS sendiri tetapi para pemimpin parti sangat berhatihati.

Naib Presiden PAS Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man berkata PAS akan berbincang terlebih dahulu sebelum mengambil sebarang tindakan mengenai pelaksanaan muzakarah.

Tuan Ibrahim mengulas, buat masa ini masih belum ada sebarang tindakan sehinggalah perbincangan diadakan.

“Mungkin selepas daripada perbincangan itu beliau (Presiden PAS) akan ada perancangan seperti yang dikatakan, PAS bersedia melaksanakannya,” katanya.

Katanya, fokus PAS buat masa ini adalah mengenai usul yang dibentang dalam muktamar PAS minggu lalu antara lain mendesak kerajaan Pusat melaksanakan sistem perundangan Islam dan membenarkan negeri mana-mana negeri yang ingin melaksanakannya.

Ketua Whip Parlimen PAS, Dato’ Mahfuz Omar menggesa Umno BN menterjemahkan kesungguhan mereka bermuzakarah dengan PAS berhubung isu pelaksanaan Undang-undang Syariah. Memang itu pun intipati dari usul yang dibuat dalam muktamar PAS sehingga Presiden menyatakan kesediaan berbincang dengan sesiapa sahaja, termasuk Umno, untuk menjayakannya.

“Malah jika dia (Umno BN) betul-betul ikhlas, seelok-eloknya menteri sendiri bawa usul berkenaan perkara ini, mengambil kira kesediaan Perdana Menteri Dato’ Seri Najib Razak untuk bermuzakarah berhubung isu ini dengan PAS,” katanya.

Menurutnya, pengalaman lalu menyaksikan usul-usul yang pernah dibawa oleh PAS bukan sahaja tidak disokong malah tidak sempat dibahas pun kerana ditolak awal-awal lagi oleh kerajaan.

Beliau juga turut merujuk kepada satu usul yang pernah dibentang Tuan Guru Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang berhubung isu murtad pada sekitar tahun 1990 lalu.

Tak apalah, apa juga persoalan yang bakal berbangkit dalam muzakarah rasanya untuk kali ini PAS perlu ‘memberitahu’ umat Islam bahawa PAS adalah juara menangani isu yang melibatkan persoalan Islam dan ummah.

Tampakkan PAS bersungguhsungguh mahukan muzakarah dalam persoalan pelaksanaan syariah Islam. Biar sampai berlaku, PAS dan Umno duduk semeja! Hasilnya mungkin tidak positif dari aspek tuntutan yang dibuat PAS namun persepsi positif orang Melayu terhadap PAS boleh kembali melonjak.

Mungkin ada pihak mengandaikan bahawa jika benar berlaku muzakarah Umno-PAS maka dalaman PAS-Pakatan akan bergolak. Hakikatnya jika benar berlaku pertemuan tersebut, maka Umno yang akan terima mudarat kerana selepas muzakarah itu rakyat akan tahu siapa sebenarnya berdolak dalik dengan syariah. Zahirnya tampak Umno yang bersungguh mahukan muzakarah, sebenarnya mereka yang paling takut jika ia benarbenar terjadi.

Oleh ZULKIFLI YAHAYA

No comments:
Write comments

Note: Only a member of this blog may post a comment.