BERDASARKAN prestasi semasa, impian rakyat Malaysia untuk menyaksikan jaguh perseorangan badminton negara, Datuk Lee Chong Wei menyumbangkan pingat emas pertama pada temasya Sukan Olimpik 2012 di London tampak sukar.
Ia ekoran rekod kekalahan berturut- turut yang dialami oleh pemain No. 1 dunia itu dalam beberapa kejohanan utama sejak akhir-akhir ini.
Kemerosotan prestasi Chong Wei dilihat semakin ketara selepas dia tewas kepada Lin Dan pada final Kejohanan Badminton Dunia di London, Ogos lalu.
Kehebatan Lin Dan terus membayangi Chong Wei apabila dia tewas sebanyak dua kali berturut-turut iaitu pada aksi separuh akhir Terbuka Hong Kong dan Terbuka China bulan lalu.
Terbaharu, Chong Wei dikejutkan dengan kekalahan 16-21, 21-16, 18-21 kepada bintang muda China, Chen Long pada aksi separuh akhir Siri Super Akhir di Liuzhou, China, Sabtu lalu.
Sebelum itu, Chen Long turut menewaskan Chong Wei di final Terbuka Jepun (September) dan Terbuka Denmark pada Oktober lalu.
Jika sebelum ini hanya Lin Dan dilihat sebagai ancaman terbesar buat Chong Wei tetapi kini dia sudah ada musuh baharu.
Peningkatan yang dipamerkan Chen Long dalam beberapa kejohanan perlu diberikan perhatian.
Sekiranya gagal, ia pasti akan melenyapkan impian Chong Wei dan seluruh rakyat Malaysia untuk membawa pulang pingat emas pada temasya sukan terbesar dunia itu.
Ekoran prestasi tidak menentu Chong Wei sejak kebelakangan ini, timbul spekulasi apabila segelintir pihak seakan- akan mendesak Chong Wei supaya menggantung raketnya, sekali gus memberi laluan kepada pemain-pemain muda yang lain.
Bagaimanapun, Pengarah Prestasi Tinggi Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk James Selvaraj berkata, belum masa untuk pemain kelahiran Pulau Pinang itu memikirkan isu persaraan.
Bagi James, khidmat Chong Wei masih diperlukan dalam usaha merealisasikan impian merangkul pingat emas pertama Sukan Olimpik 2012.
"Bagi saya, Chong Wei masih boleh meneruskan karier sebagai seorang pemain badminton selepas Sukan Olimpik 2012 berakhir meskipun ketika itu nanti usia pemain itu sudah menjangkau 30 tahun.
"Soal usia tidak menjadi masalah. Cuma, dia perlu lebih bekerja keras pada sesi latihan bagi memastikan staminanya sentiasa berada pada tahap terbaik," kata James ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Malah, James turut mengingatkan Chong Wei agar lebih selektif selepas ini dalam memilih kejohanan-kejohanan yang perlu disertainya.
Jelas beliau, antara faktor utama yang menyebabkan kemerosotan prestasi pemain itu adalah disebabkan terlalu banyak menyertai kejohanan sehingga menyaksikan tubuh badannya menjadi keletihan.
"Apa yang saya harapkan, selepas ini Chong Wei memberi tumpuan sepenuhnya kepada persiapan menghadapi Sukan Olimpik. Itu perkara utama yang perlu difikirkannya.
"Tidak perlu untuk menyertai terlalu banyak kejohanan. Cukup sekadar kejohanan-kejohanan utama seperti Terbuka Malaysia, Terbuka Korea Selatan, Seluruh England dan Piala Thomas yang berlangsung tahun depan sebelum Sukan Olimpik.
"Jika terlalu banyak menyertai kejohanan, ia hanya akan mengundang risiko buat Chong Wei," jelas James.
Sementara itu, Chong Wei yang dihubungi Kosmo! bagi mendapatkan penjelasan berhubung kemerosotan prestasinya itu enggan mengulas lanjut. -Kosmo
Wednesday, December 21, 2011
Chong Wei Gantung Reket?
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Write commentsNote: Only a member of this blog may post a comment.