Monday, October 13, 2014

BN lepaskan hutang jutawan tapi ‘dera’ peminjam PTPTN

Putrajaya lebih gemar membebaskan penghutang dari kalangan jutawan tanpa sebarang tindakan, sebaliknya mengejar peminjam pinjaman pendidikan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), kata Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar berkata, kerajaan sepatutnya membantu peminjam PTPTN yang miskin meneruskan pengajian mereka.

"Bukan main kuat hujahan kita bila orang kecil berhutang, tetapi lupus hutang (peniaga karpet) Deepak Jaikishan, 1MDB, Tan Sri Tajuddin Ramli dan Perwaja tak bangkit," kata Anwar di lobi Parlimen hari ini.

"Saya minta supaya ada ketelusan dan konsistensi dan jangan kita anggap mudah dera rakyat yang tidak berupaya untuk berhujah," katanya.

Anwar melahirkan kekesalan kerana penghutang dari kalangan jutawan dibiarkan sedangkan hadis mengatakan hutang mesti dibayar sebelum meninggal dunia.

"Saya dukacita kerana hutang 1MDB, hutang Deepak, hutang perwaja, hutang yang maha kaya tidak jadi masalah.

"Tetapi hutang anak-anak muda yang berhutang PTPTN yang menjadi perkara pokok, bawa habis tidak terampun dosanya," katanya.

Anwar turut membangkitkan persoalan berhutang dalam sistem negara yang tidak adil.

"Saya miskin tetapi saya nak belajar, saya tidak ada pilihan melainkan berhutang padahal tanggungjawab pemerintah membantu... ada pertimbangan yang dibuat harus diberikan di situ dan tidak semudah itu.

"Orang berhutang dengan mencatat keuntungan besar, orang kaya berhutang itu jelas terhukum alam," katanya.

"Prinsip asas yang hutang mesti bayar."

Menteri Pendidikan II Datuk Seri Idris Jusoh sebelum ini berkata, 170,000 peminjam PTPTN akan disenaraikan dalam Sistem Maklumat Rujukan Kredit Berpusat (CCRIS).

Idris berkata, selama ini PTPTN amat fleksibel namun ada yang mengambil kesempatan dan langsung tidak membuat pembayaran.

"Bila kita umumkan pelaksanaan langkah itu nanti, kita akan beri tempoh tiga bulan untuk peminjam berbincang dan seterusnya membuat bayaran, sebelum nama disenaraikan dalam CCRIS.

"Kita ada maklumat peminjam dan tahu ada antara mereka yang bergaji lumayan tetapi langsung tidak datang ke PTPTN dalam tempoh tiga tahun untuk berbincang mahupun membuat sebarang bayaran," katanya. –TMI

No comments:
Write comments

Note: Only a member of this blog may post a comment.