ISU penghinaan Pengerusi Felda, Tan Sri Isa Samad terhadap Ketua Peneroka Kebangsaan, Shamsudin Othman sangat mengaibkan. Semuanya itu gara-gara terlalu ghairah untuk menyenaraikan Felda Global Venture di Bursa Saham Kuala Lumpur. Sedangkan tiada penjelasan konkrit dimajukan kepada semua peneroka, malah terdapat butiran yang meragukan. .
Ikuti kupasan menarik wartawan Harakah, M SHAFRI SHAMSUDIN bersama Pengerusi Persatuan Anak Peneroka Kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman di Pejabat Harakah, baru-baru ini
WARTAWAN: Apa pendirian Persatuan Anak Peneroka Kebangsaan (Anak) terhadap ucapan Pengerusi Felda, Tan Sri Isa Samad yang menghina Ketua Peneroka Kebangsaan, Shamsudin Othman dan Jawatankuasa Perunding Peneroka (JKPP) baru-baru ini...
MAZLAN ALIMAN: Anak melahirkan rasa dukacita dengan kenyataan yang dikeluarkan Isa terhadap Ketua Peneroka Kebangsaan, Shamsudin Othman. Ucapan itu bukan sahaja penghinaan buat Shamsudin tetapi juga kepada 1.6 juta warga peneroka Felda.
Sebab itu kita bersetuju dan menyokong penuh pendirian Shamsudin yang memberi kata dua kepada Isa agar beliau memohon maaf dalam tempoh 14 hari dan menyiarkannya di lima media utama.
Kegagalan Isa berbuat demikian akan menyebabkan Shamsudin akan mengambil tindakan Perkara ini sepatutnya menjadi peringatan bukan hanya kepada Isa tetapi juga kepada tokoh lain, supaya menghargai dan menghormati usaha yang dilakukan peneroka selama ini.
Sejak Felda ditubuhkan pada 1956, warga peneroka inilah yang bertungkus lumus dengan pengorbanan dan keringat mereka berbanding dengan Isa yang baru beberapa bulan menjadi pengerusi Felda secara kontrak. Jadi tentulah tidak wajar kenyataan Isa yang menghina Shamsudin, JKPP dan warga peneroka seluruhnya.
Sebenarnya penerangan macam mana yang peneroka mahukan daripada penyenaraian Felda Global Venture?
Apa yang penting ingin saya ditekankan ialah tentang kegusaran, kebimbangan dan perasaan ingin tahu, wajar sepatutnya diberi pertimbangan pihak kerajaan sebelum tindakan menyenaraikan Felda Global Venture dilakukan.
Perlu diingat, Shamsudin selaku Ketua Peneroka. Beliau patut dimaklumkan isi dan terma penyenaraian. Anak juga mendapat maklumat tentang kebimbangan ini dan juga perkara yang masih samar-samar daripada pengetahuan kita.
Sebagai satu contoh bila mereka mahu menyenaraikan Felda Global Venture, mengapa mereka harus mengusik harta yang ada dalam Felda?
Sedangkan saya difahamkan amalan penyenaraian manamana syarikat di bursa, mereka tidak akan usik teras itu. Ia adalah satu jaminan kepada masa hadapan. Tetapi apabila mereka nak menyenaraikan Felda Global Venture, untuk apa tanah Felda Plantations seluas 360,000 hektar dipajak kepada Felda Global Venture. Ini menjadi persoalan?
Sebelum ini pajakan tersebut, saya difahamkan adalah 60 tahun tetapi dilanjutkan kepada 99 tahun. Tanah itu juga telah ditanam kelapa sawit sejak 1990an ertinya daripada 360,000 hektar tanah yang dipajak itu ia telah membawa unjuran pendapatan pada 2010 sahaja lebih RM2 bilion.
Jadi apa yang berlaku?
Tiba-tiba melalui perjanjian pajakan yang dijangka akan ditandatangani pada 1 Januari 2012, Felda hanya mendapat lebih kurang RM251 juta sahaja setahun. Perkara itu tidak ada satu jaminan adakah nilai pajakan tersebut dipertahankan jika berlaku kejatuhan nilai komuniti.
Kedua tanah ini adalah milik kerajaan negeri dan difahamkan Felda Global Venture dalam proses bertemu dengan kerajaan negeri untuk mendapatkan hak milik. Sebab ada kes tanah ini tidak dapat hak milik lagi.
Tanah ini dulu diperolehi dengan tujuan matlamat awalnya adalah untuk diberi kepada rakyat.
Apabila tanah ini ditukar plan daripada diberi kepada rakyat kepada buat plantation, ini satu pengkhianatan atas apa yang telah diasaskan oleh Allahyarham Tun Abdul Razak.
Jadi, kita minta kerajaan negeri jangan bersetuju dengan polisi ini apatah lagi sudahlah mereka buat dalam bentuk estet, lepas itu tanah ini nak dipajak pula selama 99 tahun.
Maknanya kerajaan negeri tak dapat apa-apa?
Kerajaan negeri tidak boleh dapat apa-apa manfaat daripada tanah ini selain daripada premium dan cukai tahunan yang dibayar oleh Felda. Jadi kita minta kerajaan negeri dapat mengambil satu pendirian yang jelas oleh kerana matlamat pemberian tanah ini telah tersasar, kita minta kerajaan negeri jangan berbuat demikian dan sebagai langkah pertama Anak bersama wakil peneroka akan menyerahkan memorandum kepada negeri pertama iaitu Pahang
Sebab kita pilih Pahang kerana negeri itu keluasannya terbesar. Tanah Felda Plantations iaitu sekitar 143,000 hektar.
Kita akan serahkan memo ini pada 9 Disember akan datang dan kemudian kita akan pergi ke negeri lain termasuk Johor, Sabah dan sebagainya.
Dalam masa yang sama juga bila dipajak tanah ini, ia bukan hanya pajak tanah 360,000 hektar ini, tetapi berdasarkan maklumat yang kita perolehi, tanah yang terdapat dalam kawasan Felda yang tidak dibangunkan dan sebahagiannya masih kosong atau ditanam tanaman kontan oleh peneroka atau anak peneroka serta projek tertentu. Tanah ini juga nanti dalam perjanjian akan menjadi milik Felda Plantations untuk dipajak dan bayangkan keluasannya puluhan ribu hektar di seluruh negara.
Jadi apa sebenarnya masalah jika tanah itu menjadi milik Felda Plantations?
Bagi saya ia sesuatu yang sangat bahaya kerana tanah ini adalah yang digazetkan terutama sekali jika ada keperluan membina rumah generasi kedua atau mendirikan aktiviti perniagaan, komersial, bangunan atau pelancongan seperti homestay dan sebagainya.
Kalau tanah ini digazetkan kepada Felda Global Venture ertinya anak peneroka dan akan menghadapi kesukaran mendapat mendapatkan tanah ini.
Sedangkan amalan sebelum ini, ia di bawah kerajaan negeri walaupun Felda yang menguruskan tapi kalau mereka nak mohon tanah ini akan dirujuk kepada kerajaan negeri dan ruang itu masih ada. Tetapi jika diserahkan kepada Felda Global Venture ruang itu pastinya dah tertutup.
Keduanya, tanah yang bakal dipohon selepas ini jika Felda Global Venture masih kekurangan tanah, maknanya permohonan selepas ini adalah kepada Felda Global Venture, ertinya hak yang sebelum ini diperolehi oleh Felda sudah tiada lagi. Semuanya dibolot oleh Felda Global Venture. Ini sesuatu yang amat berbahaya kepada kerajaan negeri dan rakyat.
Apa kesannya apabila ia disenaraikan di Bursa Saham?
Apabila disenaraikan di Bursa Malaysia, ekuiti Koperasi Permodalan Felda (KPL) ada 51 peratus melalui Felda Holding. Felda Holding ini dia melabur di 47 anak syarikat Felda. Sebahagian daripada pelaburan ini membawa keuntungan yang besar kepada KPL.
Tetapi apabila dia dilistkan di Bursa Malaysia yang selama ini kepentingan koperasi Felda adalah majoriti 51 peratus, apabila distruktur semula kepentingan KPL hanya tinggal 30 peratus sahaja. Ertinya mereka minoriti. Bila mereka minoriti yang menguasai kepentingan di Bursa Malaysia adalah Felda Global Venture.
Bayangkan sebahagian besar saham itu akan dikuasai pelabur luar. Ini membawa makna kalaupun peneroka dikatakan beroleh durian runtuh, ia bersifat one off sahaja. Sekali bagi itu katakan 15,000 unit dan apabila dijual ia tiada apa kepentingan lagi. Ini membawa maksud penguasaan atau monopoli Felda sebagai institusi Bumiputera akan berakhir kerana majoriti daripada saham itu akan dibeli oleh pelabur asing.
Jadi ketika ini pemimpin Umno konon menyebut kepentingan Melayu ketika masa yang sama juga mereka menggadai kepentingan Melayu di Felda kepada syarikat asing.
Jadi kalau mereka nak tuduh sesiapa yang menentang penyenaraian ini sebagai pengkhianat sebagai mana kata Isa, sebenarnya pemimpin Umnolah pengkhianat. Hujahnya merekalah yang nak menggadai semua kepentingan Melayu Felda kepada syarikat asing.
Bila Felda Global Venture disenarai apa yang Felda dapat daripadanya?
Selama ini Felda mendapat RM2 bilion daripada Felda Plantations sebagai pendapatan.
Kemudian dicampur dengan anak syarikat. Saya nak rujuk pendapatan Felda pada 2010 berjumlah RM2386.9 bilion.
Perbelanjaan Felda pada 2010 RM198.76 bilion, ertinya ada lebihan RM406 juta. Bila dilistkan berdasarkan perjanjian yang akan ditandatangani Januari ini, Felda Global Venture akan berkongsi keuntungan dengan Felda.
Felda akan diberi sekitar 15 peratus sahaja. Ertinya Felda akan terima RM257 juta.
Kemudian dicampur RM251 juta nilai pajakan ia berjumlah RM508 juta sahaja. Sedangkan perbelanjaan Felda pada 2010 RM1.9 bilion ertinya Felda akan menanggung defisit setiap tahun RM1.3 bilion.
Isu inilah dikongsi sama oleh Anak dan Shamsudin di mana Felda akan dapatkan duit ini?
Setiap tahun diperlukan RM1.7 bilion hingga RM1.9 bilion untuk perbelanjaan mengurus dan sosio ekonomi peneroka.
Kerajaan kali terakhir memberi bantuan kepada Felda pada 1996 berjumlah RM100 juta sahaja. Kalau RM100 juta pun kerajaan kemudian arah berhentikan dan suruh Felda cari duit sendiri, inikan pula nak bagi sampai RM1.3 bilion.
Mungkin kerajaan akan bantu...
Saya fikir mustahil untuk kerajaan berbuat demikian. Soalnya sekarang sepatutnya bila nak disenaraikan mestilah lebih baik. Apa manfaat kononnya ia memberi kebaikan kepada peneroka jika perkara sebegini berlaku. Pendapatan berkurangan daripada RM2.3 bilion tingga RM508 juta apa manfaatnya.
Bagi saya ini satu bala atau “projek gali kubur” untuk menguburkan warga Felda. Maknanya ia adalah sesuatu yang tidak masuk akal tetiba dipukul canang kononnya penyeneraian akan membawa keuntungan besar tetapi hilang punca pendapatan
.
Thursday, December 15, 2011
Menghalang Felda dari musnah
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Write commentsNote: Only a member of this blog may post a comment.