TIdak munasabah UMNO yang berbentuk dan bercirikan hari ini boleh diyakini sebagai parti yang membina dan mempertahankan kedudukan orang Melayu dalam kehidupan siasah dan bernegara. Apa yang disebut olah Najib yang Melayu akan tiada jika UMNO tiada, itu adalah satu isu yang perlu dibahaskan oleh semua rakyat kerana itu adalah pandangan yang amat menyesatkan.
Najib seolah-olah hendak menguatkan kata-kata yang Melayu tidak akan hilang di dunia ini jika UMNO masih berkuasa dalam kerajaan dan politik negara. Sebenarnya keadaan melayu semakin tidak terjamin jika UMNO masih dipimpin oleh pemimpin sekarang ini. Bagi saya, yang saya nampak ialah Melayu akan hilang dunianya jika masih memberikan mandat kepada pimpinan dan barisan yang ada pada hari ini.
Saya menyebut tadi dengan jelas, UMNO yang ada hari ini tidak akan membina orang Melayu, jauh sekali untuk mempertahankan Melayu dari menjadi bangsa yang dhaif suatu hari nanti. Kalau di umpukkan kepada UMNO dan kepimpinan dahulu, ia mungkin memberi makna dan diterima baik. UMNO semakin hari semakin mendhaifkan bangsa melayu sehinggakan Melayu sudah menjadi bangsa yang sangat keliru dan tidak lagi tahu untuk mengenali yang mana baik dan mana yang buruk.
Jika masih tidak disedari ramai terutamanya kepada kepimpinannya, melayu akan hilang segala identiti sebagai bangsa yang bertambah maju tetapi sebaliknya menjadi bangsa yang semakin hari semakin mundur. UMNO, lebih-lebih lagi kepimpinan atasannya tidak nampak tanda-tanda yang mereka memahami apa yang dimaksudkan maju atau mundurnya sesuatu bangsa itu.
Kemunduran yang kian hari dialami secara tidak sedar oleh orang Melayu ialah mundur dalam semua bidang kehidupan, termasuk dalam pemikiran dan nilai agama mereka serta persepsi mereka terhadap kehidupan secara keseluruhannya. Pimpinan utama UMNO berkata seolah-olah tidak ada agama, tidak ada bangsa, dan tidak ada sesuatu kepada bangsa kita masa sekarang dan masa hadapan jika UMNO tidak terus menjadi kerajaan.
UMNO sepatutnya sedar yang orang ramai perjuangkan ini ialah untuk mempertahankan serta menambah apa yang ada kerana UMNO sudah tidak boleh diyakini mampu untuk memperjuangkan mereka lagi. Itulah yang membuatkan keadaan yang tegang dikalangan rakyat dan juga dikalangan pemimpin dan ahli ahli UMNO sendiri. UMNO tidak layak lagi diyakini untuk meningkatkan kedudukan orang melayu, Islam dan semua yang lain kerana pimpinan utama dan diperingkat yang lain sudah hilang punca dalam kemelaratan dan kefakiran jiwa.
Meletakkan UMNO lebih tinggi dari agama itu merupakan satu pemikiran dan nilai yang sangat jauh tersasar tidak dapat diterima oleh sesiapa yang mempunyai nilai kemanusiaan yang beragama. Sebenarnya agama itulah yang boleh menyelamatkan UMNO, bukannya UMNO menjadi penyelamat kepada agama. Islam itu selamat tanpa UMNO dan Islam telah berkembang sejak lebih dari 1400 tahun dahulu semasa UMNO tidak wujud lagi.
Islam berkembang begitu menyemarak sekarang ini walaupun di negara-negara barat yang bukannya negara Islam pun. Islam itu bukannya tuntutan untuk orang Melayu dan penyokong UMNO sahaja. Tetapi tindakan pimpinan UMNO untuk mencuba menakut-nakutkan kita yang agama Islam itu akan hancur tanpa UMNO adalah satu kata-kata yang mencemari agama termasuk Junjungan Besar Muhammad saw.
Kita memahami keadaan yang UMNO memerlukan segala-gala peluang dan kesempatan untuk memperbaiki persepsi buruk rakyat terhadap parti itu sekarang. UMNO khususnya pimpinannya perlu mencari tempat bergantung dan berusaha untuk membina kembali keyakinan ramai terhadapnya yang telah merudum dengan derasnya. Jangan dipergunakan agama dalam politik UMNO itu, kerana sebenarnya pimpinan UMNO itu yang memerlukan agama, bukannya agama Islam itu yang memerlukan UMNO.
Bagaimana UMNO hendak menjadi penyelamat kepada agama kerana pimpinan dan parti itu telah melanggar segala syariat dan hukum agama. Bagaimana penceroboh kepada syariat Islam hendak menyelamatkan Islam?
Tetapi carilah isu dan jalan yang rasional dan tidak mencari peluang dengan mengambil apa sahaja isu yang boleh menambah rasa jemu ramai terhadapnya. Pimpinan mesti mempunyai sedikit kecerdikan dan janganlah sampai memuji isteri yang dipersoalkan ramai itu dengan memberitahu segala apa yang dilakukannya yang boleh dianggap sebagai sumbangan terhadap negara.
Sedangkan Muhammad saw pun tidak memuji Khadijah dalam peranan isteri Junjungan kita itu dalam mengembangkan makallah Islam, tidak ada sebab Najib berbuat begitu semata-mata untuk mengaburi mata ramai yang telah melihat perlakuan isterinya yang begitu ‘over’ dalam segala tindak lakunya itu.
Tidak ada siapa yang berbudaya dan bernilai mulia bangsa Melayu itu akan tergamak menunjukkan kepada ramai bagaimana handalnya isteri beliau dalam menangani masalah negara dan rakyat. Budaya itu terlalu ‘unMalay’ bahkan ia tidak diamalkan oleh mana-mana pemimpin dari negara dan bangsa mana sekali pun di dunia ini.
Keseluruhan ucapan pemimpin dan perwakilan di Perhimpunan itu tidak lebih dari hendak menutupi kelemahan dengan ucapan bergegar-gegar dan segala-gala untuk mendapatkan perpaduan UMNO dengan meningkatkan sentimen perkauman. Perhimpunan yang terdahulu dengan yang sekarang sama sahaja.
Pimpinan hanya hendak memperkuatkan kedudukan masing-masing dalam parti sahaja. Sememangnya Najib kuat dalam UMNO dan tiada pencabarnya. Tetapi UMNO itu sendiri bukan lagi sebuah parti yang ‘winnable’. UMNO sudah ditolak oleh ramai dan ia semakin hari semakin lemah kerana kelemahan pimpinannya terutama pimpinan utamanya itu. Apa faedahnya kuat dalam parti tetapi parti ditolak oleh masyarakat?
Selagi Najib dan barisan pimpinan sekarang ini tidak mahu mengenepikan diri mereka UMNO tidak akan berubah, kalau ada pun perubahannya, perubahan itu hanyalah dari petak kerajaan kepada petak pembangkang dalam pilihanraya yang entah bila akan datang itu.
Penyebab kenapa UMNO masih berada dalam kerajaan dengan kemenangan jumlah kerusi yang tipis itu, hanyalah di sebabkan barisan alternatif belum terbentuk dengan keyakinan lagi walaupun di saat ini.
Rakayat masih takut untuk berubah kerana mereka khuatir jika hanya parti sahaja yang berubah tetapi budaya dan kelakuan dan sikap pimpinan tetap dengan sikap yang lama juga, seperti sikap pimpinan UMNO semasa berkuasa.
Lagi pun yang dijangka akan menerajui barisan alternatif jika mereka menang adalah orang yang bersama menjadikan UMNO yang sedemikian rupa, semasa dia berada dalam UMNO itu dahulu.
Isu ini isu besar juga.
Oleh Aspan Alias
Wednesday, December 11, 2013
Munasabah ke UMNO itu penyelamat agama Islam?
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Write commentsNote: Only a member of this blog may post a comment.