NAIB Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin menegaskan Liga Super Indonesia (ISL) belum lagi menerima status haram.
Hamidin mengesahkan, beliau telah menghubungi sumber dari negara jiran itu dan sudah menerima maklum balas berhubung kemelut yang melanda Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) kelmarin.
Katanya, pihak PSSI akan mengadakan mesyuarat kongres pada minggu depan bagi menyelesaikan kekeliruan tersebut.
“Perkara ini sebenarnya belum lagi terjadi (haram).
“Semalam (kelmarin) saya telah menghubungi pihak Pelita Jaya dan beberapa sumber dari Indonesia berhubung masalah dalaman ISL yang difahamkan bakal diharamkan.
“Difahamkan, sumber dari Indonesia itu berkata, Ketua Umum PSSI, Djohar Ariffin Husin akan mengadakan mesyuarat kongres berhubung kemelut ISL dan Liga Perdana Indonesia (IPL) pada minggu depan.
“ISL masih merupakan liga sah PSSI dan FIFA telah meminta PSSI supaya selesaikan kekeliruan ini. Mungkin ada beberapa masalah telah berlaku tetapi mereka sedang berusaha untuk menyelesaikan masalah itu secepat mungkin.
“Sekiranya PSSI tidak mencapai kata sepakat pada mesyuarat kongres itu, Djohar akan membuat rombakan sistem pengurusan PSSI baharu yang mengikuti undang-undang badan induk bola sepak dunia (FIFA) pada bulan hadapan,” katanya kepada Kosmo! Ahad semalam.
Jelasnya lagi, beliau turut bersetuju dengan pendapat Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad yang memberitahu supaya penyokong-penyokong tempatan tidak mudah terpedaya dengan khabar angin mengenai status haram ISL itu.
Hamidin yang juga merupakan Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) berkata, sekiranya PSSI tidak dapat menyelesaikan masalah tersebut, beliau akan berusaha untuk membawa keluar penyerang kebanggaan negara, Safee Sali dari Indonesia.
“Kita tidak perlu mudah percaya dengan berita yang tidak benar selagi tiada bukti atau kesahihan. Saya yakin mereka (PSSI) dapat menyelesaikan kekeliruan ini.
“Namun sekiranya benar ISL menerima status haram dari FIFA, pihak kami akan menggunakan semua saluran untuk membawa Safee kembali sama ada beraksi di Malaysia atau sebaliknya,” katanya.
Semalam, sumber dari portal berita akhbar Republika Indonesia melaporkan, surat pengharaman ISL oleh FIFA itu ditujukan kepada Djohar yang menyatakan ISL adalah liga yang tidak diakui oleh badan dunia itu.
Menurut kandungan surat tersebut, FIFA menerusi surat yang ditandatangani oleh Setiausaha Agungnya, Jarome Valcke dan Setiausaha Agung Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Datuk Alex Soosay menetapkan status haram kepada semua pemain, pegawai dan pengadil yang terlibat dengan ISL.
Perkara itu meletakkan Safee dalam bahaya kerana kemungkinan Safee tidak boleh bermain untuk Harimau Malaya lagi.
Namun bagi pengurus Safee, Zakaria Rahim yang dipetik dari akhbar tempatan semalam berkata, ISL tidak haram dan karier Safee masih selamat namun dia kesal laporan itu telah disalah faham.
“ISL masih belum diharamkan lagi dan ISL bukan liga haram dan Safee bukan pemain liga haram. ISL adalah liga yang diputuskan untuk dijalankan oleh PSSI di Kongres Bali 2011 dan tiada keputusan dari mana-mana kongres atau mesyuarat PSSI hingga hari ini yang mengatakan ISL tidak boleh dilaksanakan,” katanya. -Kosmo
Sunday, December 25, 2011
Liga Indonesia Belum Haram Lagi
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Write commentsNote: Only a member of this blog may post a comment.