Saturday, December 17, 2011

PRU Semakin Hampir, Pelajar & Penyelia Masjid Dapat Untung

http://vectorise.net/logo/wp-content/uploads/2010/10/Logo-1Malaysia-1UMNO-1BN.pngBaucar buku RM200 untuk pelajar institusi pengajian tinggi mulai tahun depan akan dilengkapi pelbagai ciri keselamatan bagi mengelak ia dipalsukan.

Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata baucar itu dicetak oleh Percetakan Nasional Malaysia Berhad, dan ciri-ciri keselamatan yang sama boleh didapati pada baucar RM500 untuk isi rumah yang berpendapatan bawah RM3,000 sebulan.

"Duit pun orang boleh cetak sendiri inikan pula baucar," katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran CoE Berpotensi 2011 di sini Jumaat.

Mohamed Khaled berkata semua warga negara yang berdaftar sebagai pelajar aktif untuk tempoh Januari-Mac tahun depan di institusi pengajian tinggi awam dan swasta, politeknik dan pelajar Tingkatan Enam, sama ada sepenuh atau separuh masa layak, mendapat baucar itu, yang tempoh sah lakunya adalah dari 1 Jan hingga 31 Mac tahun depan.

Beliau berkata ia boleh ditebus di semua kedai buku yang menyertai program tersebut dan hendaklah digunakan bagi membeli buku-buku akademik, jurnal, majalah ilmiah dan peralatan pembelajaran berdasarkan keperluan pengajian masing-masing.

Dalam ucapannya Mohamed Khaled berkata melalui Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) yang akan dilaksanakan mulai 1 Jan depan, Skim Perkhidmatan Pensyarah Farmasi (DUF) akan diwujudkan, yang bersamaan dengan Skim Perkhidmatan Pensyarah Universiti di mana gaji permulaan adalah pada tangga gaji DUF 1-3 dan kenaikan pangkat adalah sehingga ke Gred Khas Turus 1 dengan menggunakan kriteria kenaikan pangkat yang sama dengan pensyarah universiti.

Beliau berkata ia bagi memastikan kenaikan pangkat pensyarah farmasi setanding dengan kenaikan pangkat pegawai farmasi di Kementerian Kesihatan, dan bagi mendapatkan lebih ramai calon menyertai perkhidmatan pensyarah di bidang farmasi serta bagi mengekalkan yang sedia ada.

Mohamed Khaled berkata gred lantikan permulaan bagi Pensyarah Perubatan dan Pergigian dinaikkan daripada Gred DU/DUG 45 kepada DU/DUG 51 yang dipercayai dapat menarik lebih ramai graduan menceburi kerjaya pensyarah perubatan dan pergigian selain memastikan pensyarah sedia ada terus kekal berkhidmat di institusi pengajian tinggi awam

Elaun Pegawai Penyelia Masjid Daerah Dinaikkan

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Jumaat mengumumkan kenaikan elaun Pegawai Penyelia Masjid Daerah (PPMD) daripada RM1,210 kepada RM1,810 bermula tahun depan.

Beliau berkata serentak dengan itu, tuntutan elaun perjalanan PPMD juga dinaikkan kepada RM700 sebulan daripada RM500 sebelum ini.

"Memandangkan sekarang hanya terdapat 87 PPMD di seluruh negara, saya ingin mengumumkan bahawa kerajaan bersetuju menambah jawatan itu kepada seorang PPMD di setiap daerah di seluruh negara.

"Dengan ini, diharapkan semoga institusi masjid dan surau kita dapat diimarah serta terpelihara dengan sebaiknya," katanya ketika berucap pada Majlis Perdana Ulama, Umarak dan Imam bersama Perdana Menteri di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, Jumaat.

Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan timbalannya Datuk Dr Mashitah Ibrahim dan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Datuk Othman Mustapha.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata bagi mempertingkatkan lagi peranan institusi ulama dan umarak yang semakin penting, sebuah sekretariat khas ulama dan umarak (UMUM) akan ditubuhkan agar komunikasi antara kerajaan dengan mereka yang disifatkan mempunyai hubungan istimewa itu menjadi lebih terancang serta tersusun.

Melalui sekretariat itu, yang akan diterajui bersama Jakim dan diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri, beliau berkata program seperti dialog, forum, makmal dan aktiviti lain dapat diurus tadbir secara kerjasama strategik dengan agensi agama sedia ada.

Menurutnya sekretariat itu juga akan menerajui makmal strategik Islam bagi menghasilkan penyelesaian serta perancangan terhadap isu berkaitan hal ehwal Islam.

Bagi memperkemaskan lagi sistem pentadbiran agama Islam di peringkat Persekutuan, Perdana Menteri turut mengumumkan pembinaan sebuah Kompleks Pusat Pentadbiran Islam Putrajaya yang akan dibina di Presint 2 dan dijangka siap dan boleh digunakan pada 2014.

"Sedar akan peranan dan hubungan istimewa antara ulama dan umarak dalam menentukan kesejahteraan rakyat serta negara, kerajaan menaruh harapan tinggi kepada golongan ini untuk berkongsi pandangan serta pendapat dalam semua aspek pemerintahan dan isu yang membabitkan kepentingan umat Islam yang sentiasa berhadapan dengan cabaran semasa," katanya.

Najib berkata nasihat ulama akan memberi faedah kepada pemerintah dan rakyat, pentadbiran di mana barisan kepimpinan negara amat memerlukan bantuan ulama serta cendiakawan dalam pelbagai bidang.

"Umarak pula memerlukan pandangan ulama untuk mendapatkan maklumat mengenai isu yang dibangkitkan serta kefahaman dari sudut fatwa serta hukum Islam. Ini hanya akan dapat dinatijahkan melalui hubungan erat ulama dan umara," katanya.

Pada masa sama, beliau turut berharap supaya institusi ulama dapat dimantapkan supaya disegani dan dihormati.

Menurutnya ulama tidak boleh bersikap fanatik dan partisan dalam politik, taksub melulu atau suka menjatuhkan hukuman terhadap orang lain tanpa usul periksa.

"Bukan semua isu dalam negara ini terutama isu agama perlu dipolemik dan dipolitikkan, hatta isu mengerjakan haji juga turut dipolitikkan demi keuntungan politik sesetengah pihak," katanya merujuk kepada penyebaran dan fitnah yang dilemparkan ketika beliau dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor menunaikan ibadat haji baru-baru ini.

Pada majlis itu, yang dianjurkan sejak 2009, Perdana Menteri turut menyampaikan anugerah Tokoh Imam Peringkat Kebangsaan kepada Syeikh Roslan Abdul Halim, imam besar Masjid Zahir di Alor Setar, Kedah.

Najib juga melancarkan buku "1Malaysia: Sudut Pandangan Islam" terbitan bersama Jakim dan Universiti Kebangsaan Malaysia. - BERNAMA

No comments:
Write comments

Note: Only a member of this blog may post a comment.