Tuesday, December 3, 2013

Pakatan, pakar perangkap diri sendiri?

Dua tahun lalu, cadangan Perdana Menteri mengesyorkan kenaikan elaun untuk ahli Parlimen mendapat tentangan hebat daripada Pakatan Rakyat (PR).

Tidak jelas apakah ketika itu PR membantah kenaikan gaji atau kerana masa kurang sesuai untuk kenaikan gaji atau kerana semata-mata BN yang mengumumkan kenaikan gaji atau kerana kerajaan tidak mampu atau kadar gaji dinaikkan atau sekadar untuk keuntungan politik kerana PRU13 bakal menjelang.

Yang pasti, bantahan itu lebih berbentuk politik daripada persoalan yang sebenar iaitu – apakah perlu elaun itu dinaikkan? Apakah beban kewangan yang ditanggung ahli Parlimen sejajar dengan tugas yang dipikul mereka?

Dua perkara pokok ini tidak dibincangkan.

Perkara menaikkan elaun dipesongkan untuk mengambil keuntungan politik pada BN. Keborosan BN dibangkitkan. Maka akhirnya sama-sama merana kerana ahli parlimen PR juga tidak mendapat apa-apa walaupun ramai antara mereka yang merasakan gaji dan elaun yang diterima sebagai satu kezaliman kerana tidak setimpal dengan tugas dan bebanan kewangan yang terpaksa dipikul mereka.

Ahli Parlimen yang mempunyai pekerjaan dan bisnes sendiri seperti peguam sebenarnya tidak berapa mengambil kisah gaji sebagai ahli Parlimen. Tapi ada ahli Parlimen yang betul-betul hanya berkhidmat sebagai ahli Parlimen sepenuh masa sangat memerlukan kewangan tambahan untuk menampung perbelanjaan mereka.

Apabila kerajaan Sarawak menaikkan gaji ketua menteri, para menteri dan Adunnya, PR juga membuat bantahan dan mengambil keuntungan politik daripada episod tersebut.

Betul, kenaikan gaji yang disyorkan Sarawak mungkin mengejutkan ditambah lagi dengan kontroversi kekayaan Taib Mahmud, tapi yang perlu dibahas ialah soalan pokok iaitu apakah gaji lama yang diterima ketua menteri, para exco dan Adunnya setimpal dengan tugas yang dipikul?

Tidak. Perkara itu tidak dibahas. Yang penting ialah keuntungan politik. Dalam mencari keuntungan politik, melihat sesuatu isu secara rasional hilang daripada minda.

Kini kerajaan Selangor pula menaikkan gaji menteri besar, exco dan para Adunnya. Tahniah diucapkan kerana membuat perkara yang betul untuk menyelaraskan gaji supaya setimpal dengan tugas diamanahkan.

Kerana Selangor melakukannya, negeri lain seperti Pulau Pinang, Johor dan Perak turut mengikut jejak yang sama tapi pada kadar berlainan.

Itu menunjukkan penyelarasan gaji ini sebenarnya satu keperluan, ia bukan satu isu politik. Isu ini sama seperti menganiaya seseorang pekerja dengan gaji yang rendah. Adalah satu kezaliman untuk membayar kurang daripada sepatutnya kepada tugas yang dilakukan.

Oleh itu, menaikkan gaji Adun dan ahli Parlimen ialah satu keadilan dan tidak menyelaraskan gaji lama itu satu kezaliman kerana gaji yang diterima selama ini sememangnya terlalu rendah.

Namun, kenapa perkara semudah ini menyebabkan PR kelihatan terumbang-ambing? Ini semua kerana pendirian yang diambil mereka sebelum ini – PR mengambil keuntungan politik tanpa rasional dan tidak memikirkan akibat di masa depan.

Sekarang PR ingin membantah GST. Malah ada yang mencadang untuk membuat perhimpunan untuk membantah GST. Ini satu lagi kerja yang bakal menjerat diri.

PR membantah GST kerana sistemnya atau kadar GST yang digunakan atau kerana GST diperkenalkan tatkala BN masih kekal boros atau GST akan menghimpit rakyat atau GST sememangnya haram untuk dilaksanakan?

Yang mana satu sebenarnya? Apa sebenarnya yang dibantah oleh PR mengenai GST?

Sebenarnya, PR bukan membantah sistem GST, tetapi kesan GST terhadap bebanan rakyat, terutamanya golongan berpendapatan sederhana dan rendah kerana pendapatan rakyat masih tidak berjaya dipertingkat untuk menampung kesan kenaikan harga barangan akibat GST.

Namun perkara ini sudah ‘lost in translation’ kerana signal yang diberikan PR kepada rakyat ialah seolah-olah GST ini haram dan apabila mereka berkuasa nanti, GST ini bakal dimansuhkan.

Persepsi ini akan menyebabkan rakyat tertanya-tanya apakah di 2018, PR akan berjanji di manifestonya untuk mencabut GST daripada sistem kewangan negara?

Saya yakin tidak. Saya yakin manifesto PR akan kekalkan GST yang sudah terlaksana untuk tiga tahun ketika PRU14 berlangsung. Yang dimainkan hanya kadar GST yang akan dikenakan. Jika BN kata 6 peratus, PR mungkin kata 3 peratus beserta hujah daripada pakar mereka.

Oleh itu, PR kena berfikir sebelum bertindak. Usah masuk jerat diri sendiri lagi seperti isu kenaikan gaji di Selangor sebab dalam perang persepsi, tiada yang lebih berat daripada persepsi menampar muka sendiri.

No comments:
Write comments

Note: Only a member of this blog may post a comment.