Sandakan: Kira-kira 60 penduduk perkampungan atas air kehilangan tempat tinggal apabila 13 rumah didiami mereka musnah dalam kebakaran di Taman Nam Tung, Jalan Leila, di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 7 pagi, beberapa penduduk yang kebanyakannya berada di rumah, sempat lari menyelamatkan diri, tetapi gagal menyelamatkan harta benda masing-masing.
Ketua Zon Sandakan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Anddre Andrew berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 7.40 pagi dan mengerahkan 37 anggota dan enam jentera segera ke lokasi kejadian.
"Sejurus tiba lapan minit kemudian, bomba mendapati api sudah marak manakala keadaan kelam-kabut apabila penduduk cuba menyelamatkan harta benda masing-masing.
"Bomba lantas melakukan kerja mengawal dan memadam kebakaran," katanya ketika dihubungi.
Menurut Anddre, pihaknya mengambil masa hampir satu jam sebelum mengawal kebakaran dan api berjaya dipadamkan sepenuhnya pada jam 8.48 pagi.
"Siasatan awal mendapati, sebanyak 13 rumah musnah kerana api mudah merebak disebabkan kedudukannya yang rapat selain struktur kediaman diperbuat daripada papan.
"Bomba berjaya mengawal api daripada merebak ke rumah lain dan kebakaran hanya membabitkan satu deretan rumah yang terletak berhampiran jalan raya," katanya
Anddre berkata, tiada sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan.
"Pihak kami masih melakukan siasatan mengenai punca dan serta kerugian dialami," katanya.
-mymetro
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Write commentsNote: Only a member of this blog may post a comment.