Bajet 2015 yang diumumkan oleh Datuk Seri Najib Razak baru-baru ini mendapat pelbagai reaksi daripada segenap masyarakat. Malah, Bajet terbaru itu turut mendapat kritikan daripada tokoh ekonomi Malaysia, Tan Sri Ramon Navaratnam.Soalan paling utama yang dipersoalkan ramai, adakah bajet ini benar-benar mesra rakyat?
Nilai Bajet 2015 berjumlah RM273.94 billion, meningkat RM9.74 billion berbanding tahun sebelumnya. Dan seperti tahun-tahun sebelumnya, emolumen atau gaji penjawat awam merupakan komponen terbesar dalam peruntukan Bajet 2015, di mana peruntukan emolumen dianggarkan RM65.6 billion.
Ini adalah suatu peningkatan yang besar, terutamanya jika dibandingkan dengan tahun 2013 yang hanya mencecah RM61 bilion.
Adakah peningkatan peruntukan emolumen relevan sedangkan kerajaan sedang giat mengawal defisit kerajaan?
Hapuskan jawatan Duta Khas
Kalau sesiapa bertanya saya tentang bidang yang menjanjikan wang sehingga tua, sudah semestinya saya sarankan bidang politik (yang berkait dengan parti memerintah).
Mana tidaknya, walaupun sudah bersara daripada tampuk parti politik atau tidak mendapat jawatan dalam parti, pastinya jawatan lain yang menjanjikan wang lumayan akan diberikan.
Dalam beberapa tahun lepas, Najib mewujudkan jawatan “Duta Khas” untuk beberapa kawasan.
Datuk Seri Samy Velu (bekas Presiden MIC yang terkenal dengan Bahasa Melayunya yang “fasih”) dijadikan Duta Khas ke India Selatan untuk Infrastruktur. Bekas presiden MCA Datuk Seri Ong Ka Ting dijadikan Duta Khas ke China. Datuk Seri Dr Jamaluddin Jarjis pula adalah Duta Khas ke Amerika Syarikat. Tidak ketinggalan, Datuk Seri Tiong King Sin sebagai Duta Khas ke Asia Timur.
Para pembaca perlu tahu negara-negara seperti India, China, Amerika Syarikat dan Jepun sudah lama mempunyai duta dan diplomat lain dari Malaysia untuk mewakili negara kita di sana.
Justeru, pembentukan jawatan Duta Khas ini dilihat tidak penting dan hanya membazir wang rakyat. Namun, Najib mungkin akan membantah kenyataan ini dengan mengatakan Duta Khas dilantik untuk membawa masuk peluang pelaburan dan sebagainya.
Misalnya, Samy Velu mempunyai hubungan baik dengan India kerana berjaya membawa syarikat Malaysia untuk membangunkan infrastruktur di sana ketika beliau menjadi Menteri Kerja Raya. Jadi, beliaulah yang paling sesuai.
Bagi saya, idea ini langsung tidak munasabah. Ya, kejayaan Samy Velu membawa syarikat Malaysia melabur di India dahulu perlu dibanggakan tetapi, apakah yang sedang Menteri Kerja Raya sekarang, Dato Fadhillah Yusuf buat?
Tidak mampukah beliau meneruskan legasi atau mencapai pencapaian yang lebih baik? Kalau tidak, kenapa perlu dikekalkan?
Begitu juga dengan semua Duta Khas lain. Sepatutnya, jika menteri dan duta kita yang sedia ada melakukan tugas dengan sempurna, jawatan Duta Khas tidak relevan langsung.
Mungkin ramai yang tertanya-tanya kenapa saya begitu menekan untuk jawatan ini dihapuskan.
Ini disebabkan setiap Duta Khas dibayar dengan amaun sehingga RM27,000 sebagai gaji sebulan. Ini lebih besar daripada gaji bersih perdana menteri! Dan barangkali, ada juga imbuhan lain.
Andai jawatan Duta Khas dihapuskan, nescaya amaun emolumen negara yang tinggi boleh dikurangkan.
Hapuskan jawatan Penasihat Khas Perdana Menteri
Ketika ini, terdapat empat jawatan Penasihat Khas; Datuk Seri Dr Abdullah Md Zain (Penasihat Agama PM), Datuk Wira Mohd Johari Baharum (Penasihat Khas mengenai Wilayah Ekonomi Koridor Utara), Tan Sri Dr Rais Yatim (Penasihat Hal Ehwal Sosial dan Kebudayaan) dan Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil (Penasihat Pembangunan Keusahawann dan Ikhtisas Wanita).
Mereka juga dijangka dibayar dengan ganjaran bulanan yang lumayan, yang akhirnya menyebabkan pembayaran emolumen melambung tinggi.
Bukan niat saya mempersoalkan kredibiliti keempat-empat individu tersebut and menabur fitnah, namun soalnya, perlukah Abdullah Md Zain menjadi Penasihat Agama sedangkan Datuk Seri Jamil Khir Baharom adalah menteri bertanggungjawab atas hal ehwal Islam?
Perlukah Rais Yatim menjadi Penasihat Kebudayaan sedangkan aspek kebudayaan terkandung dalam portfolio Datuk Seri Nazri Aziz, Menteri Pelancongan dan Kebudayaan? Dan paling penting sekali, perlukah Shahrizat dilantik menjadi penasihat berkaitan pembangunan wanita sedangkan Dato Rohani Abd Karim memegang Kementerian Pembangunan Wanita,Keluarga dan Masyarakat?
Adakah beliau dipilih hanya kerana Shahrizat merupakan Ketua Wanita Umno walaupun beliau kalah dalam pilihan raya dan dikaitkan dengan “Skandal Lembu”?
Perlukah gaji penjawat awam dinaikkan?
Ya betul, penjawat kerajaan juga memerlukan kenaikan gaji tetapi perlulah diikuti dengan kualiti dan mutu kerja yang turut meningkat. Tetapi, adakah itu berlaku di dalam pentadbiran awam negara kita?
Pekerja awam yang tidak berkualiti dan produktif dikekalkan dalam kerajaan atas rasa takut “kehilangan undi”.
Beberapa tahun lepas, Skin Saraan Baru Perkhidmatann Awam (SBPA) pernah diperkenalkan dan mengandungi “Exit Policy” di mana pekerja awam akan dinilai setiap tahun dan bagi sesiapa yang mendapat markah penilaian kurang daripada 70%, akan disingkirkan daripada perkhidmatan awam.
Namun, dek desakan Cuepacs (yang akhirnya setuju dengan markah yang lebih rendah) dan pelbagai pihak lain, SBPA digantikan dengan Skim Saraan Transformatif yang mengekalkan pekerja walaupun kurang produktif.
Malaysia pada ketika ini mempunyai 1.4 juta pekerja awam. Bagi saya, angka ini tidaklah begitu besar berbanding negara lain kerana di Malaysia, pegawai tentera dan polis juga dikira sebagai pekerja awam, tidak seperti di negara lain.
Bagaimanapun, kita tidak dapat dan tidak harus menafikan bahawa adanya pekerja yang kurang memuaskan dari aspek pencapaian dan golongan ini perlu disingkirkan.
Kenyataan rasmi kerajaan menunjukkan hanya 1.1% penjawat awam mendapat markah penilaian kurang daripada 70% setiap tahun. Andai begitu, “Exit Policy” perlu diperkenalkan dalam bentuk baru selepas perbincangan dan penerangan dengan semua pihak yang terlibat.
Untuk kali ini, adalah lebih afdal sekiranya markah yang lebih tinggi iaitu 75%-80% dikenakan.
Kesimpulan
Saya secara peribadi, bersetuju dengan rasionalisasi subsidi tetapi, hanya dengan langkah tersebut tidak akan membantu kerajaan mencapai hasrat “balanced budget” atau bajet seimbang.
Saranan saya, kurangkan perbelanjaan dalam pembayaran emolumen dengan meletakkan kebajikan rakyat sebagai niat utama, dan bukannya untuk memenuhi “nafsu” politik.
Oleh Ganeshwaran Kana (dd)
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Write commentsNote: Only a member of this blog may post a comment.