Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) menyokong saranan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk meminda Akta Hasutan bagi membolehkan tindakan tegas diambil kepada individu yang menggunakan media sosial menghina agama atau menyebar kenyataan berbaur hasutan.
Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali berkata cadangan itu juga harus diperluas kepada golongan anti nasional yang boleh menggugat keselamatan negara atas apa saja aktiviti yang dilakukan.
“Ia seperti ucapan, penerbitan dan demonstrasi keganasan yang menyentuh Islam agama Persekutuan serta lain-lain yang termaktub dalam asas Perlembagaan negara.
“Saranan dan cabaran Perkasa ialah buat, laksana dengan tegas dan jangan cakap saja,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Semalam, Muhyiddin berkata kerajaan bersedia meminda Akta Hasutan bagi memastikan pihak yang menggunakan media sosial untuk menghina agama tidak terlepas daripada dikenakan tindakan tegas bagi mengelak negara menjadi huru-hara ekoran perbuatan tidak bertanggungjawab itu.
Katanya, mendepani media sosial merupakan antara cabaran hebat yang perlu dihadapi kerajaan pada masa kini sama seperti yang dihadapi kerajaan lain di seluruh dunia.
"Jika undang-undang yang sedia ada tidak cukup kuat, kita akan pinda dan cari jalan supaya pihak berkuasa sama ada Jabatan Peguam Negara atau polis tidak boleh beri alasan mereka tidak mengambil tindakan kerana tidak mempunyai peruntukan undang-undang.
"Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) akan dipertanggungjawab dalam soal multimedia, manakala Jabatan Peguam Negara akan melihat daripada segi perundangan yang mana jika memerlukan Akta Hasutan dan akta lain perlu diperkukuhkan lagi maka harus dilakukan," katanya seperti dilaporkan Bernama.
Ibrahim berkata, pemimpin kerajaan perlu serius menyelesaikan isu tersebut dan tidak menjadikannya sebagai perjuangan bermusim untuk mendapat kepentingan politik.
“Bila tiba mesyuarat Umno akan kedengaran hebatnya perjuangan membela Melayu dan Islam, apatah lagi jika musim pemilihan.
“Tetapi selepas itu senyap, bantai pula badan bukan kerajaan (NGO) Melayu atau sesiapa yang bersuara lantang membela Melayu dan Islam,” katanya.
Bekas ahli Parlimen Pasir Mas itu turut mengulangi kekesalannya terhadap kerajaan kerana memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang mengakibatkan pihak berkuasa sukar mengambil tindakan.
Katanya, saranan Muhyiddin yang mahu ahli dan pemimpin Umno memahami citarasa baru orang Melayu itu ada kebenarannya dan ia perlu dikukuhkan melalui penambahbaikan Akta Hasutan.
“Dulu ada ISA, mudah pihak keselamatan bertindak. Cegah sebelum musnah.
“Kalau pemimpin Umno sudah faham apa dalam fikiran orang Melayu, ini petanda baik. Masih ada tali hayat. Kekalkan dan tambah baik Akta Hasutan 1946,” katanya.
Semalam, Muhyiddin juga menggesa Umno perlu segera mendepani perubahan bagi memastikan parti Melayu itu terus relevan dan diterima di negara ini.
Katanya, suasana hari ini sudah berubah yang memerlukan semua ahli Umno memahami kehendak dan aspirasi masyarakat akar umbi.
"Zaman ini adalah zaman sukar dan kita perlu mengambil ia sebagai cabaran serta melakukan perubahan dan pembaharuan. Jadi kita kena faham apa yang ada dalam pemikiran orang Melayu, kena tahu apa yang orang Melayu mahu dan apa kebimbangan mereka.
"Kita kena ada interaksi dengan semua rakyat bagi mendapatkan maklumat ini, terutamanya maklumat penting bagi memastikan Umno kekal relevan," katanya seperti dilaporkan Utusan Malaysia. –TMI
Monday, August 11, 2014
Akta Hasutan : Perkasa tempelak, buat bukan cakap saja
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Write commentsNote: Only a member of this blog may post a comment.