Monday, October 13, 2014

Annuar Musa ajak PAS sertai BN

Datuk Seri Annuar Musa (BN-Ketereh) hari ini mengusik PAS dengan mengajak parti itu menyertai BN selepas kerap 'dibuli' sekutunya dalam Pakatan Rakyat.

"Saya nak tahu kenapa dalam Pakatan Rakyat, PAS dibuli sedangkan Umno pun tak buli PAS.

"Kita dengan PAS mungkin berbeza pendapat, (tetapi) bercerai tidak.

"Malah saya mendoakan kalau PAS banyak-banyak kena buli, marilah duduk bersama BN," kata Annuar sewaktu perbahasan Belanjawan 2015 di Parlimen hari ini.

Annuar sebelum itu menyebut tentang rungutan MP Pasir Mas, Nik Abduh Nik Abdul Aziz (PAS-Pasir Mas) menerusi Facebook yang menuduh PKR dan DAP membuli PAS.

Memetik kontroversi sekitar penggantungan anggota majlis PAS di Pulau Pinang, Annuar berkata BN sendiri tidak pernah membuli PAS sedemikian rupa.

Beliau kemudian memuji PAS dan pada masa yang sama, beberapa MP BN menepuk-nepuk meja sebagai tanda sokongan.

"Kekuatan PKR dan DAP bukan datang daripada DAP dan PKR.

"Kekuatan DAP dan PKR datang daripada PAS.

"PAS tidak akan hancur kerana mereka 'istiqamah' dalam perjuangan mereka.

"Yang akan hancur orang lain," katanya merujuk kepada tema muktamar PAS baru-baru ini.

Khalid Samad (PAS-Shah Alam) yang kelihatan terhibur dengan puji-pujian dari seteru politik dari BN itu berterima kasih di atas kata-kata manisnya buat PAS.

"Saya mendapati ucapan dari wakil Ketereh (Annuar Musa) ini amat melucukan.

"Nak cuba beri umpan sedangkan pada masa yang sama dia mengakui kita ini orang yang dah berpengalaman lama...parti lama.

"Kami tak termakan umpan Ketereh.

"Kita telah mendapat 53 peratus undi rakyat ini dan kenyataan yang Ketereh tak boleh nafikan," kata Khalid.

-mk

No comments:
Write comments

Note: Only a member of this blog may post a comment.