Sunday, October 19, 2014

Siapa pertualang negara sebenarnya?

PETALING JAYA : Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Al-Habshee berpendapat tindakan sesetengah pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang membawa masalah politik negara kepada pengetahuan pemimpin negara luar merupakan petualang negara dan wajar digantung kerakyatan.

Katanya, tindakan seperti ini bukan sahaja tidak menghormati kedaulatan negara, malah tidak ubah untuk memburuk-burukkan dan mencemar nama baik negara.

“Saya menyarankan kerajaan menggunakan apa sahaja instrumen bagi mengelakkan pihak tidak bertanggungjawab di negara ini berdiskusi perkara-perkara yang berkaitan isu politik dalaman negara kepada pihak luar.

“UMNO Bahagian Cheras mengajak anggota UMNO seluruh negara agar mengutuk sekeras-kerasnya ura-ura PKR mahu membawa kes perbicaraan Anwar Ibrahim dan Akta Hasutan ke Parlimen Australia,” katanya menerusi entri terbarunya umnobahagiancheras.blogspot.com.

Semalam FMT melaporkan, satu delegasi PKR yang kini berada di Australia mengadakan satu misi lawatan kerja bagi memberi maklumbalas kepada Ahli-Ahli Parlimen Australia berkenaan perkembangan politik di Malaysia.

Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli berkata, misi tersebut berkait rapat dengan perbicaraan kes Ketua Umumnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pendakwaan terhadap pelbagai aktivis di bawah Akta Hasutan.

Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan berkata, pihaknya yakin lawatan kerja tersebut dapat memberi gambaran sebenar mengenai tindakan Barisan Nasional (BN) yang menggunakan undang-undang bagi menekan politik lawan.

Dalam pada itu, Syed Ali menambah, pihak berkuasa seharusnya menghalang tindakan Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan PKR mengajak rakyat berhimpun di Mahkamah Persekutuan menjelang keputusan rayuan kes Fitnah II Anwar Ibrahim pada 28 hingga 29 bulan ini kerana boleh mengancam keselamatan awam jika ia gagal dikawal.

“Sejak Anwar dipecat sudah banyak kali menyalahgunakan kebebasan bersuara dan mengheret rakyat berhimpun di jalanraya demi kepentingan dirinya.

“Saya tidak tahulah akta undang-undang rimba manalah yang AMK dan PKR gunakan untuk mengajak rakyat berkempen ‘RakyatHakimNegara’ pada 28 hingga 29 Oktober ini,” ujarnya.

-fmt

No comments:
Write comments

Note: Only a member of this blog may post a comment.