Monday, October 27, 2014

PMUM Berkeras teruskan Pidato Anwar walau di luar pagar

Presiden Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya Fahmi Zainol berkata pihaknya tetap akan meneruskan pidato Datuk Seri Anwar Ibrahim sekalipun pun beliau tidak berjaya masuk ke kampus itu.

Mahasiswa itu berkata jika hal demikian berlaku, pemimpin pembangkang itu akan menyampaikan pidatonya bertajuk '40 Tahun Dari UM Ke Penjara, Signal Kebangkitan Mahasiswa' di luar pintu pagar utama Kuala Lumpur.

“Di peringkat kami sekiranya tidak boleh, kami tidak akan mengambil tindakan yang radikal. Kita mahasiswa kita bijak menilai.

“Kita akan buat di luar pintu pagar Kuala Lumpur untuk beliau memberi pidato," katanya dalam sidang medianya pagi ini.

Presiden PMUM itu turut menambah, beliau sudah menghantar emel dan mesej kepada Naib Canselor UM, Prof Dr Mohd Amin Jalaludin bagi meminta kebenaran menjalankan program malam ini namun masih belum menerima maklum balas.

PMUM akan bertemu sendiri dengan Prof Dr Mohd Amin Jalaludin petang ini di pejabatnya bagi meminta kebenaran.

“Kami akan memastikan perjalanan malam ini berjalan dengan baik, kita akan cuba berunding dengan pihak pengurusan universiti petang ini, Insya-Allah.

“Kita akan jumpa dengan Naib Canselor untuk berbincang dan meminta kebenaran beliau demi memastikan program ini berjalan dengan lancar.

“Beliau masih belum respons mesej dan emel saya, tapi kita cuba ke pejabat Prof Amin sendiri,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, program itu akan tetap diteruskan walaupun pihak Universiti tidak memberi kebenaran kepada PMUM.

Fahmi turut menjelaskan dengan tegas bahawa beliau sedia berdepan dengan apa juga tindakan tatatertib oleh Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar Universiti Malaya ( TNC HEP UM), Datuk Rohana Yusof.

Cemar UM

Beliau mengulas kenyataan Datuk Rohana yamg mengisytiharkan program malam ini sebagai haram.

“Ini bukan kali pertama TNC HEP UM mempamerkan sikap tersebut (mengharamkan program PMUM), maka kami pulangkan kepada TNC HEP UM untuk mengambil apa saja tindakan ke atas kami.

“TNC HEP UM boleh mengeluarkan seberapa banyak surat tunjuk sebab yang beliau inginkan.

"Beliau juga boleh mengenakan apa saja tindakan disiplin ke atas kami kerana beliau sememangnya mempunyai kuasa untuk berbuat demikian,” ujar Fahmi dalam sidang media yang sama.

Beliau turut menegaskan bahawa kedatangan Anwar itu bukan dari kapasiti sebagai seorang pemimpin pembangkang tetapi sebagai Alumni UM.

PMUM selaku penganjur utama memberi jaminan program ini akan berlangsung secara aman kerana objektif asalnya untuk memberi ruang kepada DSAI untuk menjelaskan kepada masyarakat khusunya mahasiswa UM mengenai pertuduhan yang sedang dihadapi beliau, tambahnya.

“Kami percaya DSAI juga perlu diberi ruang untuk bersuara secara lansung kepada masyarakat,” katanya.

Menurut Fahmi lagi, tidak ada sebab program itu dianggap sebagai satu ancaman kepada universiti.

Katanya, tuduhan yang mengatakan program itu akan mencemarkan nama UM kerana menjadikan UM medan politik murahan, tidak akan timbul sekiranya semua pihak mampu menghormati kebebasan akademik.

Sementara itu, Fahmi memaklumkan bahawa hasil perbincangan beliau dengan Mohd Amin menemi kegagalan apabila naib canselor itu tidak bersetuju program malam ini.

"Kita tetap teruskan program ini. Diminta semua mahasiswa dan masyarakat Malaysia hadir di hadapan pintu utama Universiti Malaya jam 8," katanya petang ini.

Bagaimanapun, katanya, jika pihaknya dibenarkan masuk, mereka akan berjalan kaki ke Dataran Tuanku Canselor untuk mengadakan program itu.

-mk

No comments:
Write comments

Note: Only a member of this blog may post a comment.