Sunday, August 24, 2014

Krisis Selangor, Mungkinkah pilihan raya perlu diadakan?

Keraguan sama ada Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berpeluang menjadi menteri besar Selangor yang baru menyebabkan parti itu bersedia untuk berdepan dengan pilihan raya mengejut.

The Malaysian Insider difahamkan, parti itu percaya ada kemungkinan tinggi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor akan dibubarkan untuk memberi laluan kepada pilihan raya negeri diadakan tidak lama lagi.

Pemimpin PR dan penganalisis politik berkata pilihan raya negeri yang baru boleh mencederakan Pakatan Rakyat yang sekarang mempunyai 43 daripada 56 kerusi dalam DUN Selangor. – Gambar fail The Malaysian Insider, 24 Ogos, 2014.

Arahan itu dikeluarkan selepas timbul laporan menyatakan parti dalam Pakatan Rakyat (PR) masih belum mencapai persetujuan untuk mencalonkan hanya satu nama untuk mengambil alih jawatan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang dipecat daripada PKR awal bulan ini.

“Jika ada dua nama, Sultan Selangor mungkin berfikir Pakatan tidak stabil dan baginda boleh membubarkan DUN,” kata pemimpin PKR Selangor yang tidak mahu namanya disiarkan.

Pemimpin itu mendedahkan perbincangan dalaman parti berkisar mengenai senario kemungkinan yang boleh berlaku minggu depan, apabila Sultan Sharafuddin Idris Shah dijangka membuat keputusan.

Sultan Selangor memendekkan percutiannya dan tiba di negeri semalam. Baginda dijangka akan bertemu dengan Khalid pada Isnin.

Pemimpin PR dan penganalisis politik berkata pilihan raya negeri yang baru boleh mencederakan gabungan itu yang sekarang mempunyai 43 daripada 56 kerusi dalam DUN Selangor.

Barisan Nasional (BN) mempunyai 12 kerusi dan Khalid kini merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bebas.

Pada masa yang sama, pemimpin PKR di peringkat akar umbi mula tidak sabar menanti keputusan PAS yang masih berdolak-dalik.

Situasi yang masih boleh berubah

Di Kongres Nasional PKR ke-10 semalam, beberapa pemimpin tertinggi PKR masih kabur atau tidak pasti ketika menjawab soalan media berhubung perkembangan terbaru krisis berkenaan.

Dilaporkan semalam PAS masih belum membuat keputusan sama ada akan mencalonkan satu atau dua nama daripada 43 Adun PR sebagai pengganti Khalid untuk dihantar kepada Sultan Selangor.

Tetapi ketika mesyuarat majlis presiden pada 17 Ogos, di mana pemimpin kanan PAS turut hadir, pakatan itu membuat keputusan untuk mencalonkan hanya Presiden PKR Dr Wan Azizah sebagai menteri besar untuk negeri terkaya Malaysia itu.

Sebelum mesyuarat majlis itu, parti Islam berkenaan membuat keputusan pada 17 Ogos untuk menghantar dua nama, Dr Wan Azizah dan Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali.

Ketika ditanya mengenai percanggahan antara apa yang diputuskan PR dengan kemahuan PAS, Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ia bukan satu isu.

“Saya sudah periksa, ia bukan isu kerana PAS beritahu mereka akan rujuk dalam mesyuarat pada Isnin mengenai proses, tetapi keputusan akan diambil, jadi tidak ada isu,” katanya.

PAS akan bermesyuarat Isnin ini untuk membuat keputusan sama ada parti itu akan bersetuju untuk menamakan hanya Dr Wan Azizah atau menghantar satu lagi nama.

Naib Presiden PKR Rafizi Ramli berkata, belum dapat dipastikan sepenuhnya Dr Wan Azizah pada minggu depan akan menjadi menteri besar seperti didesak parti dan rakan gabungannya DAP.

PKR dan DAP masing-masing mempunyai 13 dan 15 kerusi dalam DUN, sementara PAS ada 15 kerusi.

“Ini masih proses yang belum selesai dan keadaan masih boleh berubah. Ada kemungkinan kita akan menghadapi pilihan raya negeri atau mungkin kerajaan minoriti,” katanya.

Apa yang PKR harapkan dapat memujuk Sultan Selangor ialah hakikat Dr Wan Azizah mendapat sokongan 30 Adun, termasuk dua Adun PAS.

Tetapi jika PAS, parti dalam pakatan, berpecah daripada kata sepakat PR dengan menghantar dua nama, ia mungkin akan menyebabkan kekeliruan dan akan digunakan untuk menyebabkan sidang DUN dibubarkan, kata pemimpin PKR Selangor.

Jika ada dua nama, agak sukar untuk memilih calon PKR yang dicalonkan PAS tetapi tidak mendapat sokongan sama ada DAP atau PKR.

Pilihan raya yang bukan kehendak sesiapa

Walaupun badan bebas Merdeka Center mendedahkan keputusan kaji selidik pada 22 Ogos yang menunjukkan PR masih boleh terus memegang Selangor jika pilihan raya negeri diadakan, beberapa pemimpin PKR memberitahu The Malaysian Insider mereka masih lebih suka jika tidak perlu melalui satu lagi pilihan raya.

“PAS perlu menunjukkan mereka masih bersama parti lain dalam PR,” kata seorang pemimpin PKR dari Sepang, Borhan Aman Shah.

Borhan berkata, pelik apabila PAS bersikap tidak konsisten walaupun parti itu berpegang kuat kepada prinsip Islam.

“Kita tidak mahu pertentangan pendapat antara PAS dan parti lain dalam PR akan dieksploitasi Umno,” katanya.

Beliau berkata, perbezaan pendapat itu juga boleh menjejaskan kedudukan PR dalam pilihan raya walaupun pakatan itu dikatakan mempunyai peluang cerah mengekalkan Selangor.

“Jika pertentangan antara pemimpin berterusan, ia akan tersebar hingga ke akar umbi di kalangan ahli dan memusnahkan keupayaan kita bekerja bersama,” kata Borhan, yang juga calon dalam pilihan raya umum tahun lalu bagi kerusi DUN Dengkil.

Ketua Pemuda PKR baru dilantik Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, pilihan raya negeri tidak perlu diadakan kerana PR dapat membuktikan Dr Wan Azizah mendapat sokongan 30 Adun.

“Rakyat tidak perlu melalui pilihan raya negeri. Tetapi kita bersedia untuk kemungkinan itu,” katanya yang juga Adun Seri Setia.

Ironinya ialah dalam perkembangan terbaru ini, PAS yang kelihatan mengeruhkan krisis itu dan boleh menjadi penyebab sidang DUN dibubarkan, adalah parti yang dijangka kehilangan banyak kerusi disandangnya jika pilihan raya negeri diadakan.

Seorang lagi pemimpin PKR Selangor berkata di kalangan 3 parti dalam PR, PAS menang sekurang-kurangnya 7 kerusi baru dengan majoriti bawah 1,000 kerana undi daripada pengundi bukan Islam dan di kawasan bandar.

“Jika pengundi ini percaya PAS adalah masalah kepada krisis itu dan mereka menarik balik sokongan terhadap parti itu, PAS boleh hilang antara 4 hingga 5 kerusi,” kata pegawai PKR itu yang enggan dikenali. –TMI

No comments:
Write comments

Note: Only a member of this blog may post a comment.